Saya bekerja di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya. Sebut sahaja kolej swasta, yang terbayang di fikiran kita tentulah pelajar-pelajarnya yang peratusan besarnya terdiri daripada bangsa Tionghua. Di negara ini, bangsa-bangsa mahu dipisahkan dari segenap segi, kalau boleh. Dikotomi dipaksakan sejak dari sekolah rendah dan diteruskan ke peringkat pengajian tinggi. IPTA untuk pelajar Melayu tambah Bumiputera, IPTS untuk pelajar Cina, India dan lain-lain bangsa. Namun, apa yang ajaibnya, kita masih mampu hidup bersama-sama dengan aman tanpa sebarang krisis yang ketara, seperti di Afrika Selatan contohnya, atau di Indonesia. Atau sebenarnya kita hanya menyimpan api masing-masing di dalam sekam? Atau mengunci bom jangka sehingga ke satu masa yang kita belum pasti?
Persoalan perpaduan atau kerapuhannya walaubagaimanapun belum mahu saya sentuh dahulu di sini buat masa ini. Saya hanya mahu memetik salah satu perkara menarik yang dapat saya perhatikan sepanjang bergelumang dengan pelajar-pelajar bermacam bangsa itu, baik lokal atau luar lokal.
Di sini, bahasa perantara yang utama sudah tentulah bahasa Inggeris. Bahasa kebangsaan sudah jatuh nombor tiga selepas bahasa Inggeris tadi dan bahasa Mandarin. Maka saya terpaksa melaraskan semula lidah saya yang sudah terlalu keras dengan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Tapi usaha ini tidaklah mustahil atau terlalu sukar untuk dilakukan. Alhamdulillah, lama-kelamaan lidah yang keras itu mampu dilentur. Cuma bahasa Mandarin belum “sampai seru” untuk saya pelajari lagi.
Apa yang dapat saya perhatikan, pelajar-pelajar tempatan yang berbahasa Inggeris tadi sekali-sekala akan memasukkan beberapa perkataan Melayu di dalam perbualan mereka. Maknanya, menggunakan bahasa rojak. Saya katakan “sekali-sekala” kerana pada kebanyakan masa mereka menggunakan bahasa Inggeris yang sempurna dan lancar. Bahasa rojak yang mereka gunakan tidaklah seperti bahasa rojak yang orang Melayu gunakan ketika berbahasa Inggeris atau berbahasa Melayu sendiri, pun. “Rojak” orang Melayu terlalu banyak bahan, tidak seperti rojak mereka. Perkataan-perkataan Melayu yang mereka masukkan lewat perbualan mereka dalam bahasa Inggeris itu, yang dapat saya cerap kurang lebih hanya ada tiga.
Makan.
Malas.
Semangat.
Contoh dialog mereka pula kira-kira begini:
“Guys, we go makan after class, ha!”
“I don’t know why I’m so malas today.”
“Wo, study aa? So semangat la this boy!”
Bahasa menunjukkan bangsa, kata orang. Bahasa juga menunjukkan budaya. Perkataan-perkataan seperti “paddy”, “bamboo” dan “rattan” diambil terus dari perkataan-perkataan Melayu “padi”, “bambu” dan “rotan”. Ia tidak diterjemah atau diberi nama yang baru dalam bahasa Inggeris. Hanya diubahsuai sedikit. Maknanya, orang Inggeris pun perlu “berbahasa Melayu” untuk menyebut perkataan-perkataan tersebut. Perkataan-perkataan ini menunjukkan apa? Ia menunjukkan budaya Melayu yang sangat rapat dengan alam.
Apabila “makan”, “malas” dan “semangat” diambil bangsa lain dalam perbualan seharian mereka, adakah saya yang Melayu ini mahu berasa bangga kerana perkataan ibunda saya digunakan untuk menerangkan maksud sesuatu perkara? Saya mungkin patut bangga dengan perkataan “semangat” yang diambil sebagai rujukan, tetapi untuk perkataan-perkataan “makan” dan “malas”, saya sangat malu mahu mengaku yang kuat makan dan sikap malas adalah rujukan kepada budaya bangsa saya.
No comments:
Post a Comment