Kakak saya, Khadijah (Kak Ija) yang turut membawa ibu mentua saya tiba ke rumah pada hari Rabu, 9 Jun, kira-kira jam 9.15 malam. Mujur saya sudah sampai ke rumah dari tempat kerja. Kelewatan kereta api melampau memaksa saya tiba ke rumah hanya pada kira-kira jam 8.30 malam walaupun sudah pun bergerak pulang seawal jam enam. Kami membawa mereka makan malam di Restoran Shid tidak berapa jauh dari rumah. Restoran Shid ialah restoran makanan laut. Pelabuhan Klang seperti sudah sinonim dengan makanan laut. Maka, kami membawa Kak Ija sekeluarga dan Mak makan makanan laut di sana sahaja. Untuk pergi ke Bagan atau Tanjung Harapan, hari sudah agak larut. Tambahan pula, baru sahaja tiga hari lepas saya dan isteri ke sana (sila rujuk entri di bawah), kantung sudah agak ringan.
Saya sudah pun memohon cuti pada hari Khamis walaupun belum ada idea ke mana mahu bawa mereka berjalan-jalan. Antara cadangan yang ada hasil perbincangan saya dengan isteri ialah ke Wet World, Shah Alam mandi-manda. Abang ipar saya pula pada pagi itu selepas sarapan ada menyebut Pesta Buku di PKNS Shah Alam yang walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh penganjurannya yang sebenar. Akhirnya, saya bersetuju dengan cadangan isteri saya supaya kami ke Pasaraya Sogo di Kuala Lumpur membeli-belah. Untuk menjadikan pakej lawatan itu menarik, kami tidak akan berkereta ke sana sebaliknya menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Ia bakal jadi pengalaman yang menarik kepada tiga orang anak Kak Ija (malah mungkin kepada Kak Ija dan suaminya, Bang Hisyam sendiri) yang tidak pernah menaiki kereta api.
Kira-kira jam sepuluh, kami bergerak ke stesen komuter Klang dengan MyVi Bang Hisyam. Saya ke kaunter membeli tiket sehala ke stesen Bank Negara. Lima dewasa dan dua kanak-kanak. RM 22.20. Khairin tidak perlu tiket. Dia belum pun tiga tahun. Tetapi, dia juga tidak terlepas daripada berasa ghairah dan seronok menaiki kereta api buat kali pertama seperti dua orang kakaknya, Khairina dan Khairuna. Malah, rasa ghairah dan seronok itu juga dapat saya lihat pada wajah Mak, Kak Ija, Bang Hisyam dan isteri saya sendiri, walaupun sebelum itu saya telah pun dirisaukan oleh ketibaan kereta api yang sangat lambat selain kesesakan dalam kereta api yang membuatkan Bang Hisyam, Kak Ija dan saya tidak dapat tempat duduk sehingga ke KL Sentral.
Rupa-rupanya ada jualan murah (kononnya) di Sogo. Ditambah faktor cuti sekolah, orang ramai di Sogo sudah jadi macam semut menghurung gula. Saya tidak menyalahkan Kak Ija kalau dia jadi rambang mata. Diskaun sehingga 70 peratus tidak memerlukan pelanggan seperti Rosmah Mansor untuk galak berbelanja. Orang yang kedekut seperti saya pun boleh terpengaruh. Jadi, dengan strategi pemasaran dan faham konsumerisme yang tidak terelak, saya pun membeli sehelai T-shirt Polo dengan harga RM 45 (dengan niat untuk digunakan pada Hari Raya), selain dompet wanita (Polo juga) sebagai hadiah hari jadi yang amat lewat kepada isteri saya yang tercinta. Saya tidak risaukan Kak Ija. Dia mempunyai Bang Hisham yang tidak kisah mendukung anak sambil menjinjing beg-beg plastik yang berat.
Setelah solat Zuhur, kami berhasil mengurangkan nafsu berbelanja dan mula berkira-kira untuk pulang. Perut pun perlu dipenuhi kehendaknya. Di stesen Bank Negara, kereta api lebih bertimbang rasa dengan tiba awal dan tidak penuh dengan manusia. Dapatlah kami semua duduk dan melepaskan lelah berjalan kaki sejauh berpuluh-puluh kilometer agaknya sekitar Sogo. Bang Hisyam sekeluarga bergerak pulang ke Tangkak dari rumah saya selepas Maghrib dan selepas makan malam. Maka, selesailah program kami bersama mereka pada hari itu. Saya dan isteri berasa syukur dan puas dapat mengisi masa mereka di sini dengan aktiviti selain menonton tivi. Dapatlah nanti Khairina yang darjah empat itu modal untuk menulis karangan jika diminta oleh gurunya sepulang dari cuti sekolah nanti.
No comments:
Post a Comment