Friday, August 13, 2010

Surau Ayah: Suram Tanpa Ayah


Antara "peristiwa" tersebut dengan ketidakhadiran Ayah ke surau adalah antara perkara-perkara yang tidak dapat dicerap ingatan saya. Saya mungkin pernah bertanya Makcik kenapa Ayah tidak lagi mengimamkan solat tarawikh di surau setiap kali Ramadan, dan jawapan Makcik agaknya begini, "Ayah engkau dah tak kuat lagi."

Dan dalam sela masa tersebut, jika tidak silap saya lagi, adalah sela masa yang hampir dengan period Reformasi, sewaktu Ayah melepaskan jawatannya dalam JKKK. Atau lebih awal daripada itu. Entahlah, saya tidak ingat. Gesaan untuk menyambung entri telah memberi tekanan kepada saya. Hehehe.

Tetapi, apa yang pasti, surau tanpa Ayah adalah surau yang suram. Imam muda pelajar sekolah agama anak Ustazah Zainon dan Maulana Senin itu sudah tentu tidak mempunyai aura sekuat Ayah untuk menarik ramai orang ke surau. Hanya Pakcik Suhaimi yang masih setia sebagai Setiausaha dan menjadi Bilal. Kadang-kadang apabila saya ada datang ke surau, dia meminta saya mengumandangkan azan. (Sebenarnya, pada waktu itu saya turut menyimpan sedikit cita-cita untuk mengimamkan tarawikh di surau. Berbekalkan sedikit pengalaman (dan idealisme badan dakwah yang menyala-nyala) di Sekolah Muzaffar Syah, saya rasa mampu menjalankan tugas tersebut di kampung, apatah lagi memegang reputasi sebagai anak imam surau. Hehe.)

Destinasi tarawikh Ayah dan Makcik kini ialah sama ada di Surau PASTI Nurul Iman atau di Markas PAS Hamas di Simpang Kemendor. Surau Simpang Air Panas tidak lagi jadi pilihan. Saya pula, selain dari tiga tempat di atas, juga akan menggilirkan destinasi antara Masjid Kesang Tua, Masjid Kesang Luar dan Surau Kemengkang untuk bertarawikh. Apa yang dapat saya ingat perbezaan di tempat-tempat tersebut ialah Markas PAS menunaikan lapan rakaat solat tarawikh tetapi di sana selesai lebih lambat daripada tempat lain yang membuat dua puluh rakaat. Berimamkan Ustaz Jumari, seorang hafiz yang muda (dan berwajah agak garang), makmum tiada peluang untuk pulang awal. Bacaan dibaca penuh teliti dan satu-satu. Kurang-kurang jam sepuluh barulah siap semuanya dengan witir.

Malah ada tadarus di Hamas yang bakal membuatkan jemaah semakin lambat pulang ke rumah. Tetapi, tidak semua yang akan mengikutinya. Tetapi, walaupun demikian, penyertaan tadarus tetap membanggakan. Agak lambat juga untuk sampai ke giliran kita jika kita duduk betul-betul di sebelah kiri Ustaz Jumari dalam bulatan tadarus tersebut; disebabkan bilangan orang yang menyertainya, selain pembetulan bacaan oleh Ustaz Jumari. Bergurukan Ustaz Jumari, saya secara peribadi berasakan bacaan Al-Quran saya banyak bertambah baik. Ilmu tajwid beliau yang tinggi sangat membantu membetulkan bacaan Al-Quran kami.

Berbalik ke surau Ayah yang kini dipimpin Pakcik Suhaimi, suasananya tidak semeriah dulu. Satu saf sahaja lelaki. Itu pun tidak penuh. Berbeza dengan dulu – sampai ke tangga. Tapi Pakcik Suhaimi tetap meneruskan dan tidak menutup surau. Katanya, dia kasihankan orang tua-tua seperti Busu Temah dan lain-lain yang tidak larat pergi bertarawikh ke tempat lain yang lebih jauh dari rumah mereka. Sifat Pakcik Suhaimi yang satu ini sangat saya kagumi. Beliau tidak berpihak sewaktu peristiwa terhadap Ayah berlaku. Beliau secara profesional tetap menjalankan tugasnya, dan dari semasa ke semasa akan datang ke rumah kami berjumpa Ayah apabila terdapat urusan-urusan surau yang perlu penglibatan Ayah seperti surat-menyurat dan sebagainya. Pada masa yang sama, beliau memahami perasaan Ayah dan menghormati keputusan Ayah untuk tidak lagi ke surau.

Kini, setelah kira-kira tiga tahun Ayah meninggalkan kami semua, Surau Simpang Air Panas telah banyak berubah. Entah apa magisnya, surau kesayangan kami ini telah bersinar semula dan tidak suram lagi. Kepimpinannya telah diambil-alih oleh "orang-orang PAS" yang lebih agresif, bergerak pantas dan bersemangat muda. Surau yang berwajah baru ini kini penuh dengan aktiviti kuliah saban malam dan solat jemaah hampir setiap waktu. Ustaz-ustaz "popular" seperti Ustaz Marwan (yang telah lama kami rindui sejak berpindah ke Johor) dan Ustaz Fuad (yang juga kami rindui tetapi tidak disenangi sebahagian ahli) bermurah hati menerima jemputan kuliah ke surau kami dan kembali membuat "comeback".

Di sebalik kebangkitan surau ini, walaubagaimanapun ada dua perkara yang agak membuat saya ralat. Pertama ialah terpinggirnya Pakcik Suhaimi yang telah banyak berjasa. Agak saya ialah kerana Pakcik Suhaimi tidak satu "angin" dengan team baru yang warna hijaunya terlalu pekat. Jika agakan saya itu betul, ia adalah perkara yang amat dikesali. Namun, perkara kedua yang satu ini jauh lebih membuatkan saya ralat, walaupun surau ini telah berjaya dibangunkan semula dari zaman suramnya. Perkara kedua ini, saya fikir bukan dirasai oleh saya seorang sahaja, malah mungkin turut dirasai oleh Pakcik Suhaimi, Pak Ali, Haji Abu Kemengkang dan ahli-ahli jemaah awal yang lain sewaktu surau ini masih belum suram lagi. Ianya adalah:- Ayah tidak ada di sini untuk melihat suraunya yang "baru".

5 comments:

Fadzlin said...

Ohh.. sedih :( Sampai akhirnya Atuk dah tak ke surau simpang..

Haizir said...

Salam, Alin. Pak Busu tak pasti kalau Atuk ada pergi ke surau atau langsung tidak pergi selepas "peristiwa" itu. Tapi, suramnya surau memang boleh dikaitkan dengan ketiadaan Atuk.

azizah said...

Puasnya hati dapat membaca sambungan entry ini - terima kasih daun keladi

Haslina Othman said...

Haizir,

Ustaz Jumari lawak. Baru first time dengar kuliah subuh dia hari tu. Dia kesal cadangan sekolah mengandung oleh KM Melaka. Sambil melawak dia berkata, nanti Ustaz Jumari pun kena mengajar di sekolah mengandung...hehehe

p/s: Terima kasih memasukkan iklan projek Inisiatif Ramadhan di blog. Mudah-mudahan mencapai target.

Haizir said...

Kak Iza, "daun keladi" tu mengandungi makna "suruh buat lagi". :)

Kak Ina, nama "sekolah mengandung" tu je pun dah lawak. Habis tu, kalau budak-budak tu dah habis sekolah, kena masuk "kolej mengandung" pulak ke?