"Apabila
kaum tertindas hampir terbenam seluruhnya dalam realiti, mereka tidak perlu
lagi dimanipulasikan."
(Paulo Freire, Pedagogi Kaum Tertindas).
Pada
11 Februari 2013 (Isnin) lalu, Astro Prima telah menayangkan sebuah telefilem bertajuk Orang Kasar. Kali pertama
ditayangkan pada tahun 2003, Orang Kasar
diterbitkan Fox Vision Enterprise sekira-kira untuk memenuhi pasaran telefilem VCD
dan DVD yang sedang rancak berjalan pada masa itu. Negara baru kebah dari
krisis ekonomi dan politik bermula 1998. VSS rancak dilaksanakan di
syarikat-syarikat besar dan kecil. Kerajaan mengehadkan bilangan pelajar ke luar
negara. Industri perfileman turut menerima kesannya. Para pemainnya terpaksa mengubah
strategi. Mereka beralih dari medium layar lebar kepada layar kaca dengan
menerbitkan telefilem yang berkos relatif lebih rendah. Saya masih ingat
kegilaan menonton telefilem sekitar
hujung 1990-an ke awal 2000-an yang menawarkan cerita-cerita seperti Gosok lakonan kumpulan Spider, Aku Kaya lakonan Yassin, Hamdan dan
Illya, Champion lakonan Saiful Apek,
dan Blok 404, satu telefilem thriller yang menarik lakonan Zamarul Hisham dan Raja Azri.
Sebagai
sebuah karya seni bermutu, Orang Kasar
sebenarnya lebih layak ditayangkan di layar filem berbanding layar kaca. Walaubagaimanapun,
hasil akhir sesebuah karya itu tetap sahaja dinilai dari segi kualitinya, tidak
kiralah di medium mana pun ia dimainkan.
Telefilem tulisan Anwar Idris dan arahan Harun Salim Bachik ini dibintangi oleh Eman
Manan, Jalaludin Hassan, Loloq, Azizah Mahzan, Uji Rashid dan Liyana Jasmay. Ia
mengisahkan Murad (lakonan Eman Manan) seorang pemandu lori yang mempunyai tiga
orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja. Dari hasil usaha gigihnya
bekerja siang malam, dia membeli sebuah rumah di Taman Batu Muda, satu projek
perumahan yang dimajukan oleh syarikat Datuk Dahlan (lakonan Jalaludin Hassan).
Malangnya, setelah bertahun-tahun, rumah yang diharapkan untuk diduduki tidak kunjung
siap walaupun Murad telah pun membayar tunai RM 40,000 kepada pemaju. (Bayangkan
betapa murahnya harga rumah teres pada masa itu dan betapa tingginya ia telah
melambung dalam tempoh hanya sepuluh tahun!) Masalah timbul apabila rumah
setinggan yang diduduki Murad sekeluarga di Kampung Berembang diancam untuk
dirobohkan oleh DBKL atas alasan pembangunan.
Pada
waktu inilah kesempitan telah mendorong Murad bertindak. Keberanian Murad memanjat
pejabat pemaju dan memarahi Pengarahnya adalah antara adegan paling menarik dalam
cerita ini. Murad ternyata tidak boleh terus-terusan merelakan si pemaju
membiarkan rumahnya terbengkalai tanpa sebarang perkembangan. Tindakan tersebut
ternyata berhasil apabila selepas itu, Datuk Dahlan memanggil anak-anak buahnya
bermesyuarat sebelum memutuskan untuk meneruskan projek perumahan Batu Muda
walaupun dibantah oleh seorang ahli kerana keputusan tersebut bakal mengakibatkan
syarikat menanggung kerugian.
Adegan
seterusnya yang menarik adalah apabila Murad nekad tinggal di rumahnya yang belum
siap (setelah menghantar isteri dan anak-anaknya ke rumah ibu mertua) yang
telah rosak, dicontengi graffiti selain dijadikan sarang penagih dadah. Murad
menjadikan papan katil sebagai daun pintu, menyalakan lilin pada waktu malam
dan menadah air hujan untuk membersihkan diri. Malah Murad turut menggantung
lukisan-lukisan yang dibawa dari rumah lamanya, di rumah ini. Rumah ini
kemudiannya turut dihuni oleh Datuk Dahlan selama satu malam dalam satu episod
penculikan tidak sengaja yang dilakukan Murad terhadapnya. Di sinilah Datuk
Dahlan menginsafi keperitan yang dialami Murad sehingga membentuk pandangan dan
sikapnya untuk tidak mendakwa Murad di penghujung cerita. Pada malam itu juga,
Murad didatangi dua orang pegawai polis yang melarangnya daripada tinggal di
situ atas alasan keselamatan. Berbekal dokumen-dokumen rasmi dan beberapa
dalih, Murad berhasil meraih izin mereka untuk duduk di situ untuk satu malam
lagi. Kata Murad kepada Datuk Dahlan yang disorokkannya di dalam bilik, “Aku mahu dihalau keluar dari rumahku
sendiri.”
