Hafiz, kawan se-Tabligh 40 hari saya (agaknya pada tahun 1999), tiba-tiba muncul semula di depan mata selepas sepuluh tahun. Kami bertentang selepas selesai solat Maghrib di masjid di Bangi, selepas memberi salam. Malunya saya apabila saya tidak ingat namanya, dia yang ingat nama saya. Hafiz kini menetap dan bekerja di Bangi, bekerja di sebuah syarikat swasta berkaitan ukur-mengukur. Sudah berkahwin, malah sedang menunggu kelahiran anak ketiga tidak lama lagi.
Kami sebaya. Apa yang dapat saya ingat tentangnya dari dulu ialah dia bersolat dengan sangat lama, menyelesaikan satu rukun demi satu rukun dengan sangat lambat, bergerak beralih dari satu rukun ke satu rukun dengan sangat perlahan. Saya percaya, tidak ramai yang punya kesabaran seperti Hafiz.
Hafiz pernah membonceng saya, lama dulu di Kuala Besut, Terengganu sewaktu kami berdua sama-sama dalam jemaah 40 hari. Saya tidak ingat kami mahu pergi ke mana dan dari mana. Motosikal, kami pinjam dari ahli jemaah tempatan. Tidak kami sangka tangki minyaknya sudah kering lalu matilah enjin motosikal di tengah jalan. Menendang-nendang starter tidak dapat menghidupkan enjin.
Waktu itu keyakinan dan kebergantungan kami sangat tinggi kepada Tuhan. Ada bangsal kecil di tepi jalan waktu itu. Kami masih ada wudhu’. Kami lalu membuang selipar di kaki dan memanjat bangsal. Menghadap arah matahari terbenam, kami dirikan solat hajat meminta bantuan Allah terhadap kesulitan yang kami hadapi.
Dengan izin Tuhan, enjin motosikal dapat dihidupkan semula selepas itu, syukurlah. Kami pulang ke masjid tempat kami menginap. Keajaiban kecil telah Tuhan tunjukkan di depan mata kami.
Wajah Hafiz tidak berubah. Masih cerah dan bersih seperti sepuluh tahun dulu. Bersinar dengan cahaya kesan wudhu’. Nampak jauh lebih muda daripada usia sebenar. Senyum di bibir juga tidak lekang. Cuma janggutnya sedkit sudah bertambah lebat.
“Ada ijtima’ sedunia di Nilai bulan depan. 9, 10, 11.” Kata Hafiz sebelum kami berpisah di pintu masjid. Saya memaniskan muka.
Betapa jemaah ini mampu mengetuk pintu hati manusia, langsung membukanya untuk menerima sinar hidayah. Terus-terang saya berasa sejuk hati dan berasa ingin menjadi baik selepas melihat muka Hafiz yang sesejuk air batu.
2 comments:
bagus ada kwn mcm 2.mmbw kita ke arah kebaikan.mudahan kalian terus menjalin ikatan persahabtan itu.
Terima kasih, Shahrin. Insya-Allah terus berkawan.
Post a Comment