PULANG dari kerja semalam, aku balik ke rumah dulu simpan beg dan tukar kasut kepada capal sebelum keluar semula untuk membeli makanan berbuka puasa. Lorong kecil sebelah jalan besar menuju ke Klang itu punya sejejeran kedai makan yang bilangannya mungkin mencecah angka belasan untuk kupilih yang mana satu berkenan di hati. Aku cuba mencari kedai yang menjual nasi campur dengan lauk-pauk yang boleh kupilih sendiri tetapi tiada. Semua kedai makan yang berbelas-belas itu hanya menyediakan menu segera yang sudah siap dipakejkan dengan harganya. Tiada konsep kamu mengambil nasi dan memilih lauk sendiri, sebaliknya kamu perlu order makanan berdasarkan menu yang ditulis dan menunggu ia disediakan. Tunggulah bulan "pesta makanan" tak lama lagi, bulan puasa, nescaya segala jenis makanan dengan pelbagai konsep akan dijual dan akan habis dijual.
MAKA aku pun membeli sebungkus nasi ayam sahaja dengan harga RM 3. Seperkara yang menarik perhatianku ialah hampir semua kedai makan yang berbanjar itu meletakkan sebuah televisyen di salah satu sudut kedainya, dan semua televisyen yang dipasang itu menyiarkan satu rancangan yang sama, Manjalara. Maka aku yang menunggu nasi ayamku yang sedang disediakan itu terpaksa mendengar dialog pelakon-pelakonnya yang bergema dan melantun-lantun akibat perlanggaran bunyi dari tv-tv yang berdekatan.
1 comment:
Best apa Manjalara.
Haha..
Post a Comment