Abang ipar saya (abang isteri saya yang beberapa bulan lebih muda daripada saya) selamat melangsungkan perkahwinannya dengan seorang gadis Kedah pada pagi semalam. Dari Tangkak, kami menaiki bas sewa pada hari Sabtu malam Ahad kira-kira jam 9.30. Kami mungkin berhenti di R&R lima kali untuk solat, makan, buang air dan meluruskan pinggang sebelum sampai di rumah persinggahan di Jitra kira-kira jam 8.00 pagi keesokan harinya. Kali terakhir saya menaiki bas untuk tempoh yang lama ialah dari Jasin ke Kota Bharu, menghadiri Muktamar PAS di Putik pada tahun 2004. (Apa khabar agaknya para perwakilan tahun ini di Ipoh? Moga-moga perbahasan yang sihat dan membina dapat berlangsung hendaknya untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Kadangkala kita perlu mengorbankan yang “besar” untuk mendapat yang “lebih besar”).
Perkahwinan sememangnya menyenangkan hati semua orang. Terutama yang berkahwin itu sendiri. Dan kesenangan hati itu memang terpampang di wajah abang ipar saya dan isterinya pada hari itu, walaupun riak gementar masih jelas kelihatan juga, kadangkala. Kesenangan hati itu malah dikongsi semua walaupun tubuh badan fizikal kami masih letih diheret perjalanan berjam-jam dengan bas sekolah malam tadi. Di dalam bas pagi tadi sewaktu waktu Subuh hampir berakhir, saya menunjukkan bulan penuh malam Nisfu Sya’ban yang beransur-ansur menyorokkan dirinya di balik bukit kepada isteri saya di sebelah kerusi. Sungguh indah. Melihat bulan purnama yang gilang-gemilang perlahan-lahan melabuhkan sayap malam begitu, menyediakan ruang seluas-luasnya kepada fajar yang akan muncul pula beberapa ketika kemudiannya.
Abang ipar saya membaca lafaz taklik dalam tulisan jawi dengan lancar selepas selesai lafaz akad nikah. Kami semua mendengar. Ada sedikit sayu di dalamnya. Entah di mana. Selepas cincin disarungkan di jari manis isteri dan dahinya dikucup, hati semua orang menjadi bunga kembang. Satu ikatan telah termeterai. Kami menjadi saksinya. Seperti yang saya kata tadi, perkahwinan menyenangkan hati semua orang. Hanya sahaja kalau yang berkahwin itu orang.
Dalam perjalanan pulang ke selatan malam itu, bas kami singgah di R&R Gunung Semanggol. Gunung Semanggol yang penuh sejarah. Saya teringat Almarhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Kalaulah beliau masih hidup, entah apa ijtihadnya lewat suasana keliru hari ini. Di kedai majalah paling hujung, pandangan saya terpempan pada akhbar Harakah yang sudah berwajah baru. Mungkin sempena meraikan pengeluarannya yang kini dua kali seminggu. Ada beberapa berita tentang Permatang Pauh yang sempat saya baca. Antara yang paling menarik hati saya ialah betapa Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar pernah menentang Anwar Ibrahim di sana.
Perkahwinan menghalalkan perhubungan lelaki-perempuan yang sebelumnya haram. Perkahwinan adalah cara Islam memelihara umatnya daripada kehinaan. Sehingga lampu di dalam bas ditutup, tidak banyak yang dapat saya baca di dalam Harakah. Tetapi yang saya pasti, di dalamnya tiada berita tentang perkahwinan. Ah, mungkin ia akan ada dalam Harakah beberapa keluaran akan datang, agaknya.
1 comment:
lina singgah muktamar hr tu..
tp x la g perwakilan tu, bukan tgk ngan shbt kn..
tgk area jual-beli tu..
i'llah tahun depan leh g kot..
Post a Comment