Membuat
keputusan untuk memula atau mengakhiri kehidupan tidak terletak di tangan
manusia – ia terletak di tangan Allah, yang memegang nyawa manusia itu.
Istilah “bunuh diri” tidak wujud dalam kamus hidup seorang Mukmin – pelakuannya
merupakan satu dosa besar. Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah
Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, maksudnya: Sesiapa yang membunuh
dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam
perutnya di neraka Jahannam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa
yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka
Jahannam selama-lamanya. Sesiapa yang terjun dari puncak gunung semata-mata
untuk membunuh diri, maka ia akan berterusan terjun ke dalam neraka Jahannam
selama-lamanya (Riwayat Muslim).
Mengapa
manusia mahu membunuh diri? Menurut Zara (lakonan Cristina Suzanne Stockstill),
watak dalam filem Kil, ia adalah akibat sifat pentingkan diri sendiri seseorang
itu. Sarjana sosiologi Perancis, Emile Durkheim pada tahun 1897 telah menggariskan
dua faktor seseorang itu bunuh diri. Pertama, kurangnya kebebasan individu
akibat pelaksanaan peraturan terlalu ketat yang mengawal tingkah laku manusia
dalam satu-satu kumpulan. Kedua, kurangnya pergaulan atau integrasi seseorang
itu dalam kumpulan yang dianggotainya. Ketidakseimbangan antara dua faktor ini
berpotensi membuatkan seseorang itu untuk membunuh diri.
Wacana
bunuh diri pernah diraup secara sasterawi oleh Paulo Coelho lewat novelnya, Veronika Decides to Die. Persamaan
Veronika dalam novel itu dengan Akil (lakonan Redza Minhat), watak utama filem
Kil ialah kedua-duanya gagal dalam percubaan membunuh diri mereka. Bezanya,
Veronika telah pun membuang terus dunia dari kehidupannya sehingga tidak lagi
punya sebarang rasa dan deria keduniaan manakala Akil pula sebaliknya; sempat untuk
terus bekerja sehari-hari di pejabat malah jatuh cinta – situasi yang hanya membuatkannya
menarik semula keputusan untuk membunuh diri agar benang-benang cintanya dapat
dicantum rapat menjadi kain.
Saya
mengesyaki novel Paulo Coelho itu memainkan peranan agak besar dalam
mempengaruhi Nik Amir Mustapha dalam membikin filem ini, tambahan pula terdapat
satu babak di mana Zara menyusun buku-buku milik Akil di rumahnya; salah satu
buku yang dipegang Zara adalah The Winner
Stands Alone, satu lagi novel Coelho.
Konflik
timbul apabila pihak LAB (Life Action
Bureau) yang dihubungi Akil sebelum itu telah pun memulakan modus operandi
mereka untuk memburu dan menamatkan riwayat hidupnya. Di sinilah bermula
penyesalan Akil atas keputusan pongahnya, memaksa dia menghubungi semula LAB
untuk membatalkan kontrak yang telah dimeterai. Tetapi menurut LAB, tiada jalan
kembali buat Akil. Tandatangan telah dikilas. Akil hanya perlu duduk diam-diam
menunggu ajalnya sampai.
Keinginan
membunuh diri Akil turut dirasai Johan Iskandar (lakonan Hasnul Rahmat),
seorang pengarah filem yang gagal dalam rumah tangga dan dunia perfileman
sekaligus. Yang menghubungkan mereka berdua adalah filem Dunia Tanpa Esok arahan Johan, filem yang ditonton Akil bersama
Zara pada satu hari dalam pawagam hampir kosong, lama sebelum Akil mengetahui
bahawa buah hatinya itu adalah salah seorang daripada karyawan LAB, badan yang
diupah Akil untuk membunuhnya. Kedua-dua mereka, Akil dan Johan menghubungi LAB, dan orang yang
ditugaskan untuk membunuh Johan adalah Zara. Hakikat ini hanya diketahui oleh
Akil pada saat-saat akhir sebelum tarikh “ajalnya” sampai, membuatkan dia
membenci gadis yang baru dicintainya itu.
