Tuesday, May 29, 2012

Tulisan di Suara Keadilan

Tulisan saya disiarkan di akhbar Suara Keadilan nombor 66 dalam ruangan Budaya dengan pengeditan yang minimal. Sebagai menghormati hak penyiaran kali pertama yang dipunyai oleh penerbitan tersebut, saya menangguhkan untuk menyiarkan tulisan tersebut di blog ini. Kini, setelah tempoh terbitan Suara Keadilan 66 berakhir dengan terbitnya edisi 67, saya siarkan tulisan tersebut di sini sebagai rujukan pada masa depan.


Dari Anak Alam ke Anak Apak: Catatan hari akhir pesta buku Kuala Lumpur

Barangkali boleh saya namakan hari itu sebagai hari meraikan konsumerisme. Tiga ratus yang saya keluarkan dari mesin ATM pada waktu pagi, sikit lagi mahu habis menjelang senja. Tetapi, tidak apalah. Saya bukan sahaja membeli buku di sana, tetapi juga pengalaman yang bersusun-susun. Memasuki PWTC, public figure pertama yang saya temui adalah Faisal Tehrani, kini memakai gelar Dr. Rupa-rupanya Ketupat Cinta Dr. Faisal sudah ada sekuelnya yang dinamai Ketupat Cinta (Musim Kedua) Penggal Pertama. Ketupat Cinta 1 tidak saya miliki dan belum saya baca sebagai sebuah novel lengkap walaupun petikan-petikannya pernah saya baca sebagai novel bersiri di surat khabar. Faisal Tehrani adalah sosok penting dalam dunia penulisan tanah air yang wajar diberikan kedudukan selayaknya. Meski dibebankan dengan baggage Syiah di pundaknya oleh sebahagian khalayak penulis lain dan warga masyarakat, beliau tetap merupakan salah satu watak utama dalam pentas kesusasteraan negara dengan kelincahannya bermain pena. Walaubagaimanapun, secara jujur, saya lebih senang, selesa dan merindui stroke-stroke beliau dalam novel-novel Advencer Si Peniup Ney, Cinta Hari-Hari Rusuhan, 1515 dan kumpulan cerpen Perempuan Anggerik yang mengandungi jalur perjuangan yang boleh difahami berbanding karya-karya beliau lewat-lewat kini seperti Karbala, Sebongkah Batu di Kuala Berang dan yang terbaru, Perempuan Nan Bercinta.


Perempuan Nan Bercinta tetap saya dapatkan di Gerai ITBM, tempat saya meraikan konsumerisme seperti Hari Raya pertama. Di sini, selain Perempuan Nan Bercinta, saya membeli Biblioholisme (Shaharom TM Sulaiman), Pengakuan Penyair (penyusun: Rahimidin Zahari), Ibnu Khaldun: Riwayat Hidup dan Karyanya (Mohammad Abdullah Enan), Balada (Pyanhabib) dan Pak Samad di Mata Kami (penyusun: Rahimidin Zahari). Balada, kumpulan puisi Pyanhabib bagi saya adalah yang paling “mahal”, bukan kerana harganya (yang sebenarnya relatif tidak mahal), tetapi kerana kekayaan pengalaman, kejujuran, nilai sentimental, emosi, gambar-gambar lama hitam-putih yang cantik lagi rare dan sajak-sajak enak yang sarat terisi di dalamnya. Penerbitan buku ini telah mengingatkan kita semula kepada watak lelaki pekak dari Taiping, Perak, pendukung watak Osman Tikus dalam Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani pada tahun 1986 dulu. Ini adalah lelaki yang telah kita rindui akan kesederhanaannya dan ketersendiriannya dan kejiwamerdekaannya. Balada adalah penerbitan sajak-sajak Pyanhabib yang pertama yang belum pernah kita temui di mana-mana, kecuali jika anda sendiri sezaman dengan dia.

27 mei sebuah memori

malam
masa silam seorang bayi meraung
– tidurku telah diganggu –
‘pyan,
aku tak sempat belikan hadiah
bergembiralah
aku doakan kaupanjang umur
dan selamat berkarya’
– hanafiah
mataku tiba-tiba berkaca
siang
masa silam seorang bayi meraung
– aku diberi salam –
‘pyan,
terima kasih
selamat hari jadi
bila senang akan datang lagi’
– evelyn
mataku tiba-tiba bercahaya

27 mei 1979
anak alam

Siapakah yang boleh menulis sajak yang sayu pada awalnya sebelum bertukar nakal tanpa kelihatan poyo seperti Pyanhabib? Berkebetulan petang itu adalah hari pelancaran Balada di pentas utama Pesta Buku. Bermula pengenalan oleh pengacara bual bicara yang sohor, Sayed Munawwar, pentas kemudiannya jadi pentas kumpulan Anak Alam, yang pernah muncul cool memberi nafas segar dan bertenaga kepada dunia budaya dan sastera negara sekitar 1970-an dan 1980-an dulu. Abdul Ghaffar Ibrahim (Agi) mendeklamasikan sajak Pyanhabib, Suara, sajak nombor satu dalam Balada. Apalah lagi yang boleh saya katakan kepada kombinasi sajak-deklamator dan Pyanhabib-Agi ini melainkan “wow”! Jeritan Agi cukup untuk membuat suasana jadi senyap dan orang ramai yang lalu-lalang berhenti untuk melihat apa yang sedang berlangsung. 


