Tuesday, August 10, 2010

Ramadan: Surau Ayah



Dulu, sewaktu saya kecil, petang-petang sehari sebelum puasa ialah hari saya mengemas surau di Simpang Air Panas. Surau ini ialah surau di mana arwah Ayah ialah Pengerusinya dan akan dijadikan tempat penduduk sekitar menumaikan solat sunat tarawikh dan bertadarus sepanjang bulan Ramadan yang mulia. Sebenarnya, saya agak malas apabila disuruh begitu oleh Ayah, tetapi apalah pilihan yang ada pada budak kecil seperti saya pada masa itu melainkan menurut arahan. Tetapi, sebenarnya rasa malas itu hanya sebentar, sewaktu mula hendak bergerak ke sana. Apabila telah duduk di dalam surau dan mula berkemas, rasa malas itu perlahan-lahan hilang dan mula digantikan keiginan untuk melihat surau yang kemas dan “presentable” untuk digunakan jemaah kariah.

Ayah ialah Imam surau sekaligus Imam solat tarawikh. Dulu, kami memang buat dua puluh rakaat tarawikh dengan tiga rakaat witir. Sebelum Ayah menjadi Imam surau, ada seorang Imam yang bermotosikal besar mengimamkan kami, tetapi saya sudah lupa siapa namanya dan sejak bila beliau tidak lagi menjadi Imam. Kadang-kadang Imam Deris pun ada menjadi Imam, begitu juga Imam Pak Uncu, walaupun mereka dari kariah Kesang Luar. Khidmat mereka biasanya digunakan apabila surau kami mengadakan majlis berbuka puasa. Bilal kami ialah Pakcik Suhaimi yang merupakan Setiausaha surau pada masa itu. Pakcik Suhaimi masih muda. Anaknya yang sulung, muda setahun daripada saya. Antara ahli jemaah surau Simpang Air Panas pada masa itu ialah Pak Ngah Sabtu (arwah), Pakcik Samah (arwah), Muhammad Jan Md Lani (arwah), Yazid Md Lani, Tok Busu Mat (Mat Cengkol), Pak Ali, Pak Uda, Pakcik Wahab, kawan-kawan saya – Zulkifli Harun, Jefri, Firdaus, Mahat Othman, anak-anak Pakcik Suhaimi – Salahuddin, Salman, anak-anak Imam Deris – Hafiz, dan siapa lagi yang saya tak ingat dan tak kenal. Agak ramai juga sebenarnya, mungkin ada kira-kira dua puluh orang lebih.

Suasana pada malam-malam sepanjang Ramadan sewaktu kanak-kanak memang meriah. Ayah akan pergi awal ke surau, bermotosikal dengan Makcik. Saya akan ke sana jalan kaki dengan kawan saya, Zul atau apabila Ramadan semakin hampir ke hujung, seorang-seorang. Sebagai kanak-kanak, dua puluh rakaat tarawikh agak melelahkan. Tapi, solat tarawikh di kampung biasanya dilakukan dengan pantas, maka lelah itu juga berakhir dengan cepat. Yang paling dapat diingat tentunya selawat selepas setiap dua rakaat yang mempunyai rimanya yang tersendiri – “Allahumma solli ‘alaiiiiiihh…!” Biasanya suara paling kuat akan datang dari arwah Pakcik Samah.



Selawat panjang selepas selesai witir dan zikir “Ya Lathif” adalah saat-saat paling bahagia kerana selesailah rangkaian solat yang panjang pada malam itu. Orang-orang tua akan melunjur kaki untuk meluruskan pinggang dan menghilangkan lenguh-lenguh badan. Sambil berzikir, sejadah-sejadah akan dilipat dan dikumpul di sudut. Ayah akan membaca doa sedikit panjang sebelum kemudiannya kami beramai-ramai berniat puasa untuk keesokan hari. Selawat lagi semasa bersalam-salaman. Semasa bersalaman ini, saya juga masih ingat, saya bersalam dengan semua orang tua tetapi hanya mencium tangan Ayah. Selesai semuanya, saya akan bergerak pulang dengan Makcik sementara Ayah tinggal di surau bersama jemaah dewasa yang lain untuk tadarus Al-Quran.

Tugas Imam tarawikh sejak entah bila diserahkan kepada anak Ustazah Zainon yang lebih muda daripada saya. Saya pun setelah bersekolah asrama, hanya dapat solat tarawikh di surau sekali-sekala semasa pulang ke kampung dan kurang mengambil tahu tentang perkembangan surau. Apatah lagi, setelah pandai bermotosikal, saya lebih gemar mempelbagaikan destinasi solat tarawikh di sekitar kampung, dan tidak terhad kepada surau Simpang Air Panas sahaja.

Mungkin bermula dari situ, surau Simpang Air Panas seperti melalui zaman suram apabila jemaahnya semakin susut. Kesuraman ini sebenarnya turut ditandai dengan satu peristiwa apabila Ayah dituduh menggelapkan wang surau oleh seorang ahli jemaah yang sebenarnya kawan baik Ayah sendiri. Ayah cukup terasa hati dan merajuk membawa diri sehingga tidak lagi ke surau. Pada waktu itu, markas PAS sudah mula naik. Ayah solat di sana sahaja. Saya masih dapat ingat pada satu malam rumah kami dilawat kawan rapat Ayah, Pak Ngah Sabtu dan Mak Ngah Itam selepas satu peristiwa yang cukup memalukan itu apabila Ayah dituduh di tengah-tengah orang ramai. Pak Ngah memujuk dan menenangkan Ayah atas kejadian tersebut. Rupa-rupanya “rajukan” Ayah tidak ke surau diikuti oleh sebahagian besar ahli jemaah yang bersimpati dengan Ayah. Mereka turut tidak ke surau, seolah-olah memboikot kerana tidak gemar Ayah diperlakukan sedemikian rupa. Maka surau menjadi malap dan suram.

(bersambung...)

8 comments:

Fadzlin said...

Ohh! Alin cukup tak tahu tentang peristiwa ni.

Bersabar menunggu sambungan seterusnya..

Haizir said...

Alin, terima kasih. Untuk menjadikannya lebih suspense, sambungannya adalah selepas raya. Hehehe...

ayin said...

salam zir,salam ramadhan..lama x jengah blog kamu...teruskan berkarya ya.

azizah said...

Ada permintaan untuk sambungan lebih awal. Boleh consider ke?

Haizir said...

Shahrin, terima kasih. Tahniah ye dah bertunang. :)

Kak Iza, Insya-Allah. :)

Fadzlin said...

Haha lambatnya nak tunggu episod seterusnya : Return of the Jedi

Haizir said...

Hahaha.. tekanan semakin tinggi.

orang kertas said...

zek, syahdu. dalam dua tiga perkara, ada persamaan cerita ini dengan apa yang saya alami di kpg dulu.