Judul:
Veronika
Decides to Die
Pengarang: Paulo Coelho
Penerbit: HarperCollins Publishers
Tahun: 1998
Bilangan halaman: 210 muka surat
Harga: (dipinjam dari Perpustakaan Tan Sri Loy Hean Heong, Kolej Taylor’s Subang Jaya)
Pengarang: Paulo Coelho
Penerbit: HarperCollins Publishers
Tahun: 1998
Bilangan halaman: 210 muka surat
Harga: (dipinjam dari Perpustakaan Tan Sri Loy Hean Heong, Kolej Taylor’s Subang Jaya)
Saya membaca semula Veronika Decides to Die (yang tertangguh bertahun-tahun) selepas
menonton filem Kil di pawagam. Tema kedua-duanya sama iaitu bunuh diri. Novel tulisan
penulis kelahiran Brazil, Paulo Coelho itu mengisahkan seorang gadis muda belia
yang bertugas sebagai pustakawan, Veronika membuat keputusan meninggalkan kehidupan
dengan menelan empat pek pil tidur. Punca-punca bunuh diri biasanya mungkin
akibat putus cinta, diancam hutang keliling pinggang, gagal dalam pelajaran dan
keruntuhan institusi keluarga, tetapi Veronika membunuh diri kerana berasa
terbelenggu dalam rutin kehidupan yang banal. Dia tidak mahu meneruskan
perjalanan yang akan membawanya ke laluan kebiasaan itu; bekerja, bercinta,
berkahwin, mempunyai anak, menjadi tua, berdepan suami yang curang,
ditinggalkan, dipandang rendah oleh anak-anak, sebelum terpaksa menelan segala
kekecewaan hidup itu sebagai satu kebiasaan baru lantaran habisnya tenaga untuk
terus melawan. Penghujungnya, hanya menunggu mati. Maka, fikirnya sebelum dia
menempuh jalan itu di mana untuk mati pun dia tidak akan mampu lagi kerana
sudah terbiasa dengan hidup ini walaupun dalam kegagalan, biarlah dia mati
sekarang sementara usia masih muda, masih punya upaya untuk bunuh diri – dari segi
kekuatan fizikal dan keinginan dalamannya.
Sayangnya (atau sepatutnya, mujurlah),
pil-pil itu tidak dapat membunuhnya. Sebaliknya, Veronika terselamat dan dihantar
ke Villete, hospital gila yang telah dibina sejak Slovenia mendapat kemerdekaan
dari Yugoslavia. Di sana, Veronika dimaklumkan oleh Dr. Igor bahawa hatinya
telah rosak teruk akibat pengambilan pil tidur berlebihan dan tidak dapat
dirawat lagi. Dia hanya mempunyai beberapa hari sebelum hatinya berhenti
berfungsi sepenuhnya. Peringkat ini meletakkan Veronika kembali ke tempoh di
mana dia sentiasa perlu menunggu sesuatu; ayahnya pulang dari kerja, surat yang
tidak kunjung tiba dari buah hati, tarikh
peperiksaan akhir semester, ketibaan kereta api, bas, panggilan telefon, cuti,
berakhirnya cuti, dan kini menunggu pula kematian; yang telah pun bertemu janji
dengannya.
Dikelilingi orang-orang gila (atau
sekurang-kurangnya dianggap gila oleh majoriti orang yang lain) di Villete membuka
satu dimensi baru dalam kehidupan Veronika, walaupun pada penghujung hidupnya. Dia
bertemu Zedka yang bertanyakan soalan “apakah maknanya menjadi gila?”, bertemu
Mari, bekas pengamal perundangan terkemuka, ahli kumpulan misteri, Fraternity
di Villete yang mempunyai sesi-sesi perbincangan serius termasuklah mengambil
pedoman kesufian dari guru sufi, Nasrudin, dan bertemu Eduard, seorang skizofrenia,
anak diplomat yang mendakwa dapat melihat syurga, dan mengagumi permainan piano
Veronika pada malam-malam terakhir mereka di sana.
Bukan sahaja pandangan Veronika terbuka dengan
kehadirannya ke Villete, bahkan penghuni di sana lebih lagi terkesan dengan
keadaannya; seorang gadis muda yang jelita, punya potensi diri yang besar, tetapi
sedang menunggu kematian datang untuk menjemputnya. Bagaimana jika ia terjadi
pada diri sendiri?
Di sebalik apa yang berlaku, Dr. Igor punya
pandangan yang paling jelas. Rekod semua pesakit berada dalam tangannya. Situasi
Veronika mengukuhkan tesisnya bahawa manusia hanya akan memanfaatkan kehidupan sebaik
mungkin apabila mengetahui bahawa dia akan mati. Itulah yang dilakukan Veronika
di Villete – membuang rasa rendah diri, mengeluarkan potensi yang ada dalam
dirinya apabila mampu bermain piano dengan sangat baik selama berjam-jam tanpa
dihambat rasa mengantuk walaupun setelah menerima suntikan, menampar seorang
lelaki tua gila yang mengejeknya dengan penuh berani dan apa yang lebih
penting, mengetahui dengan jelas apa yang dimahukannya dalam baki kehidupannya
yang bersisa.
Tetapi, apa yang tidak diketahui oleh
Veronika dan semua penghuni Villete ialah hakikat bahawa dia punya masa depan
yang lebih panjang daripada beberapa hari, bahawa dia telah diperdaya oleh Dr.
Igor yang mahu menjadikannya tikus putih dalam eksperimennya, untuk menjadi
hujah kukuh dalam membuktikan tesisnya. Selepas beberapa hari tersebut, perkara ini walaubagaimanapun tidak dapat
disampaikan Dr. Igor kepada Veronika (melalui penipuan lagi dan helah tentunya,
seperti mana yang sering dia lakukan kepada para pesakit) kerana Veronika telah
lari keluar dari Villete bersama Eduard untuk melakukan perkara-perkara
terakhir yang dia ingin lakukan.
Veronika yang masih hidup akan berasakan
setiap hari baru yang dia lalui adalah satu keajaiban – tanpa dia sedari dia
diperdaya Dr. Igor kerana menurut Dr. Igor, memang setiap hari baru adalah satu keajaiban.

No comments:
Post a Comment