Monday, October 04, 2010

Selamat Pengantin Baru, Yus!

Hujung minggu lalu saya mungkin telah memandu kurang lebih 800 kilometer dalam tempoh dua hari. Pulang ke kampung di Jasin sebelum berulang-alik pula dari sana dan Tangkak ke Bangi agak meletihkan juga. Sepupu saya, Yunus melangsungkan perkahwinan di Kesang Tua. Sebenarnya ada dua lagi jemputan perkahwinan pada hari yang sama. Afizah, kawan sekolah rendah saya di SK Kesang Tua bermajlis di Palong, Negeri Sembilan dan Bob, kawan di Sekolah Muzaffar Syah juga ada menjemput di rumah ibu bapanya di Lipat Kajang. Kedua-dua majlis ini tidak dapat saya penuhi.

Malah, majlis Yunus juga hanya dapat saya hadiri sekejap dan tidak dapat menyertai adik-beradik saya yang lain bertungkus-lumus menjadi penanggah dalam majlis tersebut. Yunus, anak bongsu Pak Ali mungkin sepupu saya yang paling rapat berbanding sepupu-sepupu yang lain. Selain hubungan kekeluargaan yang erat, Yunus dan saya pernah sama-sama menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Seri Machap pada tahun 2003 sebelum dia mengikuti kursus Juru X-Ray pada tahun berikutnya. Tahun tersebut saya fikir adalah pengalaman kerja yang paling menarik. Mengajar anak-anak kecil adalah pengalaman baru yang tidak pernah saya bayangkan sebelum itu. Saya cukup menikmati waktu tersebut dan hari demi hari dilalui dengan perlahan. Saya fikir Yunus turut merasai yang sedemikian.

Malah Yunus lebih rapat dan disayangi anak-anak muridnya, mungkin kerana jawatan guru kelas yang diberikan kepadanya. Perwatakan bersahaja dan selambanya lebih membuatkan dia disenangi murid-murid berbanding saya yang lebih agak "berdisiplin" dan "skema". Tidak kurang juga kami diusik guru-guru senior yang secara semulajadinya memang suka mengusik guru-guru bujang sementelah hanya kami berdua guru bujang lelaki pada waktu itu di sana. (Bercakap tentang usikan ini, saya turut diminati seorang guru wanita senior, GPK Hal-Ehwal Murid kami pada waktu itu, untuk dijadikan menantu. Beliau malah telah mengira-ngira untuk menyatukan saya dengan anak gadisnya dalam tempoh lima tahun, iaitu kira-kira setelah anaknya itu habis belajar. Tetapi, melihat sikap acuh tak acuh saya terhadap ajakan itu setelah dua-tiga kali "approach", agaknya dia memilih untuk berputus asa kemudiannya.)

Yunus memilih gadis Terengganu untuk dijadikan pasangan hidupnya. Saya harus katakan bahawa gadis itu bertuah mendapat Yunus sebagai suami kerana Yunus saya lihat memang seorang yang baik. Pak Ali, kadangkala, terutama semasa saya kecil, akan memuji-muji dan membangga-banggakan anak-anak abangnya, (Ayah saya) iaitu kami adik-beradik di depan anaknya sendiri dengan mengatakan, "tengok anak-anak Pak Itam kau ‘tu". Tetapi bagi saya secara peribadi, anak-anak Pak Ali lebih berhak dipuji dan dibangga-banggakan di atas sikap baik hati mereka.

Selamat Pengantin Baru, Yus! Semoga cepat dapat cahaya mata. Walaupun ia (cahaya mata itu) bukanlah satu-satunya sebab yang boleh membawa kita ke syurga, tetapi tanpanya kita terdedah kepada tekanan-tekanan terutama dari luar kita. Antaranya termasuklah dimalukan di rumah sendiri. Di depan adik-beradik dan anak-anak buah yang ramai.

2 comments:

Fadzlin said...

Semua pakcik-pakcik kesayangan saya dah kahwin. :(

Kak Chah said...

Jodoh, anak semuanya ketetapan Tuhan. Siapa yang tahu jodoh kita? Bila? Siapa yang tahu berapa anak kita? Lelaki ke perempuan? Usah diikutkan sangat tekanan belum mempunyai zuriat. Allah belum izinkan lagi dan sangka baik terhadapNya. Dunia ini adalah ujian. Semakin kita diuji semakin kuat keimanannya. Takut-takut nanti bila telah diberiNya apa yang kita mohon kita pula tidak sanggup hadapi ujian atas pemberianNya. Sabar dan ikhtiarlah. InsyaAllah setiap penantian ada hikmahnya.