Tuesday, June 09, 2009

Kononnya Rantai Persahabatan

Persahabatan itu seperti tangan dengan mata. Saat tangan terluka, mata menangis. Saat mata menangis, tangan menghapusnya. Selamat Hari Persahabatan Sedunia. Kirim ini ke semua teman-temanmu yang kamu sayangi, salah satunya kirim balik, ya. Lihat berapa banyak kamu dapat balasan. Kalau lebih daripada 7 artinya "you are loveable".

Kamu barangkali sudah terlalu letih menerima SMS sebegini yang dinaungi taikun-taikun konglomerat telekomunikasi, hanya sebenarnya mahu mengajak kamu menambah angka-angka di dalam akaun bank mereka. Mereka menggunakan apa sahaja sentimen yang ada, persahabatan, nasionalisme, politik kepartian, malah agama untuk memaksa kamu "sila kirim" atau "tolong sebar" untuk memanjangkan rantai keuntungan mereka, sekaligus rantai penindasan kepada kamu sendiri.

Terpengaruh dengan ajakan mereka ini bermakna kamu secara sukarela menyerah tengkuk menjadi ejen kapitalisme, dogma yang diimani (malah disembah) dunia pada ketika ini. Lebih malang, sebagai ejen, kamu tidak dibayar bahkan kamulah yang perlu membayar para taikun (baca: penyangak-penyangak) itu.

Sekurang-kurangnya kapitalis tempatan kita, para Ah Long, lebih berterus-terang dengan menggunakan rantai dan penjara sebenar berbanding kapitalis Barat yang berselindung di sebalik kredit mikro, faedah, guna dahulu sebelum bayar dan pelbagai lagi muslihat dan helah yang rumit dan kompleks, yang tidak kita fahami.

(Tahu-tahu sahaja kereta sudah ditarik oleh bouncer, rumah disita dan dilelong, nama sudah diblack-list melalui CTOS, atau diri diisytihar muflis – ini semua berlaku di depan mata kita, satu kekejaman yang telah pun kita tolak ansurkan, berbanding kekejaman Ah Long merantai mangsa-mangsa mereka).

Dan apabila massa menolak kepulangan Chin Peng ke Malaysia, kita gagal membaca itu sebagai percubaan kapitalisme menolak sebarang usaha komunisme yang menjadi saingan terbesar mereka daripada cuba-cuba kembali menyaingi mereka di sini.

Tanpa ragu-ragu kita melaung menyorak membantah Chin Peng dan komunis, selain ikut sama membentang fakta sejarah yang separuh benar sambil cuba-cuba memakai baju nasionalisme untuk menutup kurap panau pembohongan dan ketidaktahuan kita. Kita tidak dapat nampak seekor gergasi kapitalis di belakang kita sedang bersandar berpeluk tubuh sambil tersenyum.

2 comments:

ayin said...

dlm diam,duri dlm daging:-)

Haizir said...

Terima kasih, Shahrin. Yang aku tak suka tu, nak kasi SMS kasi je la. Nak suruh balas balik pulak.