Thursday, January 22, 2009

Sisi-sisi Kreatif Yang Tidak Sama

Sering berlaku apabila kita ditakdirkan untuk ke tandas awam di mana-mana, sesering itulah akan tercerap oleh pancaindera kita akan pelbagai iklan lewat dinding atau pintunya yang mengajak kita menghubungi nombor telefon yang ditera di situ mengajak kita melakukan perkara yang tidak tergamak dek kita melakukannya walaupun kita mati dan hidup semula berkali-kali.

Tandas telah dijadikan medium pengiklanan paling ampuh golongan berorientasi seks songsang untuk memasarkan produk mereka. Dengan atau tanpa ilustrasi tertentu, mereka menjadikan tempat terakhir yang akan kita pergi itu sebagai ruang iklaneka percuma mereka mencari pelanggan. Resam orang yang berfikiran kotor, akan mencari tempat yang kotor pula untuk mengajak orang membuat kerja-kerja kotor seperti mereka.

Mereka mungkin menyangka mereka adalah golongan yang berfikiran kreatif dengan menconteng tandas sebegitu. Tetapi sebenarnya tidak. Lukisan mereka tidak cantik sama sekali, malah menjijikkan dan membuatkan kita tidak berselera meneruskan hajat kita yang terpendam itu. Jika mereka menyangka mereka sekreatif penconteng graffiti di dinding-dinding tembok, mereka silap. Graffiti cantik, mereka jelik. Walaupun kedua-duanya vandalisme, saya lebih merelai graffiti yang sejuk mata memandang berbanding contengan lucah di dinding tandas.

Kreativiti bagi saya menuntut seni. Dan seni menuntut keindahan. Keindahan itu pula suci. Tanpa premis suci, kreativiti tidak bermakna apa-apa, melainkan hanya sampah yang dibuang dan layak disepak orang.

No comments: