Friday, November 26, 2010

Laporan Wacana Islam dan Masyarakat Majmuk

PETALING JAYA, 25 Nov – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) telah menganjurkan satu Wacana Pembentukan Fikrah Rakyat bertajuk "Islam dan Masyarakat Majmuk" di Hotel Armada dekat sini hari ini. Program yang pertama kali seumpamanya diadakan itu telah membariskan Presiden Wadah, Datuk Dr. Siddiq Fadzil, dan de-facto leader Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembicaranya. Ia telah dipengerusikan oleh Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ustaz Dr. Muhammad Nur Manuty. Untuk rekod, ketiga-tiga mereka adalah bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Dr. Siddiq selaku pembicara pertama telah membentangkan kertas kerjanya bertajuk Maqasid Al-Shari'ah: Aktualisasinya di Ranah Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Menurut Dr. Siddiq, pada hari ini telah timbul pelbagai masalah baru yang menuntut jawapan dari syari'ah. Umat kini begitu dangkal dalam menghayati agama; mengambil kerangkanya sahaja manakala rohnya sudah hilang. Beliau mengambil contoh ibadah korban dijalankan dengan meriah dan jumlah korban lembu yang banyak tetapi falsafah pengorbanan Nabi Ibrahim gagal difahami. Tambahnya, setiap amal itu tidak disyariatkan untuk amal itu sendiri (for its own sake), melainkan untuk melahirkan God-conscious. Inilah yang dikatakan sebagai maqasid atau objektif amal syar’iyyah.


Imam Al-Ghazali adalah perumus pertama al-maqasid yang meliputi lima objektif iaitu: pemeliharaan agama, pemeliharaan jiwa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta. Ulama'-ulama' terkemudian kemudiannya menambah "pemeliharaan maruah" sebagai maqasid yang perlu sebelum Syaikh Muhammad Al-Ghazali dan Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi menambah lagi dengan memasukkan "pemeliharaan kebebasan dan keadilan".

Ahmad Ar-Raysuniy, dalam membawa wacana dan gaya pandang baru tentang maqasid syariah telah cuba melihat persoalan tersebut dari perspektif hak asasi manusia, dengan mengangkat hak asasi manusia sebagai paksi al-maqasid. Dr. Jamaluddin 'Atiyyah pula dengan lebih jelas telah membicarakan wacana al-maqasid ini dengan menyatakan realisasi al-maqasid dalam empat ranah kehidupan: individu, keluarga, umat dan kemanusiaan sejagat.

Dalam menyentuh isu hak asasi manusia, Dr. Siddiq memetik pandangan Muhammad ‘Imarah yang mengatakan hak asasi manusia sebenarnya bukanlah "hak" yang bersifat boleh diberi dan dikompromikan bahkan ia sebenarnya dharuriyyat yang tidak boleh dipisahkan dari kemanusiaan. Ini terpancar dalam objektif penegakan keadilan yang tidak terbatas di kalangan sesama Muslim, malah meliputi yang bukan Muslim. Pengkategorian kafir kepada harbi, dzimmi dan mu’ahid sudah tidak relevan lagi kerana tiada lagi justifikasi kesejarahannya. Status mereka kini adalah warganegara. Fahmi Huwaydi membincangkan isu ini dalam bukunya, Muwatinun la Dzimmiyyun.

Pandangan Ar-Raisuniy tentang demokrasi dipetik lagi dengan kenyataannya bahawa "jika demokrasi diamalkan secara benar, murni maka ia membawa maslahah, dan termasuklah ia dalam maqasid syariah." Asas demokrasi yang menyatakan komitmen kepada keadilan dan persamaan menyebabkan Ar-Raisuniy berani mengatakan bahawa idea demokrasi adalah sejati Islami (min samim al-Islam). Dandal Jabr pula menyebut matlamat utama plurality politik (al-ta'addudiyyah al-siyasiyyah) adalah untuk merealisasikan al-maslahah al-'ammah kenegaraan. Jika dilaksanakan secara benar, sistem ini mampu menyelamatkan umat daripada risiko pertumpahan darah apabila berlaku peralihan kuasa.

Secara umum, pembentangan Dr. Siddiq seperti memberi "endorsement" kepada sistem demokrasi berpilihan raya dan pelbagai parti yang dijalankan di Malaysia. Pembentang seterusnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal bicaranya sering mengimbau nostalgia lamanya semasa memimpin ABIM pada tahun 1970-an. Pengalaman beliau "berguru" dengan tokoh-tokoh cendekiawan Islam seperti Ismail Faruqi, Syed Muhammad Naquib Al-Attas diceritakan kepada khalayak termasuklah hubungan rapat beliau dengan tokoh politik antarabangsa dari India dan lain-lain. Menurut Anwar, sarjana Islam sering apologetik dengan memikirkan hambatan-hambatan berbanding melihat isu sebenar. Isu sebenar menurut Anwar ialah : keadilan tidak terlaksana di negara-negara Islam.


Beliau turut mengkritik Barat yang sering menjadi penentu kepada bahasa yang digunakan dalam wacana "Islam dan demokrasi" (they dictate the language of discourse). Menurut Anwar, terma "Islam dan demokrasi" itu sendiri digandingkan untuk menunjukkan perbezaan antara kedua-duanya, seolah-olah keduanya adalah sangat jauh dan berbeza. Respon dan jawapan yang sering Anwar berikan terhadap persoalan ini di luar negara, menurutnya, perlu diutarakan dengan penuh hikmah serta mengambil kira dan tahu tentang resam agama mereka sendiri.

Anwar turut menyentuh pluralisme apabila menyebut Islam menganjurkan umatnya hidup di tengah-tengah kemajmukan. Ucapan-ucapan beliau di luar negara tentang isu pluralism, keadilan dan kebebasan adalah antara usaha beliau untuk "engage" dengan mereka agar wujudnya interaksi yang baik antara agama. Tanpa "engagement", tidak mungkin interaksi akan wujud.

2 comments:

Fadzlin said...

Bacaan menarik! Terima kasih Pak Busu atas kongsian. :)

azizah said...

Terima kasih.. Cuma berharap untuk 'mendengar' ucap-ucap lucu antara dua tokoh ini