Monday, November 13, 2006

Satu Catatan di Diari

Hari tu aku keluar membuat kerja-kerja dispatch. Ke BCB, ke Tuck Sun hantar EOR dan "washing list", ke TS Lines untuk tujuan yang sama dan ke Eureka ambil cek. Di Klang tadi, aku ditimpa hujan. Aku berhenti di bawah jambatan bulatan simpang lima untuk berteduh, menyertai sekumpulan penunggang motosikal yang senasib denganku, kebasahan. Nah, kenderaan-kenderaan yang lalu melanggar lopak air lalu memercikkannya ke seluar dan bajuku. Aku tidak menyumpah mereka. Pada waktu itu aku hanya memikir yang pakaian ini tidak suci untuk untuk dibawa solat dan aku perlu solat Asar hanya apabila pulang ke rumah nanti selepas pejabat.

Hujan semakin reda apabila aku mahu mula bergerak ke Taman Intan dari situ. "Hujan macam ni lambat berhenti. Kita redah aje!" kata si posmen kepada dua orang rakan posmennya sebelum bergerak meninggalkan kumpulan kami. Aku menyusul mereka tidak lama selepas itu. Sehinggalah aku tiba di satu lopak air besar sebelum satu lampu isyarat, sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang anak Cina dengan tidak memperlahankan keretanya melanggar lopak air itu dan bercebur air memercik besar membasahkan baju dan seluarku. Lantas selepas itu aku mensialkannya kerana kini aku sudah basah kuyup. Sewaktu aku melewatinya yang berhenti kerana ingin membelok ke kanan, di hatiku terdetik untuk menendang pintu keretanya sebelum berlalu pergi. Tetapi aku tidak melakukannya.

Aku berasa sakit perut apabila tiba di tandas tingkat enam bangunan Intan Millennium walaupun tujuanku ke tandas ialah umtuk membetulkan masuk bajuku ke dalam seluar, bukan untuk buang air besar. Namun sambal sotong basi yang kumakan awal pagi tadi semasa sahur memaksaku buang air besar lagi di situ selepas kali pertama tadi di tandas pejabat depoh. T-shirtku yang putih sudah sedikit berbintik akibat lunturan warna jaket yang kupakai semasa hujan tadi. Selesai urusan di sana kira-kira jam 4.00 petang. Hujan masih renyai-renyai. Aku malas bermotosikal setengah jam lagi dalam hujan untuk kembali ke pejabat. Maka aku duduk-duduk dulu di atas bangku panjang di luar lobi membuang waktu. Aku call Sam, tanya "Hujan tak di sana?" Dia kata, "Dah gelap." "Dahlah," dia sambung. "Kiamat Sudah Dekat!" Aku hanya menghamburkan sejerkah ketawa. Aku hubungi Aishah untuk mendengar "please try again later". Seorang budak muda menyapaku, meminta pemetik api, hanya untuk kecewa selepasnya. Dia tidak dapat membaca mukaku ini muka seorang yang tidak merokok. Seorang perempuan Cina berseluar pendek, terlalu pendek dan berbaju singlet merah jambu lalu di depan kami untuk menghakis-hakis pahala puasaku yang memang sudah sedia nipis.

Kira-kira 4.30 petang aku bangun, bergerak keluar dan menghidupkan enjin motosikal. Seperti kata Bandi Amuk, "Aku mahu pulang." Sampai di rumah, mungkin Kak Lang berasa hairan kenapa aku balik awal. Tetapi dia tidak akan bertanya. Selesai solat Asar aku menulis di diari. Agak panjang juga, aku sendiri tidak menjangka. Kurang-lebih sepuluh minit lagi, jam 6 petang. Aku mahu ke ruang tamu menonton drama Indonesia, Kiamat Sudah Dekat. Selepas itu aku mahu berbuka puasa. Insya-Allah, ada lagi tiga hari untuk selesai puasa enam.

No comments: