![]() |
| Kredit poster: Golden Screen Cinemas |
Ustaz, Mu Tunggu Aku
Datang! barangkali boleh ditanggap sebagai satu dokumentari ringkas jemaah
Tabligh di Malaysia garapan Pierre Andre. Menontonnya membangkitkan rasa rindu
kepada jemaah yang pernah saya sertai ini sekitar 1998-2000, sewaktu bergelar
mahasiswa UTM, Skudai. Pierre mungkin mahu menceritakan pengalamannya sendiri
dalam jemaah Tabligh melalui filem ini dan perasaan keterujaannya itu dapat
difahami malah dialu-alukan. Apa yang dilakukan Pierre sebenarnya telah
menyeimbangkan persepsi massa setelah sekian banyak paparan negatif terhadap
jemaah Tabligh dipaparkan lewat filem-filem Melayu 1990-an seperti dalam
Fenomena, Perempuan Melayu Terakhir, Berlari Ke Langit dan lain-lain. Persepsi
yang dibawa dalam filem-filem sedemikian sebenarnya juga adalah cerminan
pandangan masyarakat awam sendiri pada waktu itu terhadap jemaah Tabligh, atau
kadangkala dikenali juga sebagai "orang dakwah" yang telah dilabel melulu
sebagai jumud, anti-kemodenan, anti-wanita, bersifat keras, suka menghukum
malah pengganas. Persepsi ini walaubagaimanapun telah dijinakkan oleh masa.
Akhir 1990-an sehingga kini, jemaah Tabligh secara khususnya telah semakin
diterima umum sebagai satu entiti dalam masyarakat yang punya peranan sendiri.
Sewaktu saya dalam jemaah tersebut, saya tidak punya pengalaman dihalau oleh
tuan rumah yang kami ziarahi, tidak seperti yang dirasai oleh anggota jemaah
yang lebih senior, malah kami disambut cukup baik walaupun kadangkala wajah
sinis tetap ada di mana-mana.
Ustaz, Mu Tunggu Aku
Datang! mengisahkan perjalanan dua orang anak muda yang telah "berhijrah", Muiz
dan Dadu ke ceramah Ustaz Azhar Idrus setelah diperkenalkan dengan tokoh
pendakwah itu oleh rakan lama mereka, Hamzah. Perjalanan mereka ke sana
walaubagaimanapun tidaklah semudah pergi kerja-balik kerja, sebaliknya dipenuhi
cabaran. Saya teringat satu filem lain yang juga bercorak perjalanan (road
movie) bertajuk Dari Jemapoh ke Manchestee arahan Hishamuddin Rais yang pernah
ditonton beberapa tahun lalu. Dalam perjalanan inilah Dadu dan Muiz ditemukan
semula dengan Ali dan kumpulan Tablighnya setelah Dadu berjaya mengelak
pertemuan pada kali pertama. Pengalaman selama tiga hari bersama jemaah Tabligh
membuka mata mereka berdua dan menjadi asbab hidayah untuk mereka berubah. Di
sini juga aktiviti-aktiviti jemaah Tabligh dipaparkan dengan cukup terperinci
seperti bacaan ta’lim dari kitab Fadhilat Amal tulisan Maulana Muhammad
Zakariyya Al-Kandahlawi, gash (ziarah dari rumah ke rumah) dan khidmat (apabila
dipaparkan Ali telah ditugaskan untuk memasak untuk jemaah). Malah penjelasan
mengapa anggota Tabligh berseluar senteng juga diberikan. Babak Dadu dan Muiz
terjaga pada tengah malam dan mendapati kebanyakan anggota jemaah sedang
menunaikan solat malam adalah momen penting dalam filem ini bagi saya.
