Tuesday, November 10, 2009

Bola, Politik, Politik, Bola


Menonton perlawanan melibatkan Arsenal sudah menjadi hiburan baru bagi saya. Ia jauh lebih menenangkan hati daripada contohnya membaca akhbar, menonton warta berita yang separuh benar, ataupun mengikuti perkembangan seminar. Arsenal, walaupun kadangkala kerap juga menyakitkan hati dengan tumpulnya Abou Diaby, empat tahun tidak menang trofi dan penghijrahan keluar bintang-bintangnya berganti-ganti, tidaklah pula sehingga membodoh-bodohkan orang seperti yang gemar dilakukan parti-parti politik pada hari ini.

Arsenal juga mempunyai masalah dalamannya sendiri. Alisher Usmanov yang berniat mengambil alih pasukan dengan membeli peratusan besar saham, kecederaan tonggak-tonggak utama terutama di bahagian pertahanan seperti Gael Clichy dan Djohann Djourou, juga spekulasi yang kuat ditiup tentang niat jahat Barcelona mahu membeli kaptennya, Cesc Fabregas.

Tetapi, selalunya respon yang diberi pengurusnya, Arsene Wenger kerap tepat dan mengena (atau pada masa-masa tertentu tidak respon langsung) sehingga masalah tersebut dapat ditangani dengan berkesan. Kekuatan Arsenal sangat ternampak pada pengurusnya. Kebijakannya merencana, kemampuan bersabar dan mengeluarkan kata-kata yang menarik dan berpengaruh (sehingga orang mengumpul kata-katanya dalam Arsene Wenger’s Best Quotes) adalah kelebihan Wenger.

Arsenal tiada pemain bintang yang dibeli dengan harga puluhan atau ratusan juta pound. Dalam sepuluh pemain EPL yang menerima gaji paling tinggi, tiada terselit seorang pun muka pemain Arsenal. Yang ramai ialah Manchester United dan Chelsea. Liverpool pun ada. Adakah Arsenal tidak mampu membeli pemain-pemain hebat dengan harga setinggi bumbung Stadium Emirates? Kalau tak silap, Arsenal adalah kelab EPL kedua terkaya selepas MU. Lebih daripada mampu. Kalau ikutkan hati, saya juga suka kalau Wenger membeli David Villa (yang secara terbuka berminat dengan Arsenal), David Silva atau Karim Benzema.

Tetapi, itu hanya akan membunuh falsafah yang telah ditanam Wenger sejak sekian lama. Bahawa pembangunan kelab bukanlah datang dari orang luar, walau sehebat mana pun reputasi mereka di luar sana. Yang membangunkan kelab ialah orang yang dari awal meletak batu-bata pertama, yang dari awal telah terdidik dengan falsafah kelab. Orang luar bukan tidak boleh datang dan tolong, tetapi peranan mereka tidak lebih besar daripada generasi pemula itu tadi.

Sehingga ketika ini, apa yang disebut tentang Arsenal (yang pada awal musim dijangka tidak mampu mengekalkan kedudukannya dalam Big Four) ialah tentang betapa pasukan muda ini mampu mencabar kejuaraan liga dan menjadi pasukan pertama bola sepak moden menjaring 100 gol semusim. Reputasi sebesar ini tentu sekali menutup cakap-cakap negatif yang sering ada sebelum ini. Kejayaan hari ini akan menutup kegagalan lalu. Seperti yang sering Wenger lakukan di atas padang, serangan adalah pertahanan paling baik.

3 comments:

zuraima said...

Boleh dikaitkan dengan suami yang sewenang-wenangnya menceraikan isteri pertama kerana mahu mengahwini isteri kelima. Padahal yang pertama itulah yang bersama-samanya ketika susah.

Haizir said...

Zuraima, itu namanya "habis madu sepah dibuang". Boleh juga "sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi". BTW, terima kasih datang ke mari.

zuraima said...

sama-sama. sekadar pendapat.