Judul: Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr.
Ismail dan Masanya
Judul asal: The Reluctant Politician: Tun Dr.
Ismail and His Time
Pengarang:
Ooi Kee Beng
Penterjemah:
Bashir Basalamah
Penerbit: Institute of Southeast Asian
Studies (ISEAS) dan Strategic Information and Research Development Centre
(SIRD)
Tahun: 2007
Bilangan
halaman: 310 muka surat
Harga:
RM 15.00 (selepas potongan harga, dibeli semasa jualan murah)
Tun Dr. Ismail adalah antara tokoh awal dalam
Umno yang mempunyai ciri negarawan, malah mungkin satu-satunya. Pulang dari
pengajian di Queen’s College, Universiti Melbourne pada tahun 1946, beliau
bersama kumpulan perbincangan politiknya, Malay Graduates’ Association yang
mempunyai kesedaran mahu memerdekakan negara, telah memilih Umno yang
disifatkannya sudah mempunyai sokongan rakyat sebagai wadah perjuangan. Namun
sebelum itu, Ismail telah lebih dahulu menolak pelawaan Onn Ja’afar untuk
menyertai parti itu yang pada mulanya tiada hasrat memperjuangkan kemerdekaan,
melainkan menjaga kebajikan orang Melayu sahaja. Beliau hanya menyertai Umno
setelah Onn keluar dan Tunku mengambil alih kepimpinan.
Dalam Umno dan kemudiannya dalam kerajaan
Perikatan, Ismail adalah watak utama perencana segala agenda parti dan negara.
Beliau mempunyai kecekapan yang tinggi membaca situasi negara, sikap yang jelas
terhadap sesuatu perkara, konsisten dalam keputusan, mahir dalam hubungan luar
sama ada serantau mahupun antarabangsa, selain mempunyai kewibawaan tinggi
sebagai seorang pemimpin dengan sikap tegasnya yang digeruni, dihormati kawan
dan lawan.
Sebaik Malaya merdeka, beliau dihantar Tunku
ke Amerika Syarikat sebagai duta, seterusnya sebagai wakil tetap Malaya yang
pertama ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Di sanalah Ismail telah
menunjukkan bakat dan kehebatannya menjalankan tugas mewakili sebuah negara
yang baru merdeka di pentas dunia, berpencak dan berdiplomasi dalam kancah
politik antarabangsa, bekerja keras menjaga kebajikan Malaya di mata dunia
dalam rangka hubungan luar dengan negara-negara lain selain urusan pentadbiran
pejabat yang cukup memenatkan. Di sana, Ismail membeli tiga bangunan di
Washington sebaik tiba. Pada satu ketika apabila beliau menziarahi Duta Besar
Korea, beliau dimaklumkan duta itu bahawa jika boleh, Korea juga ingin membeli
bangunan Kedutaan Malaya yang ada sekarang tetapi negaranya tidak mampu.
Penyataan ini menunjukkan perbandingan keadaan ekonomi negara kita dengan Korea
pada tahun 1958, dan keadaan sebaliknya dapat kita lihat pada hari ini.
Ismail telah pun terlalu penat bekerja di
perantauan dan di dalam negara tambahan pula dengan keadaan kesihatan beliau
yang sering terganggu. Beliau mempunyai masalah jantung, selain kanser leher
yang memaksanya bersara dari jawatan menteri pada tahun 1967. Malah, beliau
telah bersumpah tidak akan menerima jawatan menteri lagi setelah bergelut
melawan penyakit kansernya. Tetapi, politik Malaysia tidak mahu melepaskannya
pergi. Kemelut politik terburuk negara pada 13 Mei 1969 memaksa Ismail
melanggar janji pada dirinya sendiri apabila menerima panggilan telefon dari
Tun Razak pada malam 14 Mei sebelum keluar menenangkan para menteri dan pegawai
yang telah jatuh panik, terutama Tunku yang nyata tidak mampu menangani krisis
itu. Terdapat beberapa langkah Ismail yang penting pada waktu itu:
1) Menghalang
Tun Razak daripada pergi menemui para perusuh dengan kereta rasmi. “Habis kamu
nanti disiat-siat,” katanya.
