Di KL Sentral, sempat aku dan isteri menikmati makan malam dan solat jama’ Maghrib dan Isya’ sebelum kami berjumpa anggota rombongan lain, Nadiah, Haliza, Kak Ina dan Aishah di tingkat dua, berhampiran Nile Books Store. Selepas itu, seorang demi seorang datang; Encik Anuar dan anak gadisnya, Nazifah, adik-beradik Amirah, `Adibah dan Anisah, pasangan suami-isteri Encik Nik dan Dalia, juga Liyana, Iezzat, Mujahedd, Himady, Asyraf, Fairuz dan Fathi. Kami tidak melepaskan peluang berkumpul beramai-ramai itu untuk bergambar dengan kamera masing-masing. Di luar stesen, hujan turun selebat-lebatnya.
Kami hanya menaiki kereta api kira-kira jam 9.15 malam. Gerabak kereta api yang kami naiki itu dinamai Senandung Malam, nama yang cukup melankoli. Dan malam itu perjalanan kami dari Kuala Lumpur ditemani bulan penuh malam Zulqa’idah, yang menemani kami sehingga ke Tanjung Pagar.
Sewaktu embun sudah menitik, kami masih di dalam gerabak, membuatkan Subuh kami pagi itu bersejadahkan cadar tilam kereta api yang empuk dan menenggelamkan dahi semasa bersujud. Sejuk malam tadi masih belum hilang. Aku ke bilik air dengan gigil dan gegar, kerana sejuk cuaca pagi dan kerana digoyangkan kereta api yang bergerak.
Kami perlu turun menyerahkan pasport dan slip imigresen untuk dicop di Pejabat Kastam dan Imigresen selain mengimbas beg, sebelum naik semula ke dalam gerabak. Setiba di stesen kereta api Tanjung Pagar, matahari telah pun meninggi, menyambut kami yang keletihan dan agak kelaparan. Pak Djamal Tukimin, sasterawan dan budayawan Singapura telah sedia menunggu kedatangan kami di sebuah kedai makan, tempat kami mengambil sarapan pagi selepas itu. Roti canainya tidak seempuk roti Malaysia, begitu juga nasi lemaknya tidak selemak nasi Malaysia; ia agak cepat memuakkan. Malah, teh tariknya agak berbau masam kerana dicampur dengan susu cair, bukannya susu pekat.
Pak Djamal meminta kami segera bersiap untuk ke destinasi pertama lawatan kami, Jam’iyyah Singapura di Jalan Gurney. Waktu sudah agak lewat, tidak memungkinkan kami ke penginapan terlebih dahulu untuk mandi dan bersalin baju. Maka pergilah kami ke sana, memulakan hari pertama kami di Singapura dengan badan melekit dan muka berminyak.
6 comments:
WAhhhh. Alamak jelesnyer.
Takpe, lain kali kita pergi lagi.
salam.
saya nak mohon keizinan untuk meng-link-kan cerpen politik satira saudara ke blog saya.
Salam, Jebat.
Silakanlah, saya sangat berbesar hati.
Tak sabar nak tunggu Bahagian ke 2
Post a Comment