Sebelum tidur lagi aku sudah berasa pening kepala. Hidung tersumbat, tekak perit dan tawar, badan sedikit panas. Pendek kata, tidak selesa. Mungkin apabila bangun esok (jika masih ada nyawa), aku akan demam. Maka aku tidur dalam keadaan sebegitu dan kadangkala terjaga untuk menyedut-nyedut hidung, melegakan hidung yang tersumbat. Dan barangkali dalam baringku yang sekejap ke kiri sekejap ke kanan sekejap terlentang sekejap terlangkup itu, do'a tidur, ayat kursi dan permulaan surah Al-Mulk yang kubaca jadi lintang-pukang dan tunggang-terbalik. Tahu-tahu sahaja aku terus tertidur entah dalam posisi apa. (Ada posisi tidur yang baik dan ada yang dicela dalam Islam. Untuk maklumat terperinci, sila rujuk ustaz anda yang terdekat).
Sehinggalah kemudiannya aku bermimpi menyaksikan perlawanan ilmu kebatinan antara dua orang yang sangat aku kenali. Seorang memakai ilmu putih dan lawannya memakai ilmu hitam. Yang memakai ilmu hitam itu ialah repairer di depoh kami, Rul. (Entah kenapa aku asyik bermimpikan rakan di tempat kerja kebelakangan ini). Dia menggunakan tiga atau empat ekor jin untuk menumpaskan lawannya. Apa yang menakutkan ialah untuk menjalankan upacara memanggil jin-jinnya itu, dia mengambil sebilah pisau lalu dengan selamba menoreh lengan kirinya sendiri membentuk huruf "V". Meleleh-leleh darah keluar dari luka. Kemudian di bawah huruf "V" itu, dia menoreh dua lagi huruf "V" menjadikan tiga torehan "V" berturut-turut pada lengan kirinya. Namun dipendekkan cerita, akhirnya dia tetap tertewas di tangan lawannya, yang menggunakan ilmu putih.
Itulah, lain kali sebelum tidur basuh kaki dulu. Ambil wudhu' sebenarnya yang lebih baik. Kalau tidak, syaitan barangkali akan datang mengacau kamu di dalam mimpi.
Dan pagi itu di tempat kerja;
1) Rul aku jumpa di kantin bermata sembap. Adakah dia penat berlawan malam tadi dalam mimpi?
2) Di pejabat, pagi-pagi, radio memainkan lagu nyanyian Daniel, "Mimpi".

2 comments:
Huisy.. terkejut tengok gambar tu.. Tak patut..tak patut..
Ki.. ki.. ki..
Post a Comment