Tuesday, November 23, 2010

Surat dari Ina

Sewaktu kami lama tidak pulang ke kampung isteri saya di Tangkak dulu, anak buah saya, Khairina telah pun menjadi rindu. Dia memang sangat rapat dengan isteri saya sejak dari kecil. Sebagai cucu sulung, Ina bukan sahaja sangat disayangi Ummi dan Babahnya, malah oleh Atuk Esah, Atuk Abah serta pakcik-pakcik dan makcik-makciknya. Pada hari perkahwinan saya dengan makcik kesayangannya, Ina, seperti juga orang lain mengucapkan ucap selamat kepada kami suami-isteri dengan ucapan "Selamat Pengantin Baru". Cuma bezanya, orang lain menulis ucapan tersebut di atas kad-kad ucapan. Ina, berusia tujuh tahun pada waktu itu, menulis "Selamat Penganting Baru, Semoga Bagiya" dengan pensel pada papan pintu bilik tempat kami tidur.

Saya sedang melihat gambar-gambar lama sewaktu gambar surat dari Ina ini terpapar di skrin komputer. Saya agak ragu jika budaya menulis surat ini masih ada pada zaman Facebook ini terutama untuk kanak-kanak seperti Ina. Menulis surat adalah budaya yang sangat baik. Ia mampu menghantar emosi penulis kepada penerimanya, selain mampu membaiki penulisan seseorang. Saya pernah menulis tentangnya di sini. Menerima surat sebegitu dari Ina adalah pengalaman yang berharga dan membanggakan. Ina menulis kepada kami yang telah lama tidak dia temui dengan rasa rindunya. Dan dia tidak lupa mewakili adik-adiknya semasa menulis surat tersebut. Atas kesungguhan tersebut yang ditunjukkan Ina, saya berasa bangga mempunyai anak buah sepertinya.





2 comments:

Haslina Othman said...

Ina sangat sweet. Hmm....yang namanya Ina memang begitu. ;)

Haizir said...

Betul. =)