Resam kita yang dapat diperhatikan sejak dulu ialah gemar menyebar berita-berita sedih dan mala petaka kepada umum agar lebih ramai dapat mengetahuinya, malah mengharapkan memperoleh kredit atas penyebaran maklumat tersebut, berasa bangga di atasnya. Lakunya akhbar-akhbar tabloid dan majalah-majalah hiburan yang memerihalkan keretakan rumah tangga artis adalah justifikasi daripada premis di atas.
10 Oktober yang lalu, sewaktu sebilangan kita memilih untuk melangsungkan perkahwinan, mengadakan pelbagai jamuan, majlis dan sebagainya atas kapasiti tarikh bernombor "cantik" 10.10.10 (satu lagi tabiat klasik dan tipikal orang kita), kebanyakan daripada kita barangkali sama sekali tidak menyangka bahawa tarikh dengan nombor secantik itu pun boleh mengandung mala petaka. Dua belas orang maut dan empat puluh yang lain cedera dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara Selatan, kemalangan terburuk tahun ini. Tuhan barangkali mahu menegur, musibah tetap boleh datang, walau secantik mana pun nombor yang ditera di tarikh kalendar.
Pun begitu, yang lebih menarik perhatian kita bukanlah iktibar yang perlu diambil daripada peristiwa tersebut, atau bersikap insaf dan mempersiapkan diri dengan kematian yang boleh datang pada bila-bila masa, sebaliknya lebih disibukkan dengan menghantar gambar-gambar ngeri di tempat kejadian kepada seramai-ramai kenalan yang kita ada. Kita berasa dirahmati dengan pelakuan sedemikian, apatah lagi kalau kita beroleh video "bas terbang". Dapatlah kita - dengan bangga, menanda atau "tag" rakan-rakan kita yang tiada video tersebut di laman sosial Facebook kita.
No comments:
Post a Comment