(Dipaut dari http://www.youtube.com/watch?v=kP2S6pPlVO0)
Saya menonton filem Sumpah
Orang Minyak malam tadi untuk kali yang entah keberapa, secara terputus-putus.
Tiba di rumah sekitar jam 9.40 malam dari tempat kerja, topeng muka pun masih
belum dibuka, isteri saya menyambut di ruang tamu dengan senyum ramahnya
seperti biasa. Dia malah baru pulang dari bertemu rakan sekerjanya, Rahimah
yang tinggal di Bukit Raja. Sekolah ditutup tiga hari bermula Isnin, akibat
jerebu kiriman negara seberang. Tetapi jerebu tidak menutup Ikea dan The Curve,
Damansara. Maka, isteri saya ke sana bersama rakannya menonton Superman yang
kini khabarnya punya persalinan baru. Hari ini, Alhamdulillah, keadaan sudah
banyak bertambah baik, Indeks Pencemaran Udara sudah banyak jatuh, syukur
kepada Allah Yang Maha Berkuasa yang telah menurunkan hujan mencurah-curah.
Dapatlah kita menunjuk muka ke mana-mana tanpa topeng N95.
Dalam Sumpah Orang Minyak
malam tadi, ada satu dialog menarik yang dituturkan oleh Bang Selamat kepada Si
Bongkok (lakonan P. Ramlee). Katanya, “Biar ke langit hijau pun kaupergi, yang
menghina akan tetap menghina”, menenangkan Si Bongkok yang dicerca penduduk
Kampung Tualang Tiga, terutamanya oleh Buyong, lakonan Salleh Kamil yang
sentiasa melakonkan watak jahat itu. Di sebalik buruk wajah dan tubuhnya itu,
Si Bongkok punya kemahiran melukis yang tinggi, yang bisa menyambung mata
pencarian Bang Selamat selaku si penjual kain batik. Dan dek dosa silam
bapanya, Si Bongkok diusir dari Tualang Tiga sehingga dia tercampak ke dimensi
lain – alam bunian, tempat dia memeterai perjanjian yang membolehkan wajahnya
menjadi cantik dan badannya menjadi tegak.
Siapa sangka watak baik
seperti Si Bongkok boleh menjadi jahat akibat salah perhitungan. Si Bongkok
yang punya persalinan baru (seperti Superman tadi) kembali ke Tualang Tiga mahu
merebut cintanya, Afidah yang sudah pun dipingit samseng kampung, Buyong. Di
sinilah lagu Tudung Periuk yang monumental itu dimainkan sebelum Si Bongkok
bergasak dengan Buyong dalam suasana ribut setelah menetak kepala rakan Buyong yang
mahu menyerangnya dari belakang. Akhirnya, Buyong terbunuh di tangan Si Bongkok
sekaligus telah melanggar perjanjian yang dijalinkannya di negeri bunian. Sebagai
balasan, kecantikan Si Bongkok tidak boleh dilihat orang lagi. Dia menjadi
halimunan.
Dalam resam biasa filem
Melayu, Si Bongkok akan diangkat menjadi hero; dari seorang yang dihina,
bangkit kepada satu watak pujaan, menumpaskan penjahat dan beroleh wanita
idaman. Tetapi setting sebegitu tidak berlaku dalam Sumpah Orang Minyak. Si
Bongkok walaupun telah membunuh Buyong, dia gagal mendapatkan Afidah yang
terlebih awal dibunuh Buyong, dan kemudian berkembang menjadi watak penjahat
yang lain. Termakan hasutan iblis, Si Bongkok memeterai perjanjian baru
dengannya dan memutuskan menjadi orang minyak yang menyengutukan Tuhan –
kesilapan fatal yang tidak boleh lagi dia tarik kembali.
Pengakhirannya walaubagaimanapun
tetap menunjukkan jalan keluar. Orang Minyak ditangkap dan dikurung dalam
botol. Namun, watak hero yang menjadi harapan dimatikan begitu sahaja dalam
kesudahan yang tidak semua orang harapkan. Bermula buruk dan berakhir buruk,
perkembangan Si Bongkok menjadi Teruna Idaman sebelum bertukar Orang Minyak
menunjukkan kepada kita betapa tiada jaminan kebahagiaan dalam hidup ini walaupun
kegagalan mungkin telah berubah menjadi kejayaan pada satu ketika. Melainkan mengusahakan
kebahagiaan itu secara tekal dengan pedoman rasa takut dan harap yang
sungguh-sungguh kepada Allah, kita juga bisa menjadi Orang Minyak, dalam
konteks pengakhiran kehidupan, yang kita minta dijauhkan.
Kredit poster: Filem Klasik Malaysia

No comments:
Post a Comment