Faham demokrasi memberi kuasa kepada kuantiti, bukan kualiti. Selamatlah kita jika kuantiti yang menang itu juga mempunyai kualiti pada masa yang sama. Jika tidak, demokrasi yang kita harap-harapkan itu hanya akan meletakkan kita ke jurang kekecewaan.
Ada pendapat yang mengatakan demokrasi di negara kita belum cukup matang, maka ia perlu diperkasa – ironisnya, melalui pilihan raya.
Persepakatan politik antara parti-parti berlawan bukan gagasan baru. Mantan Presiden ABIM, Saudara Ahmad Azzam Abdul Rahman pada tahun 2002 pernah mencadangkan agar parti-parti mengadakan “gencatan senjata politik” untuk meredakan iklim politik yang panas pada ketika itu. Tahun yang sama, atas inisiatif dan usaha gigih ABIM juga, menyaksikan satu pertemuan antara parti UMNO yang diwakili Presidennya, Tun Dr Mahahir dengan parti PAS yang juga diwakili Presidennya, Almarhum Ustaz Fadzil Noor, di Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan memakai alasan solidariti Palestin.
Ya, pertemuan itu boleh sahaja ditafsir dengan pelbagai cara, bergantung kepada sekolah dan mazhab pemikiran mana yang anda anuti, tetapi apa pun, pertemuan itu tetap berjaya dilakukan. Ia, pertemuan itu tetap meninggalkan setidak-tidaknya kesan sentimental di hati penontonnya, dan boleh jadi juga, bunga harapan mungkin berkembang (walaupun ia mungkin mati tidak beberapa lama selepas itu).
Idea itu kemudiannya tidak lagi disegarkan, diberi nafas. Ia dibunuh terus sehinggalah Presiden PAS yang sekarang ini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, baru-baru ini menyebut terma “kerajaan perpaduan”. (Malah sebelum itu lagi, di Parlimen, sewaktu membahaskan usul Palestin yang sedang penyek dilanyak zionis Israel, dalam usaha kita membantu umat Palestin, Ustaz Hadi ada menyebut “kita sekarang dalam satu Barisan dan dalam satu Pakatan” dan disambut dengan tepukan gemuruh oleh ahli Dewan.)
Sayangnya, idea murni ini jika ia adalah Hang Nadim, maka ia juga terpaksa dibunuh kerana fikiran-fikiran yang nakal khuatir ia akan membawa mudarat apabila ia besar.
Lalu, begitulah pengakhiran idea perpaduan. Mati. Walaupun yang melahirkannya adalah Tuan Presiden sendiri. Untuk menjadikannya lebih dramatik, Tuan Presiden berkemungkinan dicabar dalam Muktamar tidak berapa lama lagi dan berkemungkinan akan tewas. Idea perpaduan sudah boleh dikebumikan enam kaki di bawah tanah.
Mematangkan demokrasi dengan pilihan raya (dan pemilihan)?
Faham demokrasi memberi kuasa kepada kuantiti, bukan kualiti. Selamatlah kita jika kuantiti yang menang itu juga mempunyai kualiti pada masa yang sama. Jika tidak, demokrasi yang kita harap-harapkan itu hanya akan meletakkan kita ke jurang kekecewaan.
Selamat bermuktamar.
No comments:
Post a Comment