Sangka kami apabila siren kecemasan kami berbunyi dan berhenti berkali-kali, siren kami rosak. Rupanya tidak. Kecemasan memang benar-benar berlaku. Sewaktu kami berjalan berlenggang-kangkung menuruni tangga bangunan setinggi sepuluh tingkat itu, di ruang letak kereta di tingkat bawah tanah, sebuah kereta telah pun meletup dan terbakar.
Fikirku, jika benar-benar Ezam mahu melawan Anwar di Permatang Pauh, ianya adalah perbuatan yang agak mencolok mata. Ezam amat persis Anwar, jika dilihat gaya berpidatonya, malah gaya percakapan biasanya pun. Mendengar Ezam “membelasah” Anwar seperti mendengar Anwar “menghentam” dirinya sendiri. Ezam melawan Anwar.., hm..., bagiku samalah ia seperti seorang klon melawan induknya sendiri.
“Everything is under control”, begitu ucap seorang wanita berbangsa Cina selepas kami siap berhimpun di kawasan lapang berhampiran pondok keselamatan. Cuaca agak baik. Tidak panas malah berangin, membuatkan kami berasa selesa pula di situ dapat berehat-rehat sambil mengambil udara segar. Tanpa kami ketahui pada waktu itu seseorang telah kehilangan kereta Fordnya dan kereta dua-tiga orang yang lain telah mengalami kerosakan yang teruk.
Entah apa yang dibincangkan dalam forum Memeluk Islam itu, aku tidak tahu. Jika dibaca tajuknya sahaja secara literal, bukankah sangat bagus? Memeluk Islam. Tapi aku tidak tahu apa isi kandungnya sehingga ia mencetuskan kecoh. Suratkhabar hanya mensensasikan insiden bantahan tanpa petunjuk apakah yang dibincangkan dalam forum itu. Seorang Cina sehingga telah disuruh “balik China” dalam suasana penuh marah-marah pada hari tersebut.
Hampir sejam juga kami di bawah itu, menunggu. Dua-tiga orang anggota bomba yang kami lihat sebentar tadi telah tiada. Agaknya mereka sedang sibuk mengemas sisa kebakaran di aras yang berkenaan. Perut sudah menyanyi lagu irama asli. Lif tidak boleh digunakan buat sementara waktu. Untuk ke pejabat sepuluh tingkat di atas, kami perlu berjalan kaki. Sehingga kami masuk bekerja semula kira-kira sejam selepas itu, kami sedar bahawa api ketika besar benar-benar membawa mudarat yang bukan sedikit.
Bagi kanak-kanak yang suka bermain api, mereka hanya tahu keburukan pekerjaan tersebut setelah tangan mereka melecur atau bagi yang lebih teruk kesnya, kudung, jika mereka bermain mercun. Selagi mereka belum terkena, mereka akan terus bermain tidak kiralah siapapun yang menegur atau memarahi mereka. Kita bukan kanak-kanak. Kalau boleh, janganlah kita begitu.
No comments:
Post a Comment