
Setelah lama tidak menulis di sini, untuk mula kembali agak blues juga. "Kita berjeda seketika", kata Syed Munawwar dalam Di Luar Lingkungan. Tapi "seketika" dengan "berpuluh-puluh ketika" sudah pasti sangat ternampak perbezaannya, dan tidak dapat ditutup keketaraannya dengan sebelah mata.
Dari sehari ke sehari, kita berjalan, berhenti, kadangkala berlari dan kadangkala mendaki. Tidak ketinggalan kadangkala juga kita akan tersadung kaki, tercucuk duri atau terperosok ke dalam lubang tahi. Dalam laluan itu sekian banyak ragam alam yang kita tempuh: denai, sungai, jalan tar, tanah merah, bukit, busut, lopak air, padang rumput, semak-samun, sawah, ladang tebu dan sebagainya – ragam yang hanya bakal menambah pengalaman dan kemahiran kita bercara dan bersikap terhadap semua keadaan itu.
Sepanjang laluan itu juga kita menambah koleksi rasa dalam perbendaharaan perasaan kita: Puas. Sedih. Malu. Bangga. Mahu ketawa. Tidak mahu dijumpai. Menyorok dan merahsiakan. Terhina. Terkhianat. Mahu mencubit pipi. Tidak mahu berdosa. Menyesal. Bercita-cita. Jatuh cinta.
Beruntunglah orang-orang yang menambahkan jarak perjalanan hidupnya dengan menambah sama bekalan hari depan, untuk baki perjalanan yang masih panjang. Atau pendek. Di depan ialah destinasi yang sudah diketahui dan tidak perlu dipening-peningkan lagi. Yang dikira ialah bagaimana kita berjalan pada hari ini. Oh!
Keterangan gambar: Di kaki Monumen Nasional, Jakarta. 2009. Melihat kanak-kanak bermain layang-layang.
No comments:
Post a Comment