Raya yang lalu, seperti biasa, menjadi medan bagi kebanyakan kita berjumpa dan bersua muka, mengeratkan silaturrahim, bermaaf-maafan dan sebagainya. Kita tetap punya hari-hari lain untuk tujuan-tujuan tersebut tetapi Hari Raya mempunyai magisnya yang tersendiri yang tidak dapat dihuraikan sebabnya. Ia terangkum dalam semangat beragama, budaya dan tradisi kita yang telah mengakar sejak sekian lama. Kita akan sentiasa punya cerita-cerita Hari Raya untuk diceritakan, baik semasa kecil atau dewasa, yang akan menjadi tali mengikat kita dengan orang-orang yang berkongsi cerita-cerita yang sama. Foto-foto akan diambil dan dipamer, hanya untuk menjadi satu lagi cerita pada masa akan datang, untuk kita berkongsi rasa yang sama lagi dengan orang-orang tertentu dalam lingkungan kita, untuk diturunkan pula kepada anak cucu pada lain masa.
Tahun demi tahun yang berlalu, sekali-sekala kita akan melihat kembali foto-foto yang merakam cerita pada masa ia diambil, dan apabila kita bandingkan dengan foto-foto yang baru kita ambil pada Hari Raya yang lalu, barangkali kita akan perasan bahawa di sana ada perbezaannya – sebahagian orang yang kita kenal tidak ada dalam foto-foto yang baru.
Tahun ini dalam kamera sesiapapun dalam keluarga kami, tiada lagi gambar Kak Yati yang sudah pulang ke rahmat Tuhan sembilan bulan lalu. Tetapi kehilangan Kak Yati dalam foto sepatutnya tidak menjadi sebab kepada tidak munculnya gambar dua orang anaknya pada Hari Raya yang lalu. Malah gambar keluarga Kak Yati tidak ada langsung dalam kamera saya, sekurang-kurangnya; hanya untuk menjadikan cerita ini lebih dramatik dan tidak sedap didengar.
Ya, sepatutnya ada sahaja "gambar baru", tetapi ia sama ada tidak diambil sesiapa atau orangnya sendiri yang tidak mahu.
6 comments:
Entri yang dinanti. Lain dari tema raya yang biasa-biasa: baik pilihan gambar maupun pengisiannya. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh arwah Kak Yati dan semua yang kita sayangi.
Salam, Kak Iza. Terima kasih. Ya, semoga!
Haizir, cuba tengok balik gambar Kak Yati dalam blog Alin, yang ada gambar Sobri dengan adik-adiknya, sedih bila melihatnya sekarang...betul lah kata-kata: gambar menceritakan segala-segalanya, macam gambar-gambar yang di muatnaik dalam entri kali ini.
Gambar Amir dan Izzul main bola itu sangat best! Caught in action. Inilah dia bola kampung.. main tak pakai kasut/hanya pakai selipar jepun... :D
Salam, Kak Ngah. Tuhan telah merahmati kita dengan orang-orang yang baik di sekeliling kita. Tanpa kita sedari, anugerah itu adalah sebenarnya pinjaman yang bersifat sementara. Dan kita masih meminjam anugerah-anugerah Tuhan yang lain sementara tempohnya masih ada. Semoga kita dapat menjaga segala anugerah yang diberi ini dengan baik.
Salam, Alin. Pak Busu paling suka gambar Ibrahim dukung Abdullah tu.
tu namanya 'encang' heheheh
Post a Comment