Wednesday, November 18, 2009

Pisau


Kecanggihan teknologi pada hari ini membolehkan kita mencapai hampir apa sahaja dan sesiapa sahaja. Pada belah yang lain, kita juga boleh dicapai oleh sesiapa pun. Dunia ini hampir tidak ada lagi pintu. Orang yang tidak mahu lagi kita jumpa selepas tujuh atau lapan tahun boleh datang menyergah secara tiba-tiba di alam maya dan mengetuk kita di kepala dengan kuat.

Atau sekurang-kurangnya menjelir lidah membuat muka kelakar dengan harapan hati kita akan cedera dengan tindakannya itu. Sekering-kering dan sekeras-keras hati kita pun akan berasa geram juga jika dibuat begitu. Tidak dapat memandangnya di mata atau mengajak kawan-kawan membelasahnya di belakang bangunan menjadi satu lagi kegeraman kita yang hampir tidak dapat dikompromikan.

Blogger, Facebook, Google, MySpace, Twitter, Friendster, YM adalah pisau moden lagi maya yang boleh digunakan sama ada untuk memotong sayur atau membunuh orang. Sangat bergantung kepada di tangan siapakah pisau itu jatuh, kegunaannya parallel dengan penggunanya.

Saya "ditikam" seseorang dua-tiga hari yang lalu. Sebagai seorang yang waras, saya tidak menikamnya kembali, atau menikam orang lain pula. Sebaliknya, saya pergi memotong sayur.

2 comments:

zuraima said...

suka akan metafora ini.

Haizir said...

Zuraima, terima kasih. Seperti kata Haruki Murakami, metafora lebih kuat daripada fakta.
Teringat pula kumpulan rock Metafora tahun 80-an. Lagunya, "Wasangka Cintaku".