Semalam, saya membawa isteri ke Summit USJ menonton filem James Bond terbaru, Quantum Of Solace. Summit begitu tidak menyelesakan dengan anak-anak tangga di ceruk tertentu berbau hancing, pintu tandas yang berlubang dan tidak boleh ditutup, surau yang terletak nun di sudut alam bersebelahan barang-barang buangan dan suasana suram yang entah kenapa begitu walaupun lampu cukup banyak dipasang.
Walaupun begitu, kami tetap menikmati kira-kira dua jam yang mendebarkan dada dan membingitkan gegendang telinga itu dengan seronok dan sedikit teruja. James Bond garapan Marc Foster, pengarah The Kite Runner yang diangkat dari novel sulung Khaled Hosseini, dan pembawaan Daniel Craig yang bersedia kelihatan comot saya fikir jelas berbeza daripada versi-versi Bond sebelum ini. Apa yang saya nampak ialah nilai artistiknya. Ia “sepatutnya” tidak ada di dalam filem aksi seperti itu kerana lewat kurun ini pengarah-pengarah filem aksi hanya cenderung meletupkan helikopter dan menghumban kereta ke dalam gaung begitu sahaja tanpa sebarang makna. Tetapi Foster walaupun menyuruh heronya membelasah lawan sehingga separuh nyawa, ia dilakukan dengan cukup berbeza berbanding belasah biasa-biasa. Ia kadangkala diselang-selikan dengan adegan lain contohnya dalam satu adegan apabila Bond mengejar penyamar dalam organisasinya, adegan itu diselang-selikan dengan adegan kejar-mengejar satu pertandingan lumba kuda yang berlangsung tidak jauh dari situ. Muzik yang dimasukkan juga ada kelainan. Ia kadangkala orkestra, kadangkala nyanyian soprano. Ia aksi yang berseni, menyebabkan kita berasa seperti orang yang dibelasah itu tidak sakit dipukul sebegitu rupa.
Jalan ceritanya juga berbeza, saya fikir. Agak memerah otak juga untuk memahami jalan ceritanya, berliku-liku, banyak simpang, tidak bergerak linear seperti kebanyakan filem aksi lain yang semata-mata aksi. Jalan ceritanya menampakkan kebijakan pengarahnya dan penghormatan kepada penonton kerana tidak diperbodoh-bodohkan. Di sebalik menghidangkan karyanya secara terus untuk santapan penonton, Foster sebaliknya memberi pilihan kepada kita bagaimana mahu menjamah karyanya itu. Gadis-gadis Bond dalam filem ini juga saya lihat tidak begitu teruk dimanipulasi seperti filem-filem Bond terdahulu.
Namun di sebalik semua itu, saya juga sedar bahawa sehebat mana pun ia, ia hanya filem di layar perak. Dalam dunia realiti, kita tiada James Bond untuk membelasah penyangak-penyangak antarabangsa yang menunggang politikus-politikus dunia untuk sepetak lot di peta negara, menyusun giliran penguasa dan menggantikannya dengan pejuang kebebasan sesuka rasa untuk kepentingan mereka.
Kita tiada James Bond, maka kita perlu melakukannya sendiri.
3 comments:
Jeles ye..
nape pak busu dh tgk dh..:(
Summit punye wayang brp?
ke harga sama je?
Harga dia RM 9. Tapi pak busu dapat voucher, jadi tak payah bayar. 13hb ni ada pesta filem Eropah di GSC Midvalley Megamall dan lagi dua tempat (tak ingat). Kalau tak silap harga tiket RM 5 sahaja.
Ooo pak busu pergi Summit tak singgah rumahhhh
Post a Comment