Thursday, August 11, 2011

Hak

Dalam kebanyakan perkara, manusia bertingkah tentang hak. Hak mereka yang ingin mereka pertahankan. Tanpa selalunya mereka sedari bahawa dalam melakukan pekerjaan itu, barangkali ada hak orang lain yang telah mereka cerobohi. Hak orang lain yang juga ingin dipertahankan oleh orang lain itu. Maka lahirlah konflik. Urusan yang sejak sekian lama telah didepani oleh manusia di seluruh dunia. Namakan hak untuk berhimpun, hak untuk tidak diganggu, hak untuk memelihara agama, hak untuk menyebarkan agama; konflik yang berlaku di kalangan manusia selamanya berkisar di lingkungan hak-hak yang ingin dipertahankan. Oleh kumpulan-kumpulan manusia yang berlainan.

Mempertahan hak kita dan mencerobohi hak orang lain adalah dua urusan yang hampir-hampir sahaja tidak dapat lagi dibezakan, atau sekurang-kurangnya ditangani dengan wajar. Di sinilah letaknya kebijaksanaan yang perlu manusia lakukan dalam memisahkan antara dua pekerjaan ini. Kegagalan menanganinya bakal menjerumuskan kita dan orang lain ke dalam kancah konflik yang tidak mudah dan tidak sekejap untuk diselesaikan.


Dalam kes JAIS dan Gereja Damansara Utama contohnya, percanggahan yang wujud juga adalah di sekitar hak. Hak dan manusia adalah idea zaman ini yang tidak dapat kita lari daripada mendepaninya. Dalam konteks ini, kedua-duanya merebutkan hak untuk beragama. Mempertahankan 12 orang Islam daripada ancaman Kristianisasi adalah hak yang dipertahankan JAIS dan kita semua orang Islam. Tetapi ia menjadi ancaman kepada pihak gereja yang berasa berhak untuk menyebarkan agama mereka kepada 12 orang tersebut.

Maka, hak mana yang ingin dipilih dan yang mana ingin dikorbankan? Mempertahankan agama adalah lebih besar daripada menyebarkan agama. Di pihak Islam, kita mempertahankan apa yang kita ada manakala di pihak Kristian, mereka mahu mendapatkan apa yang mereka tidak ada. Mempertahankan agama Islam tidak menggugat agama Kristian. Tetapi, menyebarkan agama Kristian sudah tentu menggugat agama Islam. Maka, jika premis hak digunakan dalam kes ini, orang Islam mempunyai hak yang lebih besar daripada orang Kristian. Tindakan JAIS adalah benar dan tindakan gereja adalah salah.


Kredit gambar: Laman web rasmi JAIS

3 comments:

Hussin said...

Dalam hal ini sememangnya pihak gereja yang salah sebab Perlembagaan negara telah ada peruntukan bahawa "dilarang penganut agama selain Islam berdakwah tentang agama mereka kepada umat Islam"

Malangnya peruntukan ini tidak dikuatkuasa, seperti banyak lagi peruntukan dinegara ini. Sebagai contoh dalam kes Lina Joy kita sibuk mencari Lina Joy, mengapa tidak diambil tindakan terhadap gereja dan orang yang terlibat dalam proses menKristiankan Lina Joy?

Walaupun pihak gereja yang salah dan JAIS betul beberapa persoalan telah timbul:
a. adakah ini pendekatan terbaik untuk Islam dan umat Islam di Malaysia?
b. mengapakah akidah umat Islam di Malaysia begitu lemah sekali? Mungkinkah sebab umat Islam terlalu dikawal begitu rapi sekali hingga apabila diuji dengan ujian yang cukup remeh pun mereka mudah tewas. Iman yang ada begitu "artificial" dan tidak tetap. Mengapa umat Islam yang berada dinegara Kristian tidak tergugat dengan cubaan yang lebih mencabar? Malah mereka boleh pulak berdakwah untuk menjemput kaum Kristian kedalam Islam.
Agak ada kesamaan antara umat Islam di Malaysia dan bangsa Melayu yang juga begitu lemah oleh kerana terlalu "protected" dan diberi tongkat sehingga tidak boleh lansung bersaing dinegara sendiri.

Tindakan JAIS mungkin perlu dibuat dan boleh dijustikasi. Tetapi "root cause" perlu dicari dan pendekatan yang lebih universal diiringi penerangan secara terbuka supaya semua pihak faham akan kedudukan sebenar.

Dalam kita menyelesaikan satu masaalah, kita tidak mahu menimbulkan masaalah lain yang lebih besar. Nampaknya ada pihak yang ingin mengambil kesempatan untuk mempromosi agendak mereka dalm kita sibuk berpolemik.

siti khadijah said...

Salam, Haizir, bagi diri Kak Ngah secara peribadi apabila ada sesuatu yang tidak elok terjadi, Kak Ngah cuba periksa semula apa yang telah dibuat hingga menyebabkan ianya boleh berlaku? mungkin pihak berkuasa seperti JAIS, JAKIM, Lembaga Zakat malah kita sendiri cuba muhasabah diri dan bertanya mengapa perkara seperti ini boleh berlaku, selain daripada menyalahkan pihak lain, kerana dari cerita yang didengar dikalangan yang murtad tersebut adalah yang menghadapi kesukaran hidup.

Haizir said...

Salam Along, Kak Ngah. Terima kasih atas komen.

Ya, Perlembagaan negara telah menetapkan begitu tapi mutakhir ini telah wujud kecenderungan untuk menafikan perlembagaan tersebut oleh golongan berfikiran liberal (yang kuat menguasai Bar Council dan politikus). Antara alasan simplistik yang digunakan ialah perlembagaan digunakan oleh kerajaan BN untuk kepentingan politik mereka. Idea paling laku pada zaman sekarang dan dicanang seluruh negara ialah hak asasi manusia. Segala tindakan kerajaan dan agensinya akan dilihat silap, menyalahi hak asasi manusia dan berpihak kepada BN. Dan akan menjadi tidak popular di kalangan rakyat.

Pendekatan JAIS ya, walaupun betul tetapi pada zaman ini di mana cabaran akidah dan pemikiran sudah sangat kuat, JAIS tidak boleh selamanya bersikap defensif. Perlembagaan yang sedia ada perlu diterangkan kepada umum agar apabila ia diterjemahkan dalam bentuk tindakan, ia dapat difahami. Selain program menerangkan dan memperhalusi perlembagaan, dialog antara agama juga perlu diusahakan.

Kak Ngah, perkara yang berlaku mengukuhkan premis "kefakiran mendekatkan kepada kekufuran". Usaha membantu golongan fakir ini bagi Izir secara peribadi telah ditangani dengan agak baik oleh kita yang dikenali sebagai bangsa yang pemurah (Malah kadangkala terlebih pemurah). Cuma bantuan kita kepada golongan fakir terhad kepada pembiayaan fizikal. Kita terlupa mereka juga perlu dibantu secara spiritual, secara rohaniah, agar mereka tidak menjadikan kemiskinan itu sebagai satu alasan untuk mewajarkan sebarang tindakan mereka untuk keluar dari kemiskinan itu.