Monday, September 14, 2009

Sejuta Kali Lebih

Menanam kebencian sejuta kali lebih mudah daripada menyubur kecintaan. Seperti mana mudah (dan bodoh)nya mengarak kepala lembu sebelum memijaknya di depan SUK, menajam buluh runcing kemudian menahan orang di jalanan – semua itu terlalu mudah dan cepat menjadikan pelakunya popular.

Tetapi, menyubur kecintaan? Maaf, ia tidak mudah dan tidak mampu menjadikan pelakunya diwawancara akhbar berita nasional atau stesen televisyen tempatan. Ia malah mungkin akan ditempelak orang banyak.

Tahniah kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia yang telah mendahului menteri kedua belah negara, pemimpin parti-parti politik, termasuklah jawatankuasa mufti dalam merintis jalan mencari penyelesaian terhadap konflik yang tercetus antara dua negara berjiran ini. Mereka telah “menandatangani lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama sebagai panduan dan inisiatif "untuk mencari titik noktah kepada pertikaian dan persengketaan yang telah berlarutan antara kedua negara." (Malaysiakini, 2009). Baca selanjutnya di sini.

Langkah ini bahkan berupaya menghentikan sindrom kebencian itu daripada terus menular ke sektor-sektor masyarakat yang lebih kecil. Lebih daripada itu, ia mampu mempromosi perdamaian, mempengaruhi orang ramai memilih kecintaan berbanding kebencian.

Akhbar-akhbar di Malaysia (di Indonesia lebih-lebih lagi) seperti Utusan dan Mingguan tidak menanggap isu ini secara dewasa dan konstruktif. Yang dipapar ialah kemurahan hati orang Malaysia menghulur bantuan dan betapa tidak mengenang jasanya orang Indonesia. Paparan sebegini tentu sahaja amat jauh daripada penyelesaian isu.

Mujur ada yang mahu jadi dewasa dan tidak kisah menjadi tidak popular seperti anak-anak muda PKPIM. Sekurang-kurangnya, langkah yang mereka ambil dengan menghulur tangan persahabatan (dan disambut rakan pelajar di sana) sejuta kali lebih meyakinkan berbanding langkah Hishamudin yang boleh dikatakan tidak mengambil apa-apa langkah.

No comments: