Ahad lalu, saya menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki bekas bos saya, Haji Ramlee Hussin di Shah Alam. Haji Ramlee sempat menjadi bos saya sekejap sebelum saya meninggalkan syarikat East & West Maritime Sdn Bhd di Pelabuhan Klang. Walaupun kami bersama tidak lama, nama Haji Ramlee sebenarnya sudah lebih awal saya kenali sebagai bos MISC Haulage and Services (MHS), di mana kami merupakan kontraktor kepada mereka. Haji Ramlee juga pernah jadi bos di syarikat Multimodal selain tempat-tempat lain yang tidak saya ketahui. Hakikat bahawa Haji Ramlee merupakan kawan rapat abang saya, Hussin, sewaktu bekerja di MISC juga menjadi antara penyebab keghairahan saya untuk menghadiri majlis tersebut.
Saya dan isteri sampai agak awal, kira-kira 12.15 tengah hari, jemputan masih belum ramai. Bekas rakan-rakan sekerja juga tidak seorang pun yang saya temui di sana. Cuma saya dapat nampak bos SP Segera, kontraktor mesin pengangkut kontena kami, kalau tak silap namanya Francis, masuk ke dalam dewan bersama anak lelakinya sewaktu penyanyi karaoke tidak berbayar sedang melalak-lalak menjeritkan lagu yang tidak saya fahami.
Menjelang jam satu, pengantin datang diiringi kompang dan bunga manggar. Agak awal, fikir saya. Biasanya selepas Zuhur. Mungkin Haji Ramlee mahu majlis selesai segera sementelah jamuan makan akan berakhir jam empat nanti. Pengantin, seperti biasa dalam mana-mana majlis perkahwinan, bersanding dan ditepung tawar. Setelah mengambil beberapa keping gambar, saya mengajak isteri pulang. Di tengah perjalanan pulang, kereta kami berselisih dengan kereta abang saya, Hussin. Saya membunyikan hon tetapi abang saya tidak perasan.
Malamnya, kami ada satu program lagi. Ibu mertua saya datang ke rumah kami di Klang, dibawa abang ipar saya sekeluarga yang telah lebih dahulu menghadiri satu majlis pertunangan di Kuala Lumpur. Musim cuti sekolah ini memang waktu bertunang dan kahwin. Mereka sampai ke rumah kami kira-kira jam enam petang. Seorang lagi abang ipar saya yang tinggal di kampung turut datang bersama isterinya yang baru posting di Rawang. Selepas Maghrib, kami bergerak ke Bagan Seafood di Pelabuhan Klang untuk makan malam beramai-ramai.
Sebelum ini juga kami pernah makan makanan laut bersama di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang. Kali ini, kami mahu mencuba di Bagan pula. Dari segi rasa, makanan di Bagan lebih sedap. Cuma, suasananya tidak semeriah di Tanjung Harapan.
Dan tulisan saya kali ni tak sedap langsung.
6 comments:
tulisan ini banyak makanan sedap!
Ok, Lin. Nanti bila-bila kita pergi Tanjung, makan seafood.
Yang paling sedap part "dan tulisan ini tak sedap langsung" hehehehe...
okeh settt alin setuju!
Kak Iza, itu namanya "reverse psychology". Hehehe.
Alin, ok. Nanti kita pergi :)
alin - selamat menambah berat.. huhu.. (lame gile x gi tanjong gile..)
Post a Comment