Kebanyakan orang mungkin sudah berhijrah atau menyangka dirinya sudah cukup
soleh, tetapi berapa ramaikah yang sanggup bangun malam membuang bantal dan
tilam untuk menghadap Tuhan? Saya segera teringat suasana di Masjid Seri
Petaling, markas pusat jemaah Tabligh di Malaysia. Di mana-mana masjid atau
surau yang kami huni dalam ziarah tiga hari, tidak pernah kami dikejut untuk
qiam, tetapi di Masjid Seri Petaling, ada jemaah dari negara luar yang agak
lebih tegas yang akan membangunkan kami menyuruh kami meninggalkan tempat tidur
untuk bermunajat kepada Allah di dua pertiga malam.
Satu pesan penting
yang disampaikan Pierre dalam filem ini ialah betapa solat boleh dilaksanakan
di mana-mana, satu budaya yang masih terlalu asing di negara kita. Solat di
tempat awam nyata memerlukan keberanian dan sedikit anjakan di dalam kepala.
Kecuali jika kita menyertai demonstrasi atau mahu menonton bola sepak di
stadium, solat bagi kita masih terlalu perlu dilakukan di masjid, surau atau
bilik kecil di sudut stesen minyak. Dalam satu babak, Muiz dan Dadu bersolat di
halaman rumah sewaktu menunggu Baguk, penjenayah dikehendaki, sebelum ditahan
polis yang menunggu mereka selesai bersolat.
Muiz dan Dadu ditahan
di lokap polis kerana disyaki bersubahat dengan Baguk, dilepaskan, ditahan
semula kerana disyaki terlibat pula dengan gejala seks luar tabi’i sebelum
dilepaskan lagi. Penahanan mereka di lokap pada kali pertama menggagalkan
mereka untuk ke ceramah Ustaz Azhar Idrus, namun mereka terlihat poster di
sebuah surau mengiklankan ceramah seterusnya Ustaz Azhar di tempat lain pula.
Apabila mereka akhirnya sampai di lokasi ceramah berkenaan, penonton
menjangkakan akan berakhirlah perjalanan penuh liku mereka tanpa menyangka di
sana ada seorang lelaki tua yang sedang dalam kesakitan dan memerlukan bantuan
kecemasan. Nyawa lebih penting daripada mendengar ceramah. Maka, Muiz dan Dadu
membuat keputusan menghantar orang tua itu ke hospital sebelum terlibat dalam
satu kemalangan kecil dengan bekas tuan rumah sewa mereka di tengah jalan. Muiz
dan Dadu walaubagaimanapun tetap sampai ke tempat ceramah walaupun agak
terlewat dan akhirnya dapat melihat Ustaz Azhar secara live.
Filem ini adalah
filem ringan yang membawa mesej positif. Pengajaran disampaikan tidak secara
didaktik atau bersifat berkhutbah, selain diselitkan dengan unsur jenaka yang
tidak keterlaluan. Perjalanan Muiz dan Dadu ke ceramah Ustaz Azhar Idrus
bolehlah dianalogikan sebagai perjalanan kita keluar dari kegelapan kepada
cahaya kebenaran. Untuk berubah, kita perlu bangun dari tempat duduk kita dan
keluar, seperti yang dilakukan Dadu dan Muiz. Sama ada keluar secara mental
fizikal, kedua-duanya penting dan ada peranan tersendiri. Saya teringat pula puisi
Jalaluddin Ar-Rumi yang menjadi inspirasi Allahyarham Ahmad Ammar untuk keluar
dari keselesaan mencari sesuatu yang lebih bermakna. Sebagai pengarah, filem
ini mungkin lebih dekat dengan kehidupan Pierre sendiri yang dilihat telah
berhijrah. Beliau telah melakukan hijrahnya dan mengajak kita sama-sama
menyertainya dalam cara kita sendiri.

2 comments:
Haizir, ulasan filem terbaik yang pernah Kak Ngah baca, teruskan menulis, mengulas buku dan filem.
Patut tag nama pengarahnya, agar boleh jadi motivasi untuk buat filem-filem sebegini lagi.
Haizir, ulasan filem terbaik yang pernah Kak Ngah baca, teruskan menulis, mengulas buku dan filem.
Patut tag nama pengarahnya, agar boleh jadi motivasi untuk buat filem-filem sebegini lagi.
Post a Comment