Prof. Dr Teo Kok Seong dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM lewat ruangan Surat Pembaca di akhbar Berita Harian pada hari Selasa lalu menyinggung betapa Bahasa Melayu sudah dilukutkan di tepi gantang oleh penuturnya sendiri sejak sekian lama. Beliau yang turut tidak bersetuju dengan langkah yang bakal diambil Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat itu walaubagaimanapun menyimpulkan langkah itu bukanlah satu-satunya tindakan yang akan meletakkan Bahasa Melayu di pinggir cerun peradaban sebelum tersemadi di pusara sejarah, bahkan penutur asal bahasa inilah yang seharusnya bertanggungjawab di atas hilangnya kepercayaan orang ramai terhadap bahasa yang pernah menguasai rantau Asia Tenggara ini.
Menurut beliau, tindakan-tindakan seperti menamakan kereta nasional dengan nama-nama Inggeris seperti Persona, Gen2, MyVi, Savvy dan Viva adalah tindakan yang lebih mencolok mata berbanding meletakkan bahasa-bahasa Mandarin dan Tamil di samping Bahasa Melayu pada papan tanda jalan. Walhal sebelum itu, nama-nama dalam Bahasa Melayu seperti Saga, Wira, Waja, Perdana, Kancil dan Rusa telah luas digunakan dan tiada sebarang masalah timbul daripadanya. Malah, nama “Keris” untuk motosikal nasional turut dimodifikasikan menurut acuan bahasa Inggeris menjadi “Kriss”.
Tindakan ini katanya lagi bukan hanya dilakukan di peringkat kerajaan Persekutuan bahkan ia diikut sama kerajaan PAS di Kelantan apabila menamakan pasar raya yang baru dibina di sana dengan nama Inggeris juga, KB Mall berbanding nama lain dalam Bahasa Melayu. Adakah Bahasa Melayu terhad kosa katanya atau lemah sistemnya?
Lazimnya kita mengaitkan usia kemerdekaan negara dengan kematangan penduduknya. Tetapi di sini, selepas penjajah meninggalkan kita sekurang-kurangnya secara fizikal, selama lebih lima puluh tahun, pemikiran kita masih keanak-anakan dan masih belum mahu dewasa. Sebelah pihak masih mahu mengekalkan mentaliti hamba yang masih dijajah dengan cenderung berbahasa penjajah dan mengamal gaya hidup seperti penjajah, manakala sebelah pihak yang lain berasa terancam dengan bahasa kebangsaannya sendiri lalu mencari dan menggali bahasa ibundanya bukan untuk dihidup dan dibudayakan secara sihat bahkan untuk ditonjol-tonjolkan secara melulu, untuk menyaingi seterusnya menenggelamkan bahasa kebangsaannya yang dianggap sebagai pengancam survival bahasa ibundanya.
Mujur ada orang “dewasa” seperti Prof. Dr. Teo Kok Seong yang tidak segan silu bangun membela bahasa kebangsaan apabila ia diancam walaupun beliau cukup sedar di dalam dirinya juga mahu agar bahasa ibundanya turut diperjuangkan sedemikian rupa. Tetapi beliau ialah rakyat Malaysia yang dewasa, yang tahu mendahulukan yang lebih penting daripada yang penting, yang memilih keluasan akal daripada kesempitan sentimen, lalu yang ada di dalam hatinya itu disimpan sahaja kerana beliau tahu masanya masih belum tiba.
Orang Melayu, Cina dan India harus belajar daripada kematangan Prof. Dr. Teo dalam menanggapi isu bahasa di negara ini. Kepada orang Melayu, jangan berasa terlalu bangga bahasa anda dipilih sebagai bahasa kebangsaan, anda harus sedar pemilihan itu menyebabkan ada sentimen yang harus dikorbankan.Perjuangan anda membela Bahasa Melayu jangan sampai dilebihkan oleh emosi kekauman anda sebaliknya harus didasarkan kepada rasa bahawa kejayaan bahasa ini di negara ini akan membantu keharmonian dan perpaduan kerana sejak dulu lagi bahasa telah terbukti sebagai medium perpaduan yang paling ampuh dan tidak memakan mangsa. Maka perjuangan anda membela Bahasa Melayu harus bertanggungjawab dan luhur tanpa ada sebarang kepentingan peribadi mahupun kepentingan politik.
Kepada orang Cina dan India, jangan berasa budaya dan bahasa anda diancam oleh orang Melayu dengan perjuangan kami membela Bahasa Melayu. Bahasa ini adalah bahasa kita yang perlu kita perjuangkan bersama. Jika anda berasa harga sentimen yang perlu anda korbankan itu terlalu mahal, percayalah, anda dan kita semua tidak bersedia membayar harga yang lebih mahal daripada itu pada masa akan datang jika harga sentimen itu tidak dibayar hari ini. Dan jika anda bersetuju bersama-sama kami memperjuangkan bahasa kita ini seperti yang dilakukan Prof. Dr. Teo Kok Seong, atas keluhuran hati dan jiwa besar anda itu, kami ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Dan selepas itu sama-samalah kita berharap agar Malaysia yang kita cintai ini menjadi bumi subur untuk kita diami bersama agar kita dapat saling kenal-mengenal dan menumpahkan kasih-sayang sesama kita.
No comments:
Post a Comment