Seorang anak muda berbangsa Cina dalam lingkungan usia awal 20-an, barangkali seorang pelajar kolej swasta, sedang duduk berbual dengan rakannya seorang yang pada awalnya saya sangka berbangsa India tetapi selepas itu saya sedar yang dia sebenarnya seorang Melayu, mencicip segelas teh tarik, dengan sepinggan roti canai di atas meja di lokasi biasa berkumpulnya rakyat Malaysia tipikal seperti kita – kedai mamak. Lelaki muda Cina itu berjersi Arsenal versi tempat lawan, berkaca mata tidak berapa tebal, badannya kurus kering melengking tetapi suaranya kuat seperti guruh.
“Diaby is more like the next Patrick Viera,”
“(Diaby lebih seperti Patrick Viera yang baru),” katanya tersenyum meleret, tangannya mengunggis-unggis roti canai yang masih bersisa, dengan menggunakan sudu dan garfu.
Saya hanya memesan segelas Milo ais, tidak mahu berlama-lama di situ kerana perlu masuk kerja tidak berapa lama lagi. Tetapi jejaka berjersi Arsenal itu telah menarik perhatian saya, mengikat punggung saya di kerusi itu sekurang-kurangnya untuk beberapa minit lagi.
“Aku masih ingat dalam satu perlawanan semasa Thierry Henry menerima bola daripada pemain pertahanan di depan kawasan gol lawan. Bola berada di belakangnya. Tanpa memusingkan badan, dia menyungkit bola yang masih berada di udara dengan tumit kaki sehingga bola melantun di depannya. Dia terus menjaringkan gol.” Roti canai di depannya digumpal-gumpal seperti bola bersama kuah dal sebelum dikunyah perlahan-lahan. Lelaki Cina itu kelihatan teruja bercerita kepada rakan Melayunya yang lebih banyak berdiam diri.
Saya turut menjadi sedikit bersemangat. Tetapi mengaitkan Arsenal dengan Henry yang sudah berhijrah ke Barcelona agak tidak realistik.
Arsenal sewaktu masih memiliki Thierry Henry, Patrick Viera, Robert Pires, Dennis Bergkamp dan yang seangkatan dengan mereka, mencapai zaman kegemilangannya dengan meraih kejuaraan-kejuaraan utama termasuk Liga Perdana Inggeris. Kuatnya pengaruh Henry dalam Arsenal dan sebaliknya sehingga menyebabkan prestasinya dalam pasukan kebangsaan Perancis tidak begitu menonjol kerana gaya Arsenal telah begitu kuat membentuk permainannya. Bersama Arsenal, Henry menjadi penjaring terbanyak Liga Inggeris hampir setiap tahun, memenangi Pemain Terbaik England sebanyak dua kali dan hampir memenangi Pemain Terbaik Dunia.
Walaupun umum mengetahui Arsenal dengan Henry bagai irama dengan lagu, Arsene Wenger tidak menghalang hasrat Henry berhijrah ke Barcelona pada tahun 2007. Begitu juga perpindahan beramai-ramai bintang-bintang ternamanya pada tahun-tahun sebelum dan berikutnya.
Wenger cukup tahu, pasukan tidak dibentuk dengan bakat individu. Sebaliknya, oleh gagasan dan hala tuju yang digariskan oleh pasukan itu sendiri. Inilah yang akan membentuk individu-individu di dalamnya. Pemain datang dan pergi, tetapi Arsenal setakat ini masih berada dalam liga.
Beberapa hari lalu, PKR bahagian Jerai dibubarkan ketuanya, B. Kalai Vanar hanya kerana berasa bosan dan kecewa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalai Vanar barangkali tidak mengambil falsafah Wenger bahawa Anwar hanya individu, bukan pasukan. Hanya kerana kecewa dengan Anwar seorang, membubarkan bahagian parti adalah tindakan tidak matang yang dilakukannya dan terlalu menampakkan hasratnya yang tidak dapat dilaksanakan parti.
Terlalu mengaitkan Anwar dengan PKR dan PR adalah tidak sihat. Kepimpinan perlu kolektif dan berimbang. Jangan mengangkat Anwar terlalu tinggi, takut-takut kalau terjatuh nanti sakitnya tak tertanggung.
Apa jadi kalau Anwar keluar PKR? Adakah PKR juga turut bubar?
Jadilah seperti Arsenal. Walaupun Henry dan Viera sudah keluar, kita tidak bimbang. Walcott dan Diaby akan matang segera untuk menggantikan peranan mereka. Kita hanya perlu sabar sekejap.
No comments:
Post a Comment