Tuesday, September 08, 2009

Dibunuh Teknologi

Lutfi Ishak menulis di blognya tentang budaya menulis surat yang semakin terlupakan akibat kemunculan teknologi-teknologi baru yang tumbuh ganas di Internet.

Golongan penulis, selain menulis cerpen, puisi, juga menulis surat, terutama kepada rakan mereka yang akrab. Catatan itu bahkan menjadi satu lagi karya seni mereka yang baru, yang jika diterbitkan kepada umum, dapat dinikmati sebagai memenuhi selera seni para pembaca.

TS Lanang menulis kepada Baha Zain dan dibukukan, adalah salah satu contoh.

Almarhum ayah saya dulu, jika menulis surat kepada anak-anaknya akan menggunakan laras bahasa surat lengkap dengan “Menemui anakanda Haizir yang berada di Johor dengan selamatnya” – begitu. Ditambah dengan tulisan tangannya yang miring dan bersambung, sangat cantik dengan dakwat hitam dari pen dakwat basah, suratnya itu boleh sahaja dikategorikan sebagai satu hasil seni yang baik.

Saya pun dulu mencuba-cuba menulis surat. Antara percubaan pertama ialah kepada seorang rakan perempuan sekursus sewaktu masih dalam tingkatan tiga. Saya di Sekolah Muzaffar Syah, Melaka, dia di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang. Kononnya, mahu membaiki gaya penulisan masing-masing sebagai persediaan menghadapi PMR pada waktu itu. Hahaha.

Menulis surat ternyata ada kehebatannya sendiri berbanding menulis di laman maya. Di laman maya, malah, terma ‘menulis’ sudah tidak lagi tepat kerana perbuatan yang terlibat adalah ‘menaip’. Salah satu ekspresi yang terlahir sewaktu menulis surat iaitu tulisan tangan si penulis tidak dapat dinikmati melalui tulisan di laman maya, melalui e-mel contohnya. Hanya disebabkan itu, nikmat ekspresi itu sudah hilang dan tidak dapat dikembalikan. Jika saya menulis e-mel kepada rakan saya bekas pelajar SMS Johor itu pada hari ini contohnya, kesannya tidak akan sama seperti ketika dia membaca surat saya, dulu.

Menulis surat sudah menjadi satu sejarah yang dirindui. Ekspresi lahiri semakin tidak dapat diluah dan semakin tidak dapat dibaca dan dirasa. Satu hari nanti, manusia tidak akan tahu lagi bagaimana rasanya bercinta.

2 comments:

ayin said...

peredaran masa yg membunuh seni berbahasa

Haizir said...

Terima kasih, Shahrin. Agaknya begitulah.