Sewaktu saya meneka-neka
apakah sebabnya sejak lima-enam tahun kebelakangan ini Syawal tidak lagi
menjadi acara yang dinanti-nantikan, saya menemui jawapannya adalah ini: Ayah
tiada di sana untuk saya kucupi tangannya, dan untuk saya kagumi tampangnya. Sewaktu
Ayah masih ada, saya fikir saya tidak menggunakan kesempatan itu untuk
dinikmati sepenuhnya. Saya tidak banyak berkhidmat kepadanya, tidak banyak
menggembirakan hatinya malah berbual dengannya pun tidak banyak. Saya tidak
menghargai waktu-waktu yang saya miliki bersama Ayah, menyebabkan kini saya
berasa menyesal kerana waktu itu telah pun berlalu dan tidak boleh saya
kembalikan lagi. Ayah adalah sumber kegembiraan yang Allah salurkan kepada kami
sekeluarga dan beraya tanpa Ayah bagi saya adalah beraya dengan separuh
kegembiraan. Sewaktu menziarahi Pak Ngah Md Shah di Tangkak, bayangan Ayah
lebih kuat menjelma di ingatan. Tetapi, Pak Ngah juga tidak lagi kuat seperti
tiga atau empat tahun lalu untuk menceritakan perihal Ayah dan Mak kepada kami
sebagai penghibur hati dan pemenuh jiwa yang kosong. Ayah telah meninggalkan
kami lebih enam tahun lamanya, tetapi kesedihan dan rasa kehilangan itu tidak
mahu pergi malah ia menggantikan Ayah. Doa saya semoga Ayah tenang di sana
dalam pelukan rahmat dan kasih sayang Allah Ta’ala. Dan semoga kita disatukan
semula dalam kegembiraan yang lebih besar di dalam syurga. Amin.
![]() |
| Gambar kenangan Syawal tahun 2006, Syawal terakhir Ayah, diambil dari laman FB Keluarga Haji Othman. |

No comments:
Post a Comment