Wednesday, May 15, 2013

Selepas PRU13 ialah Rasisme



Selepas PRU 2013, kita tidak lagi ditawarkan dengan harapan-harapan baru yang berbau harum seperti sifatnya selepas PRU 2008 dulu. Sebaliknya, kita ditawar momokan perkauman sempit oleh BN dan telah disambut secara tidak bijak oleh Pakatan Rakyat. Mulanya apabila kaum Cina dijadikan sasaran Najib atas keengganan mereka meneruskan sokongan kepada BN yang menyebabkan kononnya berlaku polarisasi kaum. “Tsunami Cina”, istilah janaan Najib telah berkembang menjadi api perkauman melampau sehingga mendorong kepada lahirnya idea-idea baru perkauman seperti boikot barang Cina dan Asal Bukan Cina (ABC). Sentimen buruk ini lahir dari Najib dan dia harus dipersalahkan kerana memulakannya dengan kenyataan tidak cerdiknya itu. Sayangnya, ia disambut oleh sebahagian khalayak seperti PPIM dan lain-lain.

Tetapi politikus Pakatan juga tidak berhasrat menanggapi isu perkauman yang dicetuskan Najib dengan cara yang membina. Anwar masih sibuk dengan Himpunan 505 yang tidak diketahui apa tujuannya selain mengekalkan rasa marah dan kecewa rakyat akan skandal penipuan PRU. Sepatutnya Anwar mengambil sikap seorang negarawan dengan tidak mengambil terlalu banyak masa berceramah mengapi-apikan semangat rakyat membenci BN, sebaliknya menumpukan usaha mengisi kemenangan yang ada seperti membentuk team Ahli Parlimen PR yang kuat untuk bersidang di Dewan Rakyat nanti. Serahkan urusan bantahan dan membuat petisyen kepada Rafizi dan kumpulannya. Anwar perlu kekal relevan sebagai pemimpin rakyat bukan dengan cara berceramah di pentas-pentas seperti itu sebaliknya dengan menawarkan idea-idea baru menjana perpaduan rakyat dan membanteras rasisme.

Respon yang baik terhadap isu perkauman ini antaranya telah dibuat Ustaz Nasrudin Hassan yang menyeru agar 13 Mei dijadikan sebagai Hari Persaudaraan, flash mob anti rasisme dan sebagainya. Tetapi subjek anti rasis dan perpaduan ini perlu melangkaui seruan-seruan retorikal. Ia perlu disuburkan sebagai satu wacana. Selepas PRU, respon Pakatan terhadap sikap rasis BN hanya terhad kepada menyalahkan BN semata-mata, sikap yang sama mereka tunjukkan sejak dulu. Tiada seruan perpaduan yang konkrit dari pemimpin Pakatan. Isu ini sepatutnya menjadi satu peluang kepada rakyat Malaysia dari kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain untuk kembali menilai sejauh mana tahap perpaduan kita, insaf dan merangka langkah-langkah baru untuk mengukuhkan perpaduan.

Idea menghapuskan sekolah vernakular contohnya, tidak ditanggapi secara ilmiah tetapi masih didorong sentimen perkauman (Baca sini). Pewujudan satu sistem persekolahan yang menghimpunkan anak semua bangsa adalah satu idea besar yang sepatutnya disokong oleh semua, lebih-lebih lagi oleh para pemimpin Pakatan. Jika kepentingan kelompok lebih diutamakan berbanding kepentingan negara, maka jalan menuju perpaduan masih jauh kerana kita sendiri yang tidak mahu segera sampai ke sana. 

No comments: