Judul: Pewaris
Pengarang:
Rahimidin Zahari
Penerbit: Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia
Tahun: 2012
Bilangan halaman: 114 muka surat
Harga: RM 14 selepas diskaun 30% (harga asal RM 20)
Tahun: 2012
Bilangan halaman: 114 muka surat
Harga: RM 14 selepas diskaun 30% (harga asal RM 20)
Rahimidin Zahari adalah
antara watak utama sastera dan budaya di negara ini. Bertugas di Istana Budaya sebagai
Pengurus Teater dan menukangi majalah Pentas terbitan institusi itu sebagai
editor, beliau punya gelanggang kesusasteraan yang luas untuk diterokai. Berlatarbelakangkan
pendidikan agama dari Madrasah Ar-Rahmah Kenali, karya-karya Rahimidin terutama
dalam genre puisi mempunyai akar Islami yang kuat. Karya beliau yang mula-mula
saya nikmati adalah antologi puisi Sekepal Tanah terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka (1995) yang berhasil memenangi Hadiah
Utama Anugerah Sastera Darul Iman ke-III. Usaha beliau mendokumentasikan
permainan Wayang Kulit dan Makyung adalah salah satu langkah bermakna dalam
memulihara tradisi kesusasteraan bangsa.
Sekali-sekala
ke Rumah PENA dan terlibat dalam acara-acara sastera secara runcit-runcitan,
saya berpeluang mengenali tampang beliau secara dekat. Puisi-puisinya sedap
dibaca, antara penyair bernafas Islami yang paling saya suka. Dalam genre
novel, Pewaris adalah novel pertama beliau, ditulis kira-kira 18 tahun lalu dan
pertama kali diterbitkan oleh Fajar Bakti sebelum ditebitkan semula oleh
Insitutut Terjemahan dan Buku Malaysia pada tahun 2012. Pewaris mengisahkan
perjuangan seorang anak muda yang baru tamat pengajian di tanah Hijaz, Bagia
Shaif, pulang ke kampung halaman untuk menyambung tradisi pemondokan yang
ditinggalkan gemulah Tok Ayahnya. Barang pasti perjuangan tersebut mendapat
tentangan termasuklah oleh bapa saudara dan sepupunya sendiri, Pak Long Haji
Abdul Rahman dan Zubair. Dituduh sesat, ditampar, pondok dibakar adalah
rentetan ujian yang dialami Bagia Shaif dalam usaha dakwahnya di kampung Padang
Rombakan. Namun di akhir cerita, beliau tetap punya kegembiraan sendiri apabila
berpeluang "berjumpa" Tok Ayahnya yang tidak pernah ditemuinya di surau tua
warisan keluarga mereka.
Novel
bergenre Islami saya fikir hanya disambut secara besar-besaran dalam waktu
terdekat ini. Sekitar tahun 70-an dulu polemik “Sastera Islam” pernah muncul
dalam sastera tanah air menyaksikan pertembungan pemikiran antara Shahnon Ahmad
dengan Kassim Ahmad. Polemik itu walaubagaimanapun tidak dirumuskan sesiapa dan
terma Sastera Islam kekal didefinisikan mengikut kecenderungan dan sekolah
pemikiran masing-masing. Kebanjiran karya bercorak Islami dekad 2000-an pula
walaubagaimanapun menurut saya tidak didasarkan kepada "kebangkitan Islam" seperti yang berlaku pada tahun 70-an yang ditandai dengan perkembangan
pemikiran dan idea. Sebaliknya ia lebih kepada trend pasaran kini yang gemar
kepada produk-produk Islami seperti seorang ustaz muda yang dilihat comel dalam
persalinan jubah dan serbannya, berasa malu-malu dengan wanita. Kehadiran
ustaz-ustaz muda–kacak di kaca televisyen untuk berdakwah sayangnya tidak
membantu untuk menyelesaikan masalah ini. Mereka tidak sedar potensi pengaruh
mereka untuk disalah ertikan dan kemampuan mereka untuk menjadi televangelist
(seperti yang disebut Ustaz Hasrizal). Hasilnya, perkembangan fenomena yang tidak dibendung
itu melahirkan istilah-istilah seperti filem genre komedi romantik Islami,
novel bertajuk "Suamiku Ustaz", tajuk siaran "Kalau Dah Jodoh Ustaz Kazim Elias" dan melarat-larat sehingga ke Air Khadafi. Nama "Ustaz" dijual laku dengan cara
yang dikhuatiri tidak betul.
(kredit gambar: Goodreads)

No comments:
Post a Comment