Monday, August 14, 2006

Basuh

Bagi bujangan seperti saya (yang menumpang di rumah orang), membasuh baju sendiri pada hujung minggu tidak boleh tidak, mesti dilakukan. Semua pakaian yang dipakai pada minggu tersebut (sama ada luaran atau dalaman), akan dikumpul untuk hanya dibasuh pada hari Ahad. Maka, setelah dikumpul untuk enam hari, pakaian yang akan dibasuh pada hari ketujuh boleh mencecah sehingga ke angka belasan. Semalam mungkin saya telah membasuh empat belas atau lima belas helai pakaian sekali jalan. Pakaian yang terlibat boleh merangkumi t-shirt yang dipakai bekerja, t-shirt harian, baju Melayu, kain pelikat, seluar slack, seluar (toot..!) dan kemeja jika ada. Masa yang diambil ialah kira-kira empat puluh lima minit beserta pakej membasuh diri sendiri selepas itu. Lengkap dengan menjemurnya sekali, kurang sejam diperlukan.

Walaupun agak malas pada mulanya (terutama apabila baru dua-tiga helai pakaian yang dibasuh dan ada sedozen lagi untuk diselesaikan), perasaan itu akan bertukar menjadi puas dan bangga apabila pakaian terakhir dijemur sempurna di jemuran. Malah, mengangkat pakaian yang sudah kering dan masih panas adalah satu perasaan mendapat barang baru yang bersih dan segar. Pakaian ini telah sedia dipakai semula untuk hari-hari berikutnya walaupun sebelum itu ia kotor dihitamkan debu dan melekit dilekatkan peluh.

Kepuasan serupa tidak akan dapat dirasai jika satu hari nanti pakaian saya semuanya dibasuh oleh mesin. Biasalah, perkara mudah, mudah juga untuk dilupakan. Penatnya akan hilang, perasaannya akan hilang, semangat dan falsafahnya akan hilang.

Seperti pakaian, diri kita juga perlu dibasuh; jasmani dan rohani. Oh, tentunya bukan seminggu sekali bahkan setiap hari. Malah jika sangat kotor, berus yang kasar dan sentalan yang kuat diperlukan guna menyingkir segala kotoran degil yang melekat.

Untuk membasuh hati, saya tahu berusnya ialah zikir.

Bilas dengan air mata.


No comments: