Thursday, May 17, 2012

Ayah Ajar Sembahyang


Membaca status-status di FB tentang Hari Guru yang disambut hari ini turut mengingatkan saya kepada guru pertama saya, almarhum Ayah. Pertalian Ayah dengan guru sangat rapat. Setahu saya, Ayah semasa muda pernah menjadi guru sementara di sebuah sekolah di Jasin. Kegagalan Ayah untuk menjadi guru tetap atas faktor umur yang terlalu muda telah menjadi antara penyebab Ayah ke Singapura membawa diri dan menyertai pasukan polis di sana. Dan catatan hidup Ayah seterusnya tidak saya miliki kerana saya dilahirkan hanya setelah Ayah berpindah semula ke Melaka selepas bersara dari perkhidmatan polis Singapura.

Namun, apa yang saya ketahui, watak “guru” sangat tebal dalam diri Ayah. Apakah karakter seorang guru yang anda tahu? Garang, tegas, kurang mesra, sukar didekati, digeruni dan lain-lainnya – saya temui hampir kesemuanya dalam diri Ayah. Ayah sangat “seorang guru” bagi saya. Dan Ayah tidak mengajarkan “mata pelajaran”nya secara formal kepada saya. Semua perkara yang saya pelajari dari Ayah adalah dari contoh teladan yang Ayah tunjukkan. Oh, bukan. Sebenarnya, Ayah tidak menunjukkan contoh teladan yang baik. Ayah adalah contoh teladan itu sendiri. Sebagai contoh, sewaktu saya cuba mengingat-ingat pernahkah Ayah mengajar saya sembahyang, saya gagal menjumpai sebarang momen tentang itu. Ayah tidak pernah mengajar saya sembahyang. Secara formal begitu, seperti yang diajar di sekolah. Saya belajar sembahyang dari Mak Ngah Esah, guru mengaji kami yang rumahnya di seberang jalan. Setiap kali selepas semua orang selesai mengaji dengan beliau, kami akan disuruh praktikal solat di ruang tamu rumahnya secara berjemaah. Setiap hari adalah waktu solat yang berbeza – Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’. Tetapi, dengan bantuan cucu Mak Ngah Esah sendiri, Amir, hampir setiap hari waktu solat selepas mengaji kami adalah Subuh. Ah, Mak Ngah kerap tidak ingat waktu solat untuk hari tersebut adalah waktu yang mana. Kesempatan itu kami gunakan untuk membuat amali solat yang mempunyai rakaat yang paling pendek agar selepas itu kami boleh dengan segera bermain baling selipar atau sorok-sorok.

Berbalik kepada cerita tadi. Ya, secara praktikalnya saya diajar solat olah Mak Ngah dan rakan-rakan mengaji senior yang lain. Bacaan-bacaan dalam solat diperhalusi melalui ajaran Ustazah Maryam, Ustaz Abu Bakar dan Ustaz Mahmud di sekolah Kesang Tua. Tetapi, secara intrinsiknya, saya diajar sembahyang oleh Ayah. Ayah, meski tidak pernah atau jarang sekali menyuruh saya pergi sembahyang secara vokal, sebenarnya telah pun memanggil saya dengan sangat lantang untuk sembahyang melalui pelakuan sembahyangnya sendiri. Ayah sangat “penyembahyang” orangnya – kalaulah boleh istilah itu saya gunakan untuk menghuraikan sifat Ayah yang kuat sembahyang. Suasana dalam rumah itu dipenuhi dengan “semangat” sembahyang Ayah. Bilik sembahyangnya, bilangan kopiahnya yang banyak (deretan kopiah putih Ayah akan dibasuh Makcik saban hari dan akan disidai berjejal-jejal di ampaian), begitu juga dengan koleksi baju Melayu dan kain pelikat yang memenuhi almari dan sejadah yang juga relatif banyak bagi sebuah rumah. Itu secara fizikal. Secara praktikal, setiap malam jika tiada kuliah (atau kami panggil “belajar”) di masjid atau surau, Ayah akan berjemaah Maghrib dan Isyak dengan Makcik dengan deretan zikir dan doa terlalu panjang setiap selepas solat, belum termasuk solat-solat sunat ba’diah, Awwabin dan lain-lain.

Saya tidak ingat bagaimana saya boleh jadi konsisten solat pada usia kanak-kanak. Satu kemalasan terbesar untuk solat ialah untuk mengambil wudhuk. Satu turning point yang saya boleh ingat ialah pada satu malam, saya solat Maghrib agak lewat, hampir waktu Isyak. Apabila waktu Isyak telah masuk, saya berkata dengan kuat dalam rumah, “Ada air sembahyang lagi ni, sembahyang Isyak teruslah!”. Saya terlupa sebenarnya sebentar tadi saya sudah buang angin dan bunyinya didengari seisi rumah. Apabila saya teringat, terus saya kata, “Eh, tadi dah kentut!”, berasa malu pada Ayah yang ada di ruang tamu. Mahu tidak mahu saya perlu ke bilik air mengambil wudhuk walaupun sebenarnya pada awalnya saya tidak bercadang pun untuk solat Isyak. Ayah ketawa melihat telatah saya itu dan sejak dari hari itu saya mendapat pelajaran solat yang sangat berguna bahawa: 1) Solat itu memang berat bagi orang yang malas. 2) Sikap Ayah yang tidak pun marah kepada saya kerana tidak solat adalah penting kepada saya. Barangkali saya berusia lapan tahun pada waktu itu. Ketawa Ayah tadi juga sangat penting. Diketawakan oleh Ayah yang garang, kurang bercakap, digeruni dan takut didekati adalah sangat bermakna. Saya berasa dihargai dan apabila diingat-ingat semula, itulah momennya apabila saya sebagai anak kecil telah mula berasa hendak solat atas kemahuan sendiri.


2 comments:

Fadzlin said...

Sewaktu Alin kecil dan melihat Atuk asyik sembahyang, Alin dalam hati berkata "Atuk ni mesti masuk syurga".

Alhamdulillah kita dibiasakan dengan orang-orang yang sembahyang, dan orang tak sembahyang itu sangat pelik. Rezeki dilahirkan dalam keluarga Othman.

Haizir said...

Terima kasih, Alin. Sebab tu orang putih kata, "Action speaks louder than words." :)