Monday, January 19, 2009

Eskapis

Dulu, sewaktu umur remaja saya masih terlalu tunas dalam lingkung idealisme (dan banyak naïfnya), saya pernah berkata kepada seorang kawan, “Aku dah bosan hidup dalam Malaysia ni. Aku rasa nak pergi Bosnia, berjihad di sana!”. Tanpa saya sedari itu sebenarnya adalah sikap eskapisme saya dan mahu menafi tanggungjawab di bumi sendiri lalu konon mahu menunai tanggungjawab yang lebih besar di luar.

Antara kelemahan sendiri dan kesedaran, kita selalu bertanya dan sering akhirnya terperangkap di antara keduanya; mana yang mahu kita utamakan, mana yang mahu kita lepaskan diri daripadanya, mana yang mahu kita jadikan batang besi tempat berpegang. Di penghujungnya, kita sering memujuk sendiri, betapa keputusan yang kita buat itu harap-harapnya betul, mengharapkan tiada mudarat atas pertimbangan yang kita pilih, mengharapkan Allah mengampunkan dosa-dosa kita.

Dan seiring detik masa yang sedikit demi sedikit bertambah, sama ada kita sedari atau tidak, beban yang tertanggung di pundak kita juga semakin memberat. Semakin datang orang-orang dari sekeliling yang menuntut pertanggungjawaban kita. Semakin kita akan ditanya tentang apa yang kita pilih, apa yang tidak kita perbuat, apa yang telah kita terlepas.

Kita tidak dikurniakan pilihan pulang ke masa lalu untuk mengubah apa yang telah kita terlanjur berbuat atau memulangkan semula barang orang yang telah kita ambil, atau meletakkan semula barang yang kita sesali di tempatnya yang asal kerana mengambilnya dengan tergesa-gesa, tanpa pada masa itu mahu berfikir panjang terlebih dahulu.

Selain menyesal, seperti tadi, sekali lagi kita akan memujuk diri. Kita akan sendiri-sendiri menenangkan hati. “Ini tidak apa-apa”. “Ini bukanlah teruk sangat”. “Ini masih sempat”.

Tanpa kita sedari itu sebenarnya adalah sikap eskapisme kita.

No comments: