Friday, October 23, 2009

Umat Itu Satu Badan

“Bantuan kemanusiaan berupa pakaian, makanan dan ubat-ubatan biasanya tidak bertahan lama. Ia sama ada akan habis segera atau tidak lagi disumbangkan selepas satu tempoh, selepas orang sudah lupa akan bencana itu.”

Itu kira-kira inti kata Encik Kamal, wakil Yayasan Pembangunan Ummah (YPU) dalam satu program yang kami hadiri minggu lalu. Encik Kamal, Encik Anuar Tahir sejak dari dulu lagi, sejak aktif dalam ABIM telah bergelumang dengan dunia dakwah dan kesukarelaan. Dalam dan luar negara telah dijelajahinya bersama rakan-rakan lain menabur bakti kepada manusia. Sewaktu Jogjakarta dilanda gempa pada Mei 2006, YPU mengumpul dana dan ke sana membina “masjid-masjid darurat” daripada batang-batang buluh.

Manusia yang dilanda musibah bukan sahaja kehilangan saudara mara dan harta benda, malah semangat dalam jiwa. Makanan, pakaian, ubatan memulihara fizikal tetapi jiwa mereka yang cedera juga perlu dirawat. Malah, ini jauh lebih penting kerana bersifat jangka masa panjang. Tambahan, golongan mubaligh Kristian akan terlebih pantas mahu merampas jiwa-jiwa yang parah ini untuk dibungkus dalam selimut mereka. Pembinaan rumah-rumah ibadat mereka yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan pasca gempa menunjukkan upaya mereka mengalih kecenderungan manusia menukar agama.

Maka kewujudan masjid sebagai satu institusi penting dan kritikal dalam masyarakat adalah perlu. Di Jogja, YPU bersama-sama Dewan Dakwah Indonesia telah berhasil membina 37 buah masjid darurat bagi menangani isu ini. Di masjid-masjid ini, mereka bukan sahaja dapat berlindung, tidur, sebagai ganti rumah mereka yang hancur, malah lewat program-program rohani, bergotong-royong menampal lubang-lubang dalam jiwa mereka yang bocor.

Bantuan datang dan pergi, tetapi yang kekal di sana ialah mereka sendiri. Bagi merawat, tiada ubat yang lebih kuat selain kebergantungan kepada Tuhan.

Kini, Padang muncul membawa suara yang hampir sama. Suara yang didengar semua telinga, tetapi tidak mengetuk semua hati. YPU mahu ke sana, membawa semangat yang sama, membawa cara yang sama. Masjid-masjid mahu dibina. Jiwa-jiwa mahu dirawat. “Umat itu bagai satu badan”.

Jika saudara mahu membantu, salurkan sumbangan ke akaun Yayasan Pembangunan Ummah di nombor akaun 12-047-0100200-20 BIMB. Diharap dapat emel ke cdfoundation397@yahoo.com maklumat sumbangan dan butir diri penyumbang kerana resit mahu diberi untuk tujuan teknikal.

(P/S: Di Jogja, kos pembinaan sebuah masjid kira-kira RM 4500. Di Padang yang tidak punya banyak buluh, kosnya dianggar RM 6000 untuk sebuah masjid. )



No comments: