Malam tadi saya menelefon seorang kawan rapat yang akan melangsungkan perkahwinannya hujung minggu ini untuk bertanya khabar dan mengucapkan tahniah. Sambil menyelam, saya juga minum air dengan bertanyakan persiapan, belanja dan segala urusan lain yang berkaitan kerana saya juga bakal mengikut jejak langkahnya nanti. Alangkah TERKEJUTNYA saya apabila mendengar angka RM 20,000.00 yang mungkin telah dibelanjakannya untuk menuju hari bahagia tersebut. Kawan saya itu bukanlah seorang yang berjawatan terlalu tinggi, bergaji terlalu besar, anak Datuk atau sesiapa pun yang boleh mendapatkan wang sebanyak itu dengan hanya memetik jari atau menurunkan tandatangan pada apa-apa borang. Sebagai guru ijazah yang belum pun lima tahun bekerja, angka tersebut adalah besar dan sebahagian besar daripada jumlah wang tersebut terpaksa diperolehinya melalui pinjaman bank.
Saya mengesan sedikit nada kecewa pada suaranya yang terpaksa bergolok bergadai demi menunaikan fitrah semua orang itu. "Macam air", katanya, merujuk kepada wangnya yang dialirkan keluar untuk memenuhi pelbagai keperluan berkaitan perkahwinan zaman sekarang. Tambahnya, 20 ribu itu ialah anggaran wangnya yang dikeluarkan, tidak termasuk wang bapanya yang juga bergolok bergadai untuk menyediakan khemah, lembu dan sebagainya, juga wang ibunya untuk hal-hal lain yang akuinya, dia sendiri tidak cakna. Itu belum termasuk belanja servis kenderaan, tol dan minyak untuk perjalanan rombongan pengantin dari Jasin ke Alor Star. Waduh!
Kawan saya itu mengadu bukanlah dia mahu berbelanja besar. Kalau diikutkan kehendaknya, dia mahu majlis itu diadakan seringkas mungkin, tetapi terdapat pelbagai faktor yang tidak memungkinkan kehendaknya itu tercapai lalu jadilah seperti apa yang telah terjadi. Katanya lagi, sekarang dia hanya mahu menamatkan semua ini secepat mungkin dan tidak mahu terlalu berpening-pening memikirkan perkara ini.
Perkahwinan sepatutnya menggembirakan, tetapi sekarang ini harga kegembiraan itu sudah menjadi terlalu mahal. Tidak hairanlah kini perkahwinan sudah menjadi industri kecil dan sederhana di kalangan tertentu seperti mak andam, pengusaha khemah dan balai, pembuat barang-barang hantaran, deejay, pengurus upacara dan sebagainya. Dengan pelbagai hebahan media tentang perkahwinan artis, orang kenamaan, dan lain-lain yang besar-besar dan hebat, tuntutan dan keperluan perkahwinan di kalangan orang biasa juga tidak akan menjadi lebih kecil.
Sudah tengok iklan program "Cari Menantu"? Program ini mungkin akan menjadikan perkahwinan anak anda lebih sukar dengan menetapkan satu standard perkahwinan yang perlu diikuti oleh semua orang Melayu.
No comments:
Post a Comment