Saturday, August 05, 2006

Mimpi Lagi

Aku selalu mimpikan sesuatu yang boleh aku ingat semula sebahagiannya apabila aku terjaga. Semalam aku bermimpi berbual dengan guard depoh kami di posnya. Tidak kusangka dia seorang yang agak sensitif jiwanya dan puitis bahasanya. Denganku, dia berpuisi tentang kehidupan dengan begitu prosaik, melankolik dan idiomatik sekali. Sayangnya, bait-bait puisi yang diluncurkannya itu banyak yang hilang apabila aku terjaga. Agak malang. Namun, ada sedikit isi yang dapat kuingat-ingat. Katanya, "Manusia itu, macam rama-rama hidupnya. Lahir dengan sangat cantik, menjadi hiasan di mata si pemandang, hanya untuk mati pada hari esoknya."

Ya, memang aku tidak faham dengan ungkapan itu dan tidak mahu mencari definisi atau justifikasinya. Tetapi yang sangat menarik hatiku ialah kata-kata dan cerita ini datangnya dari mimpi. Pastinya ia dapat menjadi satu perkara yang boleh membuat aku berfikir tidak kira betapa mengarut atau tidak logiknya ia. Menarik sekali, bagiku. Mimpi padaku, mempunyai potensi manfaat yang sangat besar, selagi ia dapat diingat semula selepas kita tersedar dari tidur. Ia boleh jadi sumber idea, penenang jiwa, inspirasi, panduan atau apa sahaja.

Ada satu ungkapan bersifat religius yang pernah kudengar, "Mimpi orang mu'min itu benar." Benar, mimpi ada peranan dan signifikannya sendiri dalam hidup. Orang yang meminta panduan dari Allah dalam membuat satu-satu keputusan akan melakukan solat istikharah sebelum berdoa dan tidur. Selepasnya, mudah-mudahan mimpi dalam tidurnya itu akan memudahkan dia untuk memilih satu daripada pilihan-pilihan yang dia ada. Namun jika dia tidak bermimpi dalam tidur itu atau tidak mendapat sebarang ilham untuk membuat keputusan, apa jua keputusan yang dibuatnya selepas itu adalah keputusan yang dibuat selepas memohon panduan dari Allah. Maka, apa jua kesan selepas itu dia serahkan kepada Allah dan redho dengannya.

Bolehkah kamu mengawal mimpi kamu sendiri? Aku pernah mencuba. Dalam satu tidurku yang separuh jaga, aku berada di satu tempat berbukit-bukit seperti di Grand Canyon, dan aku tahu yang aku sedang bermimpi ketika itu. Aku mencuba untuk terbang. Mulanya aku jatuh ke tanah, tetapi selepas beberapa kali aku berjaya! Sungguh ia satu rasa yang sukar digambarkan. Tetapi pengalaman sebegini jarang datang semula dalam mimpi-mimpi seterusnya. Jarang datang semula, walau aku ingin sekali merasainya beberapa kali lagi.

Satu lagi, adakah mimpi kamu berwarna?

Mimpi aku tidak.



3 comments:

Anonymous said...

Mimpi org kata mainan tidur. Tapi mimpi para wali Allah adalah benar. Apath lagi Nabi-nabi dan Rasul.

Walaubagaimanapun, susah nak jawab soklan last tuh. Mungkin belum mimpi watrer color atau kaler pensel untuk mewarna...

Haizir said...

Ada sorang kawan saya mimpi dia ada warna. Dia kata, la.

Fadzlin said...

MImpi in color jugak..