“Penculikan” Datuk Dahlan oleh Murad selama
dua hari dua malam telah merintis hubungan yang jauh lebih dalam daripada hubungan
penculik dengan yang diculik. Datuk Dahlan tidak jadi membenci Murad,
sebaliknya dia telah terkena Sindrom Stockholm apabila dia berasa simpati dan
bersikap positif kepada Murad sehingga ke peringkat mempertahankannya. Dalam
episod ini, kita dapat melihat jurang perbezaan antara dua darjat manusia –
yang kaya-berkuasa dengan yang miskin-meminta-minta. Manusia telah dibezakan
kepada kelas-kelas borjuis dan proletariat di mana golongan proletariat
berperanan mengusahakan kepentingan-kepentingan kaum borjuis sambil
mengorbankan kepentingan diri sendiri. Dalam cerita ini, Murad telah berusaha
gigih mencari wang untuk diberikan kepada orang-orang seperti Datuk Dahlan
untuk ditukarkan dengan sebuah rumah. Tetapi, atas pelbagai alasan dan
kesalahan yang telah diwajarkan, pertukaran itu tidak berlaku sebaliknya yang
terjadi adalah pemerasan ke atas wang Murad.
Kemelaratan
hidup dan penindasan telah memaksa Murad menjadi “orang kasar”, mendrobrak
pintu kaca mahligai penguasa kaya yang menentukan takdir hidup orang
sepertinya, untuk merebut secubit bahagian dari haknya sendiri. Manakala Datuk
Dahlan, yang sehari-hari mendapat biaya dari hasil titik peluh orang seperti
Murad, telah menjadi begitu selesa dengan kesenangan yang bertukar kepada
kemewahan sehingga lupa untuk melengkapkan transaksi atau pertukaran yang
sepatutnya iaitu dengan tidak melengah-lengahkan pembinaan rumah Murad. Di
sinilah berlakunya manipulasi golongan borjuis ke atas proletariat, pemerasan
jarak jauh yang berlaku tanpa kontak fizikal antara keduanya. Sememangnya
begitulah caranya golongan borjuis (atau penindas) beroperasi, iaitu dengan
menjarakkan diri mereka dari golongan proletariat (yang ditindas). Di
tengah-tengahnya, mereka akan menaburkan pelbagai dongeng-dongeng dunia seperti
“kes perumahan ini sedang disiasat oleh Kementerian Perumahan”, “pemaju telah
menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kontraktor yang dilantik”,
“setinggan ini perlu dikosongkan selepas notis diberi bagi membolehkan
pembangunan dijalankan” dan lain-lain lagi terma-terma sulit dan sukar difahami
(tetapi perlu diterima, dibiasakan dan disesuaikan dengan cara hidup sendiri)
bagi mencipta jarak maya antara penindas dengan yang ditindas. Dalam Pedagogi Kaum Tertindas (1970), Paulo
Freire telah mengulas hubungan ini dengan cukup mapan dengan menyatakan bahawa
demikian adalah cara kaum penindas mengekalkan penguasaannya ke atas kaum yang
ditindas melalui jalan “penaklukan”.
Di
tangan Murad, jarak maya itu telah dihapuskan dengan tangan kasar dan suara
lantangnya. Dia telah meletak si borjuis dan proletar duduk di satu aras yang
sama; apabila dia dan Datuk Dahlan sama-sama tidur di atas lantai rumahnya yang
telanjang. Tanpa sebarang dinding penghalang, dua golongan ini dapat
berkomunikasi dan mewujudkan dialog – satu pekerjaan yang sangat ditakuti oleh
golongan penindas lantaran potensinya untuk menghilangkan sifat superiority mereka. Perlahan-lahan,
hasil daripada dialog dan penerokaan kesetaraan status, Datuk Dahlan telah berhasil
menukar topeng wajahnya daripada penindas kepada pembebas. Di akhir cerita,
situasi ini digambarkan melalui adegan Murad berjabat tangan dengan Datuk
Dahlan yang terbaring di atas katil hospital setelah kedua-duanya berbaik-baik
seraya membebaskan diri mereka dari belenggu perbezaan kelas sosial yang palsu.
Namun realitinya, perjalanan kaum tertindas seperti Murad masih jauh dan
berliku.
Kredit treler Orang Kasar: Laman FB Eman Manan
Nota: Tulisan ini dihantar ke laman Jalan Telawi, tetapi ditolak penerbit. Maka, disiar di sini.Kredit treler Orang Kasar: Laman FB Eman Manan
No comments:
Post a Comment