Afief, lulusan kejuruteraan elektrik lepasan Universiti Malaya adalah jurutera di kilang elektronik Samsung, sebelum berhenti kerja dan kini bertugas di sebuah syarikat jururunding kewangan bersama rakannya, Azman. Untuk rekod, Azman juga sebelum bersama syarikat yang disertainya kini, juga merupakan seorang jurutera (malah berpangkat senior) di syarikat pembuatan semikonduktor, Freescale. Hanya untuk menjadikan pengalaman ini lebih menarik, tahun lalu saya dikunjungi seorang lagi kawan lama, Airull – juga berhenti kerja sebagai jurutera syarikat minyak dan gas sebelum menceburi bidang lain. Kesemua mereka ini adalah sebaya saya, melepaskan jawatan jurutera sebelum berumur tiga puluh tahun. Bukanlah tujuan saya mencari signifikan atau justifikasi tindakan mereka itu kerana itu bukanlah tujuan entri ini ditulis, cuma persamaan yang ada itu membuatkan saya agak tertanya-tanya juga.
Sewaktu kunjungan kali pertama Afief dan Azman ke rumah saya sebelum bulan puasa dulu, saya menyangka mereka ingin mengajak saya menyertai bisnes yang mereka jalankan. Al-maklum, bisnes-bisnes yang lazim disertai orang kita seperti MLM, insurans, takaful dan sebagainya sangat kerap menggunakan sentimen persahabatan untuk "cari orang", "jadi ahli", "sayap kanan dan kiri" dan sebagainya begitu. Tapi sangkaan (atau buruk sangka) saya kesasar. Azman sama sekali tidak menggunakan BMW 5 Series yang dipandunya untuk memancing saya menyertainya. Malah, kami berbual dengan cukup meriah dan menjadi mesra dengan cepat. Saya malah meminjamkan kepada Azman buku Natrah yang menjadi antara topik perbualan kami pada malam itu. Menurut Azman, dia sangat jarang membaca buku selain buku-buku motivasi dan akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan pembacaan, meminta tempoh sebulan dari saya untuk meminjam buku itu. Saya memberi jaminan buku itu akan habis dibacanya dalam tempoh kurang dua minggu dan ia ternyata benar apabila Azman memulangkan buku itu Jumaat lalu dan mengatakan buku itu selesai dibacanya dalam tempoh hanya tiga hari!
Kami berbuka puasa di Restoran Shid sebelum solat Maghrib di rumah saya. Azman membawa sama saudara perempuannya dan meminta diri kira-kira selepas minum. Afief telah pun saya minta agar jangan pulang dulu kerana ada perkara yang ingin saya bincangkan dengannya. Kami mengambil masa untuk mengimbau kenangan zaman persekolahan, dan saya tidak lupa mengeluarkan album gambar sebagai bahan bantu. Afief kemudiannya solat Isyak dan tarawih bersama saya sebelum saya menghantarnya ke Shah Alam kira-kira jam 11.00 malam.
No comments:
Post a Comment