PAK NGAH ialah abang tiri arwah ayah. Mereka berdua ialah adik-beradik berlainan ibu sementelah arwah datuk mempunyai tiga orang isteri. Pak Ngah masih kuat dan sihat pada waktu usianya menjangkau 84 tahun. Sewaktu aku menziarahinya yang tinggal seorang diri di rumahnya di Kampung Payamas, Tangkak, dia sedang mengurung tiga ekor anak kucingnya ke dalam sangkar di atas bangsal di belakang rumah. Melihatnya di situ, aku bergerak ke belakang, bersalam dan mencium tangannya. Kami tidak masuk ke dalam rumah. Cukup sekadar di bangsal sahaja berbual-bual.
"Kalau tak kurung, nanti dia berak merata-rata. Payah!" katanya sambil memegang sangkar yang mengurung kucing-kucingnya itu. Ketiga-tiganya mengiau-ngiau bising dan nyaring walaupun bersuara halus.
"Kucing ni, mak dia tak nak bagi susu. Itu yang dia liar cari makan. Berak sana-sini. Bawah katil Pak Ngah pun dia berak!" Pak Ngah merungut. Aku hanya diam dan tersenyum tawar. Simpati sebenarnya. Terlintas di fikiranku tentu payah bagi Pak Ngah untuk mengemas najis kucing di bawah katilnya itu sendiri.
"Dah, jom kita pergi kedai depan tu, minum! Rumah Pak Ngah tak ada apa-apa." ajak Pak Ngah. Aku jadi serba-salah tapi mengikut sahaja ajakan Pak Ngah. Buah-buah yang kubawa kutinggalkan di atas para dalam rumah sebelum Pak Ngah mengunci rumahnya, dan kami berdua pun berjalan ke kedai kopi di depan
Kedai kopi tak jauh dari rumahnya itu sudah pun tutup sewaktu kami tiba. Tuan kedai dan anaknya (barangkali) sedang berkemas untuk pulang, tetapi Pak Ngah jauh dari seberang jalan sudah menjerit memintanya tunggu sebentar untuk kami membasahkan tekak dahulu. Dengan sebatang kayu di tangan sebagai tongkat, Pak Ngah perlahan-lahan melintas jalan sambil dipimpin aku. Perlahan-lahan. Dan sedikit terketar-ketar.
“Orang jauh datang ni!” katanya kepada tuan kedai, merujuk aku sambil melabuhkan punggung. “Buatkan Melo dua.”
Sambil mencicip kuih-kuih bom yang tinggal saki-baki dan meneguk Melo pekat berketul-ketul, kami berbual-bual tentang pelbagai perkara. Sebenarnya Pak Ngah yang lebih banyak bercerita tentang pelbagai perkara. Aku hanya lebih banyak diam, mendengar. Antaranya Pak Ngah bercerita tentang anak gadisnya yang sudah tidak pulang-pulang ke rumah sejak sekian lama setelah berhijrah mencari pekerjaan di sebuah hotel di Pulau
“Merajuk!” kata Pak Ngah, mengingat-ingat anak bongsunya itu.
Sehinggalah kami siap makan dan minum, sehingga aku mahu berangkat pulang, rasa sedih dan haru dalam hatiku tidak surut-surut melihat Pak Ngah. Ketar-ketarnya, suara garaunya yang aku tahu kadangkala menahan sebak, wajah sayunya dan tampang tubuhnya yang kecil mengoyak-ngoyak hatiku hingga berkeping-keping. Aku tahu. Pak Ngah berasa sangat sunyi.
1 comment:
Sedih sangat
sedih amat..
Tok Ngah mengingatkan Alin amat-amat pada Atuk.
Tulisan Tok Ngah pun serupa dengan tulisan Atuk. Alin perasan dekat senarai nombor telefon yang dia tampal dekat dinding. (Serupa sangat dengan atuk!)
Tok Ngah pun selalu bagi duit kasih sayang pada Alin. Waktu Alin pergi Tangkak dengan Tok Ali, (Hari yg sama jemput Pak Busu di Masjid Tangkak) Alin kata nak ke Pekan Tangkak tengok kain. Dia tanya,
"Nak beli kain ke Lin?"
"Taklah, nak tengok-tengok aja."
Lepas tu, dia bagi RM20.
"Nah, pergi beli kain."
Huu.. terharu sangat.. Waktu kenduri naik nisan hari tu pun dia bagi Alin duit..
Bukannya mengukur duit itu sangat, tapi betapa dia mengingati dan menyayangi tu..
Post a Comment