Tuesday, December 04, 2012

Percutian


Setelah lebih lima tahun, inilah kali pertama kami dapat keluar bercuti bersama. Bukan kami tidak pernah merancang, tetapi rancangan itu sering sahaja tergendala oleh rencana-rencana lain yang lebih menuntut pertanggungjawaban. Oleh itu, apabila rancangan yang tertangguh sekian lama itu terlaksana juga pada 29 November hingga 1 Disember lalu, ianya seperti agak sukar dipercayai, seolah-olah buat sementara waktu kami telah berhasil meletakkan perkara-perkara lain ke tepi terlebih dahulu.

Tanpa perancangan rapi, kami ke Kuala Terengganu dengan agak tergesa-gesa. Adanya biras saya di sana, di Kampung Pagar Besi, Batu Rakit, membolehkan kami merencana perjalanan ke sana dengan agak mudah. Kak Ma (Nor Maryam) telah mencarikan kami chalet tepi pantai yang berpatutan harganya selain kereta sewa untuk kegunaan kami sepanjang di sana. Maka bercutilah kami di Kuala Terengganu walau sebenarnya destinasi-destinasi lain turut terlintas dalam fikiran.

Menurut kisah sejarah bercampur legenda yang diceritakan abang ipar saya, Bang Din, Batu Rakit mendapat namanya dari sebiji batu besar yang terdapat di sana. Batu itu terapung seperti rakit di tengah laut berhampiran pantai dan menurut Bang Din, di bawahnya memang tidak bersambung dengan dasar laut. Menurut kisahnya, batu itu dilemparkan pasukan tentera Bugis yang berhasrat menyerang Terengganu. Bugis berfirasat jika batu yang dilempar itu tenggelam, mereka akan meneruskan hajat mereka untuk menyerang dan jika batu itu timbul, maka hasrat itu akan dibatalkan.

Pagi pertama di sana kami luangkan di Pasar Payang mencari sedikit cenderamata. Petangnya, kami mencari sotong goreng tepung di Pantai Teluk Ketapang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Perjalanan ke sana melalui Seberang Takir, bandar yang pernah melahirkan penyair ulung Terengganu dan negara, Pak JM Aziz. Tiada sotong menarik yang kami temui lalu kami bersiar-siar berjalan kaki menyusur pesisir pantai. Ombak Laut China Selatan kuat memukul pantai dengan kekuatan dan ketinggian yang tidak boleh diteka. Musim monsun bakal menjelang. Kami dinasihati Tok Ki (ayah Kak Ma) agar tidak mandi-manda di mana-mana pantai atas alasan keselamatan. Pantai, di mana-mana pun menjanjikan ketenangan kepada orang yang melihatnya. Pantai Teluk Ketapang juga begitu. Cuma kami tidak dapat belama-lama di sana setelah titis-titis air dari langit turun menggesa kami pulang.



Misi pencarian sotong goreng tepung kami teruskan di satu warung di Batu Rakit, berhampiran dengan chalet kami diami. Aduh, mengecewakan sekali lagi. Esoknya, kami ke Losong yang terkenal dengan keropok lekor dan satar hanya untuk kecewa sekali lagi. Ternyata Losong sudah hilang kelebihannya sebagai pengeluar keropok lekor dan satar yang enak. Keropok lekor yang lembut dan dimakan panas-panas dengan rasa ikan yang enak yang pernah kami rasa tiga tahun dulu sudah tidak ada lagi walaupun kedai yang sama kami tujui.

Kami meneruskan perjalanan ke Pantai Batu Buruk. Waktu tengah hari agak lengang sementelah hari ini hari Jumaat, para muslimin menuju ke masjid untuk solat fardhu Jumaat. Di sana ada penganjuran permainan dan aktiviti pantai termasuklah permainan luncur air yang dulunya hanya dimainkan di pantai-pantai Eropah. Pantai Batu Buruk agak meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk menaiki kereta kuda. Di Terengganu ini, satu perkara yang menarik ialah ramai di kalangan anak gadisnya mengenakan baju kurung pada kebanyakan masa, tidak seperti gadis di sebelah sini yang telah menjadikan baju kurung hanya untuk kegunaan rasmi dan di majlis-majlis seperti kenduri-kendara. Suasana begitu pada jangkaan saya hanya dapat disaksikan di tempat-tempat seperti Pasar Payang dan bandar Kuala Terengganu , tetapi di Pantai Batu Buruk juga sama keadaannya. Rata-rata perempuan berbaju kurung, termasuklah si gadis yang menunggang kereta kuda.