2) Menghalang
Tunku daripada mengisytiharkan undang-undang tentera. Secara langsung, langkah
ini akan menyerahkan negara kepada pemerintan tentera. Kata Tun Dr. Ismail,
“Kalau sekali diberikan, Tunku tidak akan dapat kuasa itu semula.”
3) Mengambil
langkah berucap di televisyen menenteramkan orang ramai setelah Tunku gagal
melakukannya. Ucapan ini sangat penting sebagai menunjukkan kerajaan berupaya
menangani krisis dan mempunyai perancangan tertentu. Ucapan Ismail malam itu
telah disemak oleh Robert Kuok yang terbang dari Singapura atas permintaan
Ismail. Antara inti ucapannya ialah “demokrasi sudah mati di negara ini” dan
beliau berazam untuk menghidupkan semula demokrasi. Katanya, “kerajaan yang
berkuasa adalah kerajaan yang tidak takut mengamalkan demokrasi.”
4) Menjadi
penyebab Razak tidak menggunakan kuasa Pengarah Mageran yang ada di tangannya
untuk menjadi diktator dengan menyingkirkan Tunku dan memanjat tangga
kekuasaan. Sebaliknya, Razak didesak Ismail untuk memulihkan parlimen secepat
mungkin.
5) Menjadi
“otak” Razak dalam Mageran sebagai Pemangku Pengarah Gerakan Negara.
Namun, kecaman terhadap parti-parti
pembangkang secara keterlaluan dengan menuduh mereka sebagai dalang tragedi,
menangkap pemimpin mereka beramai-ramai di bawah ISA termasuk Lim Kit Siang
yang ditahan sehingga dua tahun adalah tindakan autokratik dari Ismail, ironis
dengan tekadnya untuk memulihkan demokrasi.
Kesibukan seterusnya Ismail menyusun semula
sistem politik negara yang berantakan telah menangguhkan keperluan pemeriksaan kesihatannya
sendiri. Kanser lehernya berulang dan keadaan jantungnya merosot. Beliau
menangguhkan rawatan kanser yang sepatutnya dijalankan di London kerana pada
waktu itu sedang berada di tengah-tengah pelancaran rancangan perundangan yang
penting, termasuk langkah membanteras rasuah. Berkaitan hal ini, Tun Salleh
Abbas ada menyebut dalam Kata Pengantar buku ini bahawa Tun Dr. Ismail pernah
berkata kepadanya “Saya sanggup lakukan untuk negara apa yang saya tidak
sanggup lakukan untuk diri dan keluarga saya sendiri.” Tetapi selain itu, ada
satu lagi faktor yang mendorong Ismail terus bertahan, satu rahsia yang hanya
diketahui olehnya, Razak dan beberapa kenalan rapat, bahawa Razak, Perdana
Menteri de facto pada waktu itu sedang berada di ambang maut dan Ismail sebagai
timbalannya tidak ada pilihan lain selain terus menjawat jawatannya.
Tetapi, takdir Allah telah menentukan Ismail
pergi dulu sebelum Razak. Ismail pergi semasa memangku jawatan Perdana Menteri,
sewaktu Razak menghadiri satu urusan di Kanada. Tanggal 2 Ogos 1973, Malaysia
kehilangan seorang putera bangsa yang telah menghabiskan usianya mencurah bakti
kepada negara walau terpaksa mengorbankan kepentingannya sendiri. Jasa
Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman akan terus dikenang dalam lipatan
sejarah untuk tatapan generasi kemudian. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas
rohnya dan diganjarkan jasa baktinya kepada negara dengan keredhoan-Nya.

No comments:
Post a Comment