Dalam
Veronika, wacana bunuh diri digarap bersama wacana psikotik apabila Veronika
yang diselamatkan daripada percubaan bunuh dirinya telah ditempatkan dalam
hospital gila di Villete. Dalam Kil, Akil juga kira-kira telah mengalami sindrom
yang sama apabila dia kerap berhalusinasi dengan menegur adiknya di dalam
bilik, menelefon ibunya malah melawat ibunya di kampung walhal kedua-dua
anggota keluarganya itu telah pun meninggal dunia. Keadaan ini dikukuhkan lagi
dengan sikap Akil yang anti-sosial, tidak punya kawan, pergi kerja-balik kerja,
sehinggalah dia bertemu Zara.
Selainnya,
saya mencari-cari ke mana lagi haluan filem ini ingin dihalakan – tidak saya jumpa
dalam masa satu jam setengah itu walaupun alirannya dibuat dengan cukup
perlahan. Tidak dinafikan kreativiti pengarah, Nik Amir Mustapha dan kumpulan
produksinya (salah seorang penulisnya, Rewan Ishak pernah mengarahkan satu
filem pendek, Lightbulb yang sangat
menarik, selain Pasport Ekspres yang juga begitu) – filem ini mempunyai idea baru dan segar, berbeza daripada kebanyakan
filem tempatan kini yang sangat gemar membodohkan penonton lewat tema hantu,
rempit, gangster dan cinta yang kerap juga mencuba-cuba memakai baju agama yang
tidak siap. Cuma, saya berasa seperti ada sesuatu yang tidak sampai, atau tidak
cukup apabila ia menuju ke minit penghabisan. Agak kecewa juga sebenarnya. Ia seperti makan kuah kari kurang santan,
atau seperti apabila Arsenal telah pun mendahului Manchester United 1-0 dan
tiba-tiba mereka mendapat sepakan penalti. Apa yang tidak cukup itu barangkali
disebabkan oleh desas-desus yang mengatakan bahawa LPF telah menjalankan
kerjanya dengan “sangat baik” apabila berdepan dengan Kil. Kalaulah itu benar,
nampaknya LPF telah mendahului LAB dalam pekerjaan membunuh Kil. Apa pun, Kil adalah sebuah filem tempatan yang bermutu dan agak tidak berbaloi untuk dilepaskan.
Kredit treler dan gambar: Laman FB KIL

3 comments:
Dah tengok semalam, so dah boleh baca review ini dan komen.
"Okaylahh" lepas selesai ditonton. Mungkin banyak benda yang nampak baru dan tidak ada pada filem Melayu lain, contoh: skrip yang "selamba", unconventional camera positioning & closeup, makeup yang nampak sangat natural etc. Tapi plot agak lemah. "Reveal" yang dah boleh diagak dari mula.
Rasanya filem ini ada banyak "hype" sebab dia agak "quirky". Tapi akhirnya jalan ceritalah yang paling penting. Pace dia lembap dan mendatar. Dan Alin perasan tidak ada langsung unsur agama sehinggalah scene dia membaca Qur'an di kubur maknya. Tapi yalah, kalau dia faham agama mungkin dia tak fikir nak lepaskan diri dengan suicide.
Tak semua filem Melayu boleh sehebat Bunohan. Tapi ini usaha bagus. Harap pengarah dan penulis skrip ni boleh terus berkarya.
Oh lagi satu. Satu scene sangat menyentuh (dan pelakon yang paling hebat dalam cerita ini bukan Akil atau Zara) Watak ibu India yang membenarkan organ anaknya didermakan kepada Zara tu. Huhu, itu yang buat Alin nangis waktu dia nangis.
Watak paling tempelan tak pandai berlakon adalah makcik Akil. Hahaha.
Salam, Alin. Terima kasih atas komen. Pak Busu dah tunggu filem ni sejak treler dia keluar lama dulu, dua tahun lepas kot. Tapi, yelah, ada kelemahan di mana-mana. Dalam satu blog Pak Busu baca, dia syak LPF potong banyak kot sampai menjejaskan jalan cerita. Dia kata, sebenarnya adik Akil bunuh diri. Mak Akil pulak adalah orang yang mati dalam kereta kena tindih oleh Akil yang nak bunuh diri terjun bangunan tu. Kalau betul andaian tu, itu adalah sebab yang lebih kuat kenapa Akil rasa stress sangat. Mungkin LPF fikir, bunuh diri adalah taboo dan tak wajar dipromosikan walau sedikit pun. Tapi, cerita hantu yang merosakkan akidah dia tak nak potong pulak!
Post a Comment