Seminggu selepas Bersih 3.0,
tidak banyak perubahan yang dapat kita saksikan dalam lanskap politik negara.
Rakyat Malaysia masih terus dengan pendirian mereka. Mereka masing-masing masih
menghuni sekolah pemikiran yang sama. Walaupun kedengarannya seperti agak
mengecewakan, sesuatu tetap perlu dilakukan dan peristiwa pada 28 April lalu
adalah medan laganya. (Ah, saya terbaca satu status dalam FB rakan berbunyi, “winning a battle, losing a war?”) Rakyat
tercari-cari ruang untuk bersuara secara lantang. Bersih 3.0 menyediakan ruang
seluas-luasnya. Jeritlah sekuat-kuatnya pada hari itu, tiada siapa akan marah.
Kecuali barangkali beberapa orang pegawai polis yang akan berasa jaki dan sakit
hati.
Ada yang menganggap Bersih
adalah monster (raksasa) yang tidak
patut dijamu. Terus terang cakap, saya pernah berpandangan Bersih sebelum ini
(2.0) adalah tidak wajar. Saya melihat bahang perlawanan politik pada waktu itu
begitu tinggi dan sebarang pertembungan bakal mengundang fatal. Tetapi, jika
itu harga yang perlu dibayar demi membeli sedikit ruang dalam ruang demokrasi
negara yang sempit, saya percaya akan ada yang sanggup membidanya walau
setinggi siling pun harganya. Dan pada 28 April, ruang kebebasan dibeli secara
borong oleh rakyat. Adakah rakyat membuat pembelian secara silap? Atau impulsif?
Saya fikir, pertama, suara rakyat perlu dihormati dan kedua, pemikiran rakyat
perlu dihormati.
Adakah Pakatan Rakyat
mendapat manfaat daripada Bersih? Saya fikir tidak, melainkan sedikit.
Suruhanjaya Pilihan Raya yang dikuasai pemerintah malah akan lebih menajamkan
kukunya. Maka, Bersih perlu jadi wahana untuk memperkasa civil society. Wacana pasca-Bersih perlu dihidupkan di luar ruang
lingkup jalan raya. Di laman blog, misalnya.
5 comments:
Salam.
Secara personal, aku tidak melihat suara rakyat suci, kerana, yang suci hanya kebenaran. Kebebasan adalah impian semua orang, tetapi, yang jelasnya, kenapa kita mahukan kebebasan? Belakangan ini, maksud aku beberapa tahun belakangan ini, semua orang bercakap tentang kebebasan, dan lama kelamaan, ruang awam makin diisi oleh kekacauan.
Aku melihat, perhimpunan seperti Besih boleh sahaja diadakan, memandangkan Perlembagaan tidak melarangnya. Tetapi, dalam konteks sekarang ini, siapakah sebenarnya yang benar-benar berjuang atas keikhlasan? Pemimpin seperti itu hampir tidak ada, lalu apa sudahnya Bersih?
Bersih pun menjadi gelanggang, yang mana, pihak yang bertempur dalam pertempuran yang lebih besar, iaitu BN dan PR - hanya memikirkan keuntungan politik semata-mata. Lalu pada titik itu, isu kebebasan, dan suara rakyat yang dikatakan suci, tidaklah lebih, daripada tangga-tangga yang harus didaki oleh para tiran dan politikus, untuk mencapai kemuncak kekuasaan. Tidak lebih.
Zaman akan datang, perlahan-lahan akan menjadi bukti.
Tentang harga yang perlu dibayar, aku rasa, kita perlu jelas di mana kita berdiri. Aku jengkel dengan pandangan sesetengah orang, apabila cuba menghubungkan situasi di negara-negara Arab, dengan situasi Malaysia. Malaysia dan Mesir jauh berbeza, jauh lagi berbeza di Syria, Libya dll. Kondisi kita, dalam aspek sosiopolitik dan sosioekonomi adalah jauh ke hadapan, justeru kerana itu, jika benar kita mahu yang lebih baik, pastikan kebebasan dan ruang yang dituntut itu, untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik.