Kami telah pun mensasarkan sebuah warung tepi jalan di Batu Rakit, tidak jauh dari warung semalam yang mengecewakan, untuk meneruskan pemburuan sotong goreng tepung. Warung tersebut bernama Warung Pak Nong, rupa-rupanya pernah muncul dalam rancangan Jalan-jalan Cari Makan, memang mempunyai sotong goreng tepung terbaik yang pernah kami rasa. Berdasarkan konsep layan diri, pelanggan perlu mengambil giliran (sebenarnya berebut) untuk mengambil sotong, udang dan ikan goreng tepung yang diletak di atas meja. Warung ini telah mengubat kekecewaan kami untuk dua hari ini.

Selepas menikmati sotong paling enak, kami sekali lagi keluar ke pantai yang hanya beberapa puluh kaki di depan. Pantai Batu Rakit tidak mengecewakan, di sepanjangnya juga ada acara-acara yang dihidupkan manusia seperti bermain layang-layang, memancing, kanak-kanak membuat istana pasir, remaja membakar barbeku, atau hanya berjalan-jalan dan mengambil gambar seperti saya dan isteri. Menghabiskan waktu sehingga petang merangkak senja, kami beredar setelah azan Maghrib berkumandang lalu menuju ke Masjid Kampung Mengabang Telipot. Malamnya, kami ke rumah Tok Ki di Kampung Pagar Besi, memenuhi undangan keluarganya untuk makan malam di sana.



Hari terakhir di Kuala Terengganu, sekali lagi kami ke Pasar Payang mencari beberapa benda seperti keropok kering dan lain-lain kiriman orang. Isteri saya menukar gelang tangannya yang sudah kemik di salah satu deretan kedai emas Melayu bawah Pasar Payang. Kak Ma menemankan kami ke Kampung Bukit Tok Beng mencari keropok lekor basah dan kering. Status Losong sebagai pengeluar keropok lekor paling enak rupa-rupanya telah diambil-alih oleh Tok Beng. Perkara ini tidak dapat diketahui melainkan oleh orang Terengganu sendiri. Pulang dari Tok Beng, kami melalui jalan Gong Badak. Saya mahu melihat dengan lebih dekat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada tahun 2009 itu, setahun selepas ia dibina dan dirasmikan oleh Sultan Mizan sendiri. Dikatakan, pembinaannya menelan belanja sebanyak RM 270 juta (Wikipedia, 2011).

Selepas menyelesaikan urusan pemulangan kereta sewa dan daftar keluar chalet, kami bersiap-siap untuk berangkat pulang. Walaubagaimanapun, kami tidak terus ke Klang melainkan ke Tangkak terlebih dahulu kerana kami menumpang Bang Din yang perlu ke Segamat menghadiri kursus pemeriksa kertas soalan SPM sehari kemudian. Selepas tiga hari dua malam di Terengganu, kami pulang membawa pengalaman baru yang menarik. Harap-harapnya akan ada lagi peluang-peluang sebegini pada masa-masa akan datang – berjalan, melihat dan mentafsir, seperti yang pernah dilagukan kumpulan nasyid Nowseeheart. 

2 comments:

Happy Mind said...

Wah, jauh2 berjalan cuma pergi ke tepi pantai. Kalau tengok drama cinta tv bolehlah...Next time, nak pergi jugak kalau ada kesempatan. Tepi pantai Terengganu hujung tahun hujan selalu tak agakya? Monsun Timur Laut ke...

Happy Mind said...
This comment has been removed by the author.