Friday, April 13, 2007

Fragmen

Sewaktu melewati simpang tiga depan jambatan itu, kelibat si gadis berbaju merah jambu terpampas lagi di depan matanya. Gadis yang sama. Anehnya, baju yang sama juga. Dia ingat benar. Kelibat gadis itulah yang telah dia toleh semalam, selepas simpang depan kedai bunga itu, sepulang dari tempat kerja. Wajah muram dengan mata redup. Adakah gadis itu tidak pulang-pulang? Berdiri di situ sahajakah dia dari situ semalam? Apakah yang ditunggunya di tepi jalan senja-senja begini? Apa dia tidak takutkah berseorangan begitu?

Dia ingin persetankan sahaja soalan-soalan yang menghunjam kepalanya tapi tidak boleh. Gadis itu, merah jambu, simpang tiga dan senja sudah menjadi misteri dan tanda-tanya yang mengacau. Apatah lagi dia agak cantik. Itu lebih mengacau. Dan sehingga tiba ke rumah, bayangan gadis cantik bermata redup berwajah muram terus-menerus mengacah-acah khayalnya.

Sangkanya selepas beberapa jam bayang itu akan hilang sendiri. Tapi dia silap. Bayang itu tidak hilang malah semakin membentuk imej si gadis dengan lebih jelas di latar otaknya. Wajah muram gadis dan pandangannya yang kosong. Menarik-narik rasa ingin tahunya sehingga ke dasar. Malah tanpa disedarinya ada sezarah perasaan yang sukar dimengertikan mula berkembang sedikit demi sedikit dalam hatinya. Dan dia tidak menyukainya. Bukan, bukan dia tidak menyukai perasaan itu. Dia tidak menyukai ketidakmengertian itu. Tetapi dia ialah seorang yang tidak konsisten. Dalam pada tidak suka, dia tersenyum pula. Tersenyum dengan senyuman meleret. Tersenyum seorang diri di dalam bilik sambil berbaring bersilang kaki berbantal lengan dengan belakang tapak tangan kiri diletak elok di atas dahi.


******************************************


Maya. Gadis itu bernama Maya. Mata gadis itu juga telah dilihatnya. Berwarna biru. Mata yang tidak dapat dilihat semalam dan kelmarin lantaran keremangan senja.

Senjanya merah
Matanya biru
Bajunya merah jambu
Mawarku ungu.

-Zariman


Begitu dia menulis di atas kad yang masih kosong untuk diselitkan di celah-celah jambangan mawar yang dibawanya, tidak lama selepas dia menemui gadis itu, mengetahui namanya, melihat ke dalam matanya dan meraih kemesraannya. Semuanya berjalan begitu cepat sehingga dia sendiri seperti tidak percaya. Selepas terlihat lagi gadis itu untuk hari yang ketiga, dia berhenti untuk menegur si gadis, bertanyakan namanya, membeli sejambang mawar ungu dari kedai di belakang, mengarang puisi empat baris langsung menghadiahinya. Semua itu dilakukannya di situ juga di tepi jalan dari atas motosikal dalam tempoh tak sampai lima belas minit!

“Jom kita pergi sana sekejap, minum-minum!” dia menunjuk kedai mamak kira-kira dua meter di depan kepada gadis. Dia kelihatan begitu yakin, dan agak kacak juga. Tidak lupa dia mengawal gerak langkah kakinya agar tidak kelihatan terlalu kaku. Dan tanpa dia sedari, kulitnya sedikit-sedikit mula ditumbuhi sisik-sisik, tangan dan kakinya tiba-tiba semakin memendek, jari-jarinya mengontot dan dan ditumbuhi kuku tajam. Mulutnya memanjang menjadi muncung, matanya memicing, giginya menjadi taring dan setengah minit kemudian dia telah bertransformasi menjadi seekor buaya tembaga! “Warrrhhh!”.

Si gadis hanya tergelak kecil. Dia tidak sangka dia telah menyebabkan seorang lelaki menjadi seekor buaya.

“Maaf, cik! Haiwan peliharaan tidak dibenarkan masuk!” kata pelayan restoran mamak sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam, mencari-cari meja untuk dihuni.

“Oh, tidak! Ini teman lelaki saya. Zariman namanya,” jelas Maya kepada budak Bangla belasan tahun itu.

“Teman lelaki cik…, seekor buaya?” tanya si Bangla terpinga-pinga. Sungguh fasih si Bangla ini berbahasa Melayu.

“Kenapa? Tak percayakah?” tanya Maya kembali, meniru dialog dan aksi Ho Yuhang dalam iklan BCB, yang kini telah “bungkus” itu. Dibungkus CIMB.

“Tetapi bukankah semalam teman lelaki cik ialah seekor musang? Saya khuatir buaya ini tidak dapat memanjat kerusi restoran kami yang tinggi!” ujar Bangla, prihatin. Rupa-rupanya semalam pun Maya telah datang ke restoran mamak bersama teman lelakinya, seekor musang berekor sembilan.

“Oh, yang itu! Naruto!” ujar Maya, mengingat-ingat Naruto yang dibawanya semalam. “Dia sudah pulang ke Jepun. Ada penggambaran anime di sana, katanya!” sambung Maya.

“Kalau begitu, isikan sahaja makanannya di dalam mangkuk leper di atas lantai. Buaya akan mengambil makanannya dari situ.” Maya menjelaskan.


(Bersambung...)

1 comment:

Anonymous said...

arghh..! lawak la zek. Mula2 baca, ok la. Pastu nk akhir2 tu mmg merapu, merepek. Yang best tu buaya tu adalah zariman! Haha, pecah perut ;P