Sebaliknya, bukannya kita perlu membayar dengan harga yang lebih tinggi, lalu mendapat satu kebebasan dalam bersuara, tetapi kehilangan hal-hal lain yang lebih berharga, daripada kebebasan itu sendiri. Kebebasan bukanlah puncak kepada kebahagiaan, bukan juga yang paling berharga, kerana, muslim yang sejati, sentiasa bebas biarpun berada di dalam penjara, dan dalam kehidupan seorang Muslim, sentiasa ada yang lebih tinggi dan berharga, yang perlu dicapai, dan kedudukannya lebih penting daripada kebebasan yang dipromosikan kini.
Kini, kebanyakan orang bercakap bukan lagi dalam epistemologi kita, bukan lagi dalam tradisi kita, dan dalam masa yang sama, kita dengan bahagia dan suka sekali, menggunakan strategi dan penyelesaian yang lahir dalam jasad yang mengalami pengakit yang berbeza. Ubat yang mengubati penyakit yang berbeza itu kita ambil, lalu melalui politikus yang habis-habis mahu menjadi hero masyarakat, mereka hulurkan ubat itu, lalu kita yang sedang sakit in mengharapkan kesembuhan.
Kita tidak menderita penyakit yang sama oleh Barat. Jadi, kenapa kita perlu mengambil ubat mereka?
Wallahualam
Salam, Lutfi. Terima kasih atas komen. Jelasnya, Bersih menuntut perjalanan pilihanraya yang adil dan idealnya, ia harus disenangi oleh semua orang termasuk BN dan PR. Tetapi apa yang terjadi ialah Bersih seperti sudah jadi milik PR dan ia seperti direstui rakyat terbanyak walaupun mungkin ada yang tidak bersetuju dengannya. Hakikat yang tidak dapat dinafikan di negara ini ialah parti politik mempunyai lebih kekuatan dari segi massa, pengaruh dll daripada sebarang NGO yang ada. Kita tiada kuasa ketiga yang mampu mengimbangi kedua-dua BN dan PR. BN memang sudah korup, lalu mahu rakyat gantikan dengan PR. Jika PR juga korup atau lebih teruk daripada BN, kita tiada kuasa ketiga untuk menggantikan PR, malang sekali. Tapi, jika prosesnya ialah menggantikan BN dengan PR, maka aku fikir langkah itu perlu dijalankan terlebih dahulu sementara kita membina wacana kita sendiri melalui tradisi kita.
Salam kembali Haizir.
Dalam keadaan sekarang, aku melihat, menggantikan BN dengan PR, tidaklah memberikan kesan yang lebih baik, memandangkan, gejala sebenar yang kita hadapi ialah masalah keruntuhan adab, yakni satu keadaan di mana, kita menolak dan meluluhlantakkan martabat-martabat kewujudan, sehingga orang yang tidak berhak dan berkemampuan memimpin, naik menjadi pemimpin, dan pemimpin-pemimpin ini, kelak, mengukuhkan keadaan keruntuhan adab kembali. Pokok pangkalnya di sini ialah masalah ilmu, iaitu bagaimana ilmu difaahami dengan keliru, dan kerana tiadanya ilmu, kita gagal mengenali siapa yang berhak memegang amanah, lalu berlangsunglah kezaliman, pada tahap individu sehingga masyarakat dan negara.
Politik di negara kita, aku lihat telahpun dipegang kukuh oleh golongan pemimpin palsu, termasuk juga dalam PR. Jadi, setelah BN dijatuhkan misalnya, masalah sebenar tidak selesai, tetapi PR kelak akan naik, untuk meneruskan gejala itu.
Jadi, perubahan tidak ke mana juga, keinginan kita kekal keinginan yang tidak tertunai.
Memahukan satu perhimpunan yang betul-betul dari pihak Bersih sahaja dan tidak di"hijack" parti pembangkang adalah satu keinginan yang "idealis" dan susah untuk direalisasikan.
Jadi adakah tidak harus berhimpun kerana kemungkinan ia akan diambil kesempatan oleh pihak lain? Apapun yang berlaku, niat majoriti yang turun Bersih menuntut pilihanraya yang adil tidak wajar diabaikan. Mereka ini tiada kepentingan politik. Adakah kerana memikirkan perubahan tidak akan datang disebabkan acuan pemimpin yang sama maka kita hanya wajar berdiam?
Doa itu satu tindakan, berhimpun meminta pilihanraya bersih juga satu tindakan. Bila Allah kehendaki dia boleh buat apa saja, tidak kiralah bagaimana fe'el pemimpin sekarang. Moga pohonan kita diterimaNya.
Post a Comment