Kemudian, naik Dato’ Lat memberi ucapan dan melancarkan Balada sebagai satu formaliti. Pyanhabib pernah diwatakkan dalam karya ulung Dato’ Lat, Mat Som, seperti juga Agi, Ramli Sarip, Tan Sri A. Samad Ismail dan lain-lain. Kehadiran Ramli Sarip menyanyikan tiga buah lagu dengan suara serak-serak basah barangkali adalah kemuncak acara yang menjadikan petang itu sangat berbaloi dilapangkan untuk program peluncuran buku itu. Ramli Sarip menyanyikan satu lagu dari albumnya, satu lagu dari puisi Pyanhabib sendiri dan satu lagu “Aku Menulis Bukan Kerana Nama”. Seorang lagi Anak Alam, Prof. Siti Zainon Ismail turut naik, mendeklamasikan sajak-sajak Pyanhabib “Taman”, “Surat Cinta”, “Mari Kita Bercinta” dan “Perawan”. Akhir sekali, naik penulis buku “Melayu Hilang di Dunia”, Khalid Salleh, mendeklamasi sajaknya, Bukan Apa-apa. Sepatutnya, M. Nasir turut hadir, tetapi menurut Pyanhabib, “mamat” itu sibuk agaknya.


Kenang-kenangan sastera zaman 1970-an dan 1980-an ala Anak Alam tersembur baunya ke seluruh pentas dan tempat duduk dan sekitarnya, meskipun kebanyakan hadirin tidak pernah pun merasai zaman itu. Terima kasih, ITBM kerana membenarkan generasi kami merasai percikan baranya biar sedikit, walaupun api dan panasnya tidak pernah kami lihat dan rasa dan hidu.


Kira-kira jam 6.10 petang, pentas bertukar tangan. Sepatutnya saya pulang tapi tanpa disangka, pentas dinaiki Anak Apak, sosok besar dunia kewartawanan tanah air, Haji Subky Abdul Latif. Haji Subky, berusia 72 tahun, berjubah kelabu, bersongkok hitam dengan janggut putih, unik dan tersendiri. Beliau hadir memberi sokongan kepada penerbit bukunya, Kemilau Publika yang rupa-rupanya bakal menerbitkan buku kedua dan ketiga Haji Subky yang kira-kira bakal dijudulkan sebagai “Propagandis Zaman” dan “Manis-manis Politik” sebagai pelengkap trilogi memoir politik kewartawanan Haji Subky. Mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya bermain bola sepak dengan anak Chin Peng, berbasikal seorang diri dari Pulau Pinang ke Semanggol, Perak, bersahabat dengan Pak Lah dalam GPMS, bertugas di Utusan, dan bertanding pilihan raya di merata tempat, cerita-cerita Haji Subky sama menarik seperti artikel-artikel beliau di Harakah. Sifat gentleman Haji Subky yang semua orang tahu merupakan seorang ahli PAS ternampak apabila beliau tidaklah begitu ghairah berkempen atau mahu mempromosikan parti dan perjuangannya, melainkan hanya menyebut beliau telah pun menyertai PAS, merasakan dirinya telah membuat keputusan yang betul dan tidak akan berpatah balik.


Seperti Pyanhabib yang menyebut bahawa ramai rakan-rakannya telah pun jadi orang-orang besar dengan memakai gelar-gelar seperti Datuk dan Tan Sri, pengalaman yang kurang lebih sama dilalui Haji Subky Latif. Pyanhabib pernah diminta mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir untuk bertugas di Kumpulan Utusan. Pyanhabib juga pernah menolak anugerah dalam Festival Filem Malaysia pada tahun 1986, dan sehingga hari ini kekal dalam semangat kebebasan dan kemandiriannya. Haji Subky juga, jika memilih parti pemerintah, atau sekurang-kurangnya tidak memilih parti pemerintah tetapi tidak juga memilih parti pembangkang, sudah pasti pada hari ini berada dalam kedudukan jauh lebih selesa berbanding kini, berbekal pengaruh yang ada dan hubungan rapatnya dengan tokoh-tokoh terkemuka negara. Tetapi, apalah ertinya keselesaan bagi mereka jika mahu ruang duduk pun perlu minta izin. Makna hidup adalah jauh lebih besar daripada keselesaan di singgahsana dan wang ringgit berjuta-juta.

2 comments:

siti khadijah said...

Haizir, Tahniah! apa yang hendak dikatakan tentang artikel ini? well versed? tumpang bangga ada adik yang mempunyai bakat menulis seperti ini.

Hussin said...

Tahniah. Semoga dipermudahkan untuk terus berkarya dan semoga karya yang dihasilkan tergolong sebagai ibadah yang diterima